Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 635 - Datang ke Bandar Chan Lin Sekali Lagi (5)

Chapter 635 - Datang ke Bandar Chan Lin Sekali Lagi (5)

Setelah Mu Qian Fan dapat menenangkan diri sebaiknya, Jun Wu Xie memberitahunya tentang rancangan mereka untuk pergi ke Cenuram Penghujung Syurga.

Setelah mendengar hal ini, Mu Qian Fan terkejut besar!

"Tak boleh! Tuan Muda Jun, bukannya saya tak mahu bawa Tuan Muda ke sana, tetapi Cenuram Penghujung Syurga itu terlalu menakutkan. Tak ramai yang mampu selamat dari tempat itu. Cenuram itu penuh dengan perangkap yang tidak berkesudahan serta racun-racun yang menggerunkan. Tersalah langkah sedikit saja dan kamu semua tak akan selamat. Saya merayu agar Tuan Muda pertimbangkan semula hal ini!" Mu Qian Fan cepat-cepat cuba meyakinkan Jun Wu Xie.

"Kami mesti pergi ke situ. Kamu hanya perlu tunjukkan jalan," kata Jun Wu Xie tanpa sebarang perasaan.

Mu Qian Fan mengetap giginya dan terus cuba memujuk Jun Wu Xie tetapi dia langsung tidak mampu membuatkan Jun Wu Xie menukar fikiran. Disebabkan tidak mempunyai pilihan lain, Mu Qian Fan berkata, "Kalau Tuan Muda Jun mahu pergi ke Cenuram Penghujung Syurga, saya berkeras mahu ikut sekali. Kalau tidak, saya tak akan setuju untuk menunjukkan jalan ke Cenuram Penghujung Syurga! Sekurang-kurangnya saya pernah ke sana sekali sebelum ini dan saya lebih biasa dengan tempat itu."

Mu Qian Fan sudah bertekad. Sekiranya mereka bertembung dengan apa -apa keadaan yang berbahaya, dia akan mengorbankan apa sahaja, termasuk nyawanya sendiri, untuk melindungi Tuan Muda Jun.

Jun Wu Xie tidak menolak permintaan Mu Qian Fan.

Mu Qian Fan mula memberitahu mereka maklumat terperinci tentang lokasi sebenar Cenuram Penghujung Syurga.

Perjalanan dari Bandar Chan Lin ke Cenuram Penghujung Syurga memerlukan sekurang-kurangnya dua minggu. Tempoh masa ini cukup untuk membolehkan kecederaan Mu Qian Fan pulih.

Sebaik Mu Qian Fan yakin yang Jun Wu Xie dan rakan-rakannya sememangnya mahu pergi ke Cenuram Penghujung Syurga, dia mula menyediakan segala peralatan yang mereka perlukan untuk ekspedisi tersebut. Disebabkan dia pernah ke situ, dia lebih tahu tentang barangan apa yang mereka akan perlukan di Cenuram Penghujung Syurga nanti.

Suhu di dasar Cenuram Penghujung Syurga itu berada di takat yang rendah. Jika mereka tidak bersedia dengan pakaian tebal, tidak lama selepas itu kaki dan tangan mereka akan menjadi sejuk dan kaku. Selain itu, kabus yang menyelubungi keseluruhan dasar cenuram tersebut menjadi kawasan yang dingin dan lembap. Kelembapan ini akan terus menembusi serta membasahi pakaian mereka. Ketika itu, suhu yang membeku itu akan jadi lebih menyeksakan.

Sewaktu merancang perjalanan ke Cenuram Penghujung Syurga, mereka sekurang-kurangnya perlu menyediakan pakaian yang sesuai untuk membantu mereka memanaskan badan dan melindungi mereka daripada kelembapan yang tinggi.

Ada banyak kedai pakaian di Bandar Chan Lin dan semua kedai itu menumpukan pada keperluan para pelajar Akademi Zephyr. Sebab itulah ada kepelbagaian, baik daripada segi bahan yang digunakan mahupun reka bentuknya. Semua pakaian ini juga dibuat dengan baik. Walau bagaimanapun, harga jualannya amat mahal.

Mu Qian Fan boleh memikirkan pelbagai peralatan yang akan berguna pada mereka sewaktu berada di Cenuram Penghujung Syurga nanti. Tetapi pembelian barang-barang itu memerlukan kos yang banyak dan pengembara tidak berduit sepertinya ini tidak akan mampu membayarnya. Kalau dia ada duit sebanyak ini sebelum ini, mungkin rakan-rakannya tak akan mati.

Memandangkan mereka memerlukan duit, Jun Wu Xie terus menghantar Hua Yao ke Rumah Lelong Chan Lin untuk mengambil duit hasil jualan Batu-batu Roh yang mereka tinggalkan sebelum ini. Hua Yao juga perlu menyerahkan eliksir-eliksir yang Jun Wu Xie baru hasilkan untuk dijual sewaktu lelongan.

Ketika He Chang Le terlihat Hua Yao, matanya bersinar-sinar ibarat melihat Dewa Kemakmuran. Dia hampir-hampir melutut di hadapan Hua Yao sebagai alu-aluan. Sepanjang pertemuan ini, Hua Yao tidak perlu pun bercakap banyak. He Chang Le membuat semua aturan yang diperlukan. Untuk mengekalkan "pelanggan besar" ini dengan mereka, He Chang Le menyatakan yang apa -apa sahaja yang Hua Yao tinggalkan bersama-sama mereka dilelong nanti, Rumah Lelong Chan Lin tidak akan mengambil walau satu sen sekalipun sebagai upah. Mereka akan melelong barang-barang ini secara percuma. Rumah Lelong Chan Lin tidak takut untuk menanggung kerugian. Ini kerana jumlah pengunjung yang ditarik masuk oleh eliksir-eliksir itu lebih daripada cukup untuk membantu mereka meraih keuntungan semula. Selagi ada orang berkunjung ke Rumah Lelong Chan Lin, mereka boleh bergantung dengan jurulelong mereka yang petah dan berbakat itu untuk menjual barangan lain yang diletakkan di dalam senarai lelongan mereka.

Apabila Hua Yao kembali ke rumah tumpangan itu dan meletakkan satu timbunan tebal nota-nota bank di atas meja, mata Qiao Chu terpaku memandang timbunan kekayaan itu. Air liurnya hampir menitis ke atas lantai.

"Qiao Dungu, kamu dan Mu Qian Fan pergi dapatkan barang-barang yang kita perlukan." Jun Wu Xie menyambar segenggam nota bank. Tanpa melihat nilai yang tertera, dia menolak nota-nota bank itu ke tangan Qiao Chu sehingga membuatkan Qiao Chu yang sedang teruja itu hampir meracau.