Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 539 - Bandar Chan Lin (2)

Chapter 539 - Bandar Chan Lin (2)

"Tak lama lagi kita akan sampai ke Bandar Chan Lin. Kamu ada apa-apa nak beli di sana?" tanya Fan Zhuo. Pipinya masih kemerahan sedikit sambil dia memegang kucing hitam kecil itu dengan penuh hati-hati. Dia tidak berani terlalu banyak bergerak dan hanya menggunakan hujung jarinya untuk merapikan bulu kucing hitam kecil itu dengan perlahan-lahan.

"Saya nak tengok-tengok dulu," balas Jun Wu Xie sambil menggosok-gosok bulu Tuan Embek Embek. Mata Jun Wu Xie mengecil tanda berpuas hati.

Tak banyak yang dia mahu beli, tetapi banyak yang dia mahu jual.

Selain batu-batu roh yang mereka kumpulkan dari Hutan Roh Pertempuran, Jun Wu Xie juga memiliki beberapa eliksir yang dihasilkannya sewaktu berada di dalam Kumpulan Qing Yun. Dia menghasilkan eliksir itu sewaktu tidak ada apa-apa kerja untuk dibuat dan jumlah yang terkumpul agak banyak juga.

Dalam perjalanan ke rumah lelongan ini, dia berniat mahu mencari relau pembuatan pil atau apa-apa peralatan yang sesuai untuk penghasilan eliksir. Dia mahu mengisi masa lapang sewaktu di Akademi Zephyr. Sejak Yan Bu Gui memberikan beg kosmos itu kepadanya, dia tidak lagi risau jika mempunyai terlalu banyak stok eliksir yang tidak boleh disimpan atau dibawa bersama.

Mungkin Fan Jin tidak terlalu tegas orangnya, tapi dia amat teliti dalam menguruskan perjalanan mereka. Bukan sahaja dia mengaturkan kereta kuda untuk Fan Zhuo dan Jun Wu Xie, malah turut mengaturkan setiap butiran perjalanan untuk Qiao Chu dan yang lain. Daripada kereta kuda yang dapat memuatkan mereka sehinggalah tempahan penginapan di Bandar Chan Lin, tak ada satu pun yang tidak diuruskannya. Sebaik tiba di Bandar Chan Lin, Jun Wu Xie tidak perlu risau untuk mencari rakan-rakannya untuk berkumpul bersama-sama.

Aturan yang dirancang rapi itu membolehkan dua orang yang begitu lemah dengan haiwan yang comel dan gebu ini melalui perjalanan mereka tanpa risau. Setiap seorang meriba dan membelai seekor binatang comel di dalam kereta kuda itu. Ekspresi wajah mereka kelihatan bahagia.

Kereta kuda itu terus bergerak dan akhirnya sampai ke Bandar Chan Lin.

Mereka tiba tepat pada waktu makan tengah hari dan jalan-jalan di situ penuh sesak. Ada ramai pemuda yang memakai pakaian seragam Akademi Zephyr di situ. Mereka membawa beg kecil dan besar di belakang mereka dan bergerak di celah-celah kerumunan orang ramai untuk pergi ke setiap ceruk Bandar Chan Lin.

Pelajar-pelajar Akademi Zephyr ini memang semuanya berduit!

Pemandu kereta kuda itu menghantar dua orang penumpangnya terus ke rumah tumpangan yang Fan Jin telah aturkan untuk mereka. Selepas menghantar penumpangnya, dia membawa kereta kuda itu pergi untuk berehat di tempat lain.

Inilah kali pertama Fan Zhuo melihat begitu ramai orang yang sibuk dengan aktiviti dan perniagaan mereka. Penjual-penjual di kedua-dua belah jalan itu sedang melaungkan tentang barang jualan mereka. Walaupun masih tengah hari, tanglung-tanglung yang tergantung di atas membuatkan suasana ini kelihatan seperti pesta. Sewaktu memerhatikan kerumunan orang ramai ini, mata Fan Zhuo bersinar dengan perasaan kagum.

Mereka berdua memakai pakaian kasual. Jika dibandingkan dengan pemuda-pemuda yang memakai pakaian seragam Akademi Zephyr yang berjalan-jalan di situ, Fan Zhuo dan Jun Xie kelihatan kurang menonjol.

Setelah puas memerhatikan suasana itu, Fan Zhuo akhirnya melangkah masuk ke rumah tumpangan itu bersama-sama Jun Xie.

Tetapi sebelum sempat dia menghadamkan segala pemandangan di luar tadi, satu jeritan kuat yang hampir meruntuhkan bumbung kedengaran dari dalam rumah tumpangan tersebut!

"Kelakar betul! Siapa datang dulu, dialah yang dapat. Tu pun tak tahu ke? Kami sudah pun tempah bilik ini dulu. Kenapa pula kami kena beri pada kamu?" Satu suara yang amat dikenali bertempik dari dalam rumah tumpangan itu. Jun Wu Xie yang sedang berjalan di sebelah Fan Zhuo, mengangkat keningnya sedikit.

Di dalam dewan utama di tingkat bawah itu, beberapa orang pelajar yang terbahagi kepada dua kumpulan sedang bertengkar.

Salah satu kumpulan pemuda itu memakai pakaian seragam Akademi Zephyr. Cara mereka berdiri menunjukkan keangkuhan.

Satu lagi kumpulan terdiri daripada tiga orang lelaki dan seorang perempuan. Mereka kelihatan masih muda. Salah seorang pemuda tampan di dalam kumpulan ini sedang berdiri dengan kakinya memijak satu bangku. Dia dengan tegasnya cuba menghalang jalan naik ke tangga menuju ke tingkat dua.

Tetamu lain di dalam dewan utama itu semuanya memerhatikan suasana tegang ini. Pemilik rumah tumpangan itu dan pembantunya kelihatan risau. Mereka mahu tampil mengatakan sesuatu, tetapi tidak berani bertindak terburu-buru.

Salah seorang pemuda dari kumpulan yang memakai pakaian seragam Akademi Zephyr itu melangkah ke hadapan dan ketawa mengejek pada pemuda-pemuda yang menghalang laluan mereka itu.

"Anjing yang baik tak akan menghalang laluan orang. Siapa datang dulu, dialah yang dapat? Merepeknya. Rumah tumpangan ni tempat orang berniaga. Tentulah mereka akan berikan bilik kepada sesiapa yang boleh membayarnya. Kalau kamu rasa ini tak adil, bayar lebih sajalah. Kalau tak boleh bayar lebih, pergilah menyalak di tempat lain!"