Rupa-rupanya sewaktu Mu Qian Fan pergi mencari kayu api tadi, dia secara kebetulan telah melalui kawasan ini. Tanpa disangka-sangka, kumpulan lelaki ini sedang membincangkan rancangan mereka di kawasan hutan tersebut. Ketua kumpulan mereka iaitu lelaki yang baru sahaja mati tadi, tidak peduli dengan apa yang Mu Qian Fan telah dengar. Dia hanya mahu mengelak daripada urusan mereka terbongkar. Jadi dia telah mengetuai anak-anak buahnya untuk mengejar Mu Qian Fan untuk membunuhnya.
Bau darah yang Jun Wu Xie dapat kesan tadi adalah dari Mu Qian Fan. Kalaulah Hitam Kecil tidak sempat sampai di situ, pasti Mu Qian Fan sudah menemui ajal.
"Apa yang kamu bincangkan?" tanya Jun Wu Xie.
Pemanah itu tidak berani menyembunyikan apa-apa. Dia terus berkata, "Kami… kami sebenarnya berasal dari Negara Yan. Tuan kami mahu kami pergi menjelajah ke Cenuram Penghujung Syurga. Kami sedang membincangkan rancangan kami untuk perjalanan ke situ apabila…"
[Cenuram Penghujung Syurga!]
Jantung Jun Wu Xie tersentak.
"Kamu nak buat apa di situ?" tanya Jun Wu Xie dengan dingin.
"Itu… Itu saya benar-benar tak tahu. Orang yang berstatus rendah seperti kami tak layak ambil tahu tentang hal sebegitu. Satu-satunya orang yang tahu tentang misi kami ialah Bos kami. Dia tak menyebut apa-apa pada kami. Saya… benar-benar tak tahu apa-apa." Sewaktu bercakap, pemanah itu terus mengetuk-ngetuk kepalanya ke tanah untuk merayu pada Jun Wu Xie agar tidak membunuhnya.
Jun Wu Xie mengecilkan mata dan menuding jari pada mayat Bos mereka sebelum bertanya, "Dia ada peta?"
Pemanah itu cepat-cepat mengangguk..
"Ya! Ya! Tapi dia langsung tak pernah tunjukkan pada kami. Dia simpan sahaja selama ini."
"Cari." Jun Wu Xie memberikan arahan.
Pemanah itu tergesa-gesa datang lebih dekat. Sebaik terpandang keadaan mayat yang mengerikan itu, dia terpaku seketika.
Tuan Embek Embek mendenguskan udara panas. Ketika pemanah yang sedang teragak-agak itu dapat merasakan kehangatan angin yang bertiup melepasinya, wajahnya menjadi semakin pucat. Dia terus mencari-cari dengan menggelabah.
"Saya akan cari! Saya akan cari! Saya akan cepat-cepat cari! Jangan bunuh saya! Tolonglah jangan bunuh saya!"
Air mata pemanah itu mengalir ke pipinya sambil dia merayu meminta simpati. Dia memaksa tangannya untuk menyelongkar mayat yang masih dirasakan sedikit hangat itu.
Selepas seketika, dengan tangan yang terketar-ketar, dia akhirnya mengeluarkan satu peta berlumuran darah dari poket baju mayat tersebut. Sejurus selepas menemui peta itu, dia berpaling dan dengan perasaan gementar menghulurkan peta itu kepada Jun Wu Xie.
"Ini… inilah petanya."
Jun Wu Xie menghulurkan tangan dan membuka peta itu. Peta tersebut tidak diperbuat daripada kulit manusia tetapi hanya manuskrip kulit biasa. Sebahagian besar peta itu berlumuran darah. Mustahil untuk melihat apa yang tertera pada seluruh peta tersebut.
Berdasarkan bahagian yang masih jelas dapat dilihat, peta itu agak sama dengan dua lagi peta yang ada pada Qiao Chu dan yang lain.
Mu Qian Fan sudah pun melukis dan menandakan peta yang menunjukkan jalan untuk ke Cenuram Penghujung Syurga. Jun Wu Xie amat pasti yang peta yang dipegangnya ini bukannya menunjukkan jalan untuk ke tempat tersebut.
Kalau peta itu tidak menunjukkan jalan menuju tempat itu maka hanya ada satu kemungkinan sahaja lagi!
Peta ini merupakan salah satu daripada lapan bahagian peta yang menunjukkan jalan ke makam Maharaja Kegelapan. Peta yang berada di tangannya ini bukanlah peta yang asli tetapi hanya salinan.
"Negara Yan," kata Jun Wu Xie sambil merenung peta berlumuran darah yang dipegangnya. Kalaulah Tuan Embek Embek tidak memenyekkan ketua kumpulan itu sampai mati tadi, tentu mereka sudah mendapatkan bahagian ketiga peta menuju makam Maharaja Kegelapan itu tanpa perlu bersusah-payah.
"Siapa Tuan kamu?" tanya Jun Wu Xie sambil merenung pemanah yang ketakutan itu.
Pemanah itu menelan air liurnya dengan kuat sebelum menjawab, "Putera Mahkota Negara Yan… Putera Mahkota Negara Yan…"
Kening Jun Wu Xie terangkat kerana terkejut. Negara Yan bukanlah kecil dan lemah seperti Kerajaan Qi. Boleh dikatakan yang Negara Yan ini adalah yang paling kuat di antara semua negara-negara lain. Keluasan negara mereka juga adalah yang paling besar. Negara Yan dan Kerajaan Qi adalah amat berbeza. Negara Yan merupakan negara pertama yang ditubuhkan dan Keluarga Diraja negara itu merupakan pemerintah yang cekap. Setelah lama masa berlalu, kekuatan Negara Yan semakin bertambah dan tanah jajahan yang mereka kawal juga semakin meluas. Seabad yang lalu, sewaktu peperangan tercetus di antara pelbagai kuasa besar, Negara Yan telah mengambil peluang dan terus memerintah dengan megahnya sejak daripada itu.