Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 579 - Persediaan untuk Memberi Tamparan (2)

Chapter 579 - Persediaan untuk Memberi Tamparan (2)

Jun Wu Xie membalas, "Selepas saya meninggalkan fakulti Pemulih Roh, saya telah menderita kerana dikeji. Saya juga telah dipulaukan dan menjadi mangsa salah faham. Jadi kalau mahu saya kembali ke fakulti, segala tuduhan itu perlulah disangkal sepenuhnya supaya saya boleh kembali dengan cara yang betul dan sah."

Gu Li Sheng terdiam dan senyuman di wajahnya mula pudar. Ekspresi bersalah dan malu mula muncul di wajahnya.

Dia menyedari segala yang berlaku ke atas Jun Xie di Akademi Zephyr selama ini. Gu Li Sheng ada terfikir mahu meminta Jun Xie kembali lebih awal. Tetapi selagi Teknik Pemulihan Roh itu masih belum sempurna, pendedahan identiti Jun Xie itu hanya akan membawa lebih banyak masalah yang tidak diperlukan.

Lagipun, Teknik Pemulihan Roh itu sendiri amat dihormati serta dipandang tinggi oleh para pelajar lain. Kalau dia tiba-tiba mengumumkan Jun Xie akan menambah baik serta memperkembangkan teknik ini, tidak kiralah jika dia sendiri yang mengatakannya atau tidak, hal ini tidak akan dipercayai dengan mudah. Mungkin pengumuman itu bukan sahaja langsung tidak mengurangkan kejian dan perasaan curiga yang dilemparkan pada Jun Xie, tetapi mungkin juga menarik perhatian tidak diingini daripada mereka yang berminat untuk memiliki teknik tersebut. Orang-orang ini akan mengurumuni Jun Xie dan cuba memenangi hatinya.

Lebih teruk lagi, jika ada orang yang berniat jahat mendekati Jun Xie, Gu Li Sheng tidak sanggup memikirkan akibatnya.

Godaan dari Teknik Pemulihan Roh ini terlalu besar dan mereka tidak boleh cuai.

Dengan segala keraguan ini serta hakikat yang Jun Wu Xie tidak menunjukkan tanda-tanda yang dia mahu kembali ke fakulti Pemulihan Roh, Gu Li Sheng tidak mengambil apa-apa tindakan.

Namun di dalam akademi itu, tuduhan dan kritikan terhadap Jun Xie itu amat memedihkan hati Gu Li Sheng.

"Jangan bimbang." Gu Li Sheng menarik nafas dalam-dalam lalu berdiri. "Saya akan pastikan kamu kembali ke fakulti Pemulihan Roh dengan megah. Saya akan pastikan segala fitnah dan tohmahan ke atas kamu itu akan terpadam sepenuhnya. Biar saya uruskan semuanya. Saya akan pastikan kamu berpuas hati."

Jun Wu Xie mengangguk setuju. Kata-kata Gu Li Sheng itu bertepatan dengan apa yang dia mahukan.

Apabila Jun Wu Xie melakukan tindak balas, dia bukan hanya mahu membersihkan dan mengembalikan nama baik serta reputasinya.

Apa yang dia mahukan ialah memberikan tamparan hebat pada pengacau-pengacau dungu itu di hadapan semua pelajar Akademi Zephyr!

Itu akan lebih memuaskan hatinya!

"Saya akan uruskan semuanya esok. Bertenang dan tunggu saja." Gu Li Sheng berjanji dengan tegas.

Jun Wu Xie tunduk sambil berfikir.

Esok?

Menurut apa yang Fan Jin katakan, lusa ini Tentera Rui Lin akan tiba di Akademi Zephyr. Esok adalah masa yang sesuai untuk dia menyudahkan semua perancangannya.

Bukankah persembahan yang baik memerlukan pentas yang pelbagai serta acara yang gemilang?

"Baiklah." Jun Wu Xie mengangguk sekali lagi. Sebelum dia bangun untuk beredar, dia meletakkan skrol yang telah disediakannya terlebih dahulu, di atas meja Gu Li Sheng. Kemudian barulah dia berlalu tanpa berpaling.

Gu Li Sheng mengambil skrol itu. Sekilas pandang sahaja sudah cukup membuatkan matanya terbeliak dan nafasnya tersekat.

Setiap patah perkataan yang ditulis dengan cantik dan indah itu terpahat di mindanya. Degupan jantungnya semakin kencang.

Skrol itu mengandungi cara yang akan mengubah Teknik Pemulihan Roh. Penulisan tentang teknik ini memudahkan dia untuk terus memahami sepenuhnya falsafah yang mendaIam itu!

"Jun Xie, kamu tak pernah berhenti mengejutkan saya. Cis...budak muda ini memang...benar-benar hebat!" Gu Li Sheng meneliti keseluruhan skrol itu sekaligus dan mendapati dirinya berpeluh-peluh. Dia bersandar pada kerusinya dan kepalanya didongakkan. Mulutnya menguntum senyuman yang dipenuhi kegembiraan dan perasaan berterima kasih.

Dia telah bertembung dengan seseorang yang amat berharga!

Selepas Jun Wu Xie meninggalkan pejabat Gu Li Sheng, dia terus keluar dari bangunan fakulti Pemulih Roh. Beberapa orang pelajar fakulti itu terlihat kemunculan Jun Xie lalu memandang tajam padanya, mengharapkan renungan mereka ini dapat menusuk tubuhnya.

Li Zi Mu bukanlah pelajar yang popular di fakulti Pemulih Roh. Ini disebabkan Gu Li Sheng secara terang-terangan telah bersikap pilih kasih terhadapnya sehingga membuatkan pelajar lain di fakulti itu berasa iri hati dan benci pada Li Zi Mu. Tetapi perasaan benci dan cemburu itu tidak cukup untuk membuatkan mereka tidak terkesan dengan kematian Li Zi Mu. Apabila berhadapan dengan orang luar yang berani membunuh salah seorang daripada pelajar fakulti mereka, mustahil mereka akan memaafkan orang itu dengan mudah.