Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 533 - Berpasangan dalam Mencari Seksaan (1)

Chapter 533 - Berpasangan dalam Mencari Seksaan (1)

Fan Jin cepat-cepat bertemu dengan Gong Cheng Lei dan jawapan yang diterimanya daripada lelaki itu amat mengejutkan.

Dia mendapat tahu yang Ning Rui sudah bertahun-tahun membantu Fan Qi mencari tonik-tonik yang sesuai untuk pemulihan kesihatan. Ning Rui juga kerap pergi ke dapur peribadi Fan Qi. Apabila memikirkan kembali tentang tekaan Jun Wu Xie, Fan Jin terpaksa mempertimbangkan kemungkinan itu dengan serius walaupun dia tidak suka berbuat begitu.

Ning Xin menjadi dalang di sebalik cubaan membunuh ke atas Fan Jin dan ayahnya pula mungkin sekali orang yang telah meracuni makanan Fan Zhuo untuk membunuhnya.

Fan Jin amat terkejut dan kecewa. Dia tidak mampu membayangkan dua orang yang selama ini amat dipercayainya dan dianggap sebagai keluarga, sengaja merancang untuk membunuh dia dan Fan Zhuo.

Dengan berat hatinya, Fan Jin berkongsi petunjuk yang diperolehnya dengan Jun Xie dan Fan Zhuo. Kemudian dia berlalu pergi dengan langkah yang lesu.

Dia memerlukan masa untuk menghadamkan segala maklumat yang didapatinya hari ini.

"Pasti abang amat terkejut kali ini," Fan Zhuo mengeluh sewaktu melihat keadaan abangnya yang berlalu pergi dari situ.

Jun Wu Xie sedang duduk di hujung sebuah kerusi buluh di kawasan halaman hutan buluh. Tuan Embek Embek pula sedang gembira makan rumput segar di kakinya.

"Akan tiba masanya kamu perlu bangkit daripada mimpi," kata Jun Wu Xie sambil mendukung kucing hitam kecil itu.

Memang beginilah sikap Fan Jin. Dia cenderung mencari keindahan di sekelilingnya. Sebab itulah dia sering bersemangat. Sebab itu jugalah walaupun semua khabar angin mengenai Jun Xie telah mencemarkan namanya, Fan Jin tidak ambil peduli dan tetap tegas membela Jun Xie.

Sikap ini ada baik dan buruknya.

Di dalam keadaan yang aman, orang seperti ini amat dihormati. Tetapi sewaktu berada di dalam situasi penuh bahaya, orang ini mudah menjadi korban.

"Apa yang abang saya perlu buat sekarang ni? Perangai ayah sama sahaja sepertinya. Melainkan dia sendiri yakin dengan keraguan ini, kalau abang dan saya beritahu padanya sekalipun, dia tidak akan curiga dengan rakan segurunya sendiri." Fan Zhuo duduk di satu sudut yang redup. Dia berasa tidak berdaya untuk menguruskan anak-beranak Fan ini. Kalau bukan disebabkan mereka terlalu mudah mempercayai orang, mereka pasti akan mendapat tahu tentang rancangan jahat Keluarga Ning itu dengan lebih cepat.

"Kita tunggu dan lihat." Jun Wu Xie tidak berniat untuk terlalu banyak masuk campur.

Dia tidak peduli dengan reaksi pasangan ayah dan anak keluarga Fan. Jun Wu Xie memutuskan, cukuplah jika dia tahu apa yang dia perlu tahu.

Fan Zhuo tersenyum dan memandang matahari yang panas itu dengan hati yang dipenuhi kehangatan.

Sewaktu Ning Xin muncul sekali lagi di hutan buluh itu, Fan Zhuo masih tersenyum. Matanya yang kelihatan mesra itu memandang seorang pemuda yang berada di sisi Ning Xin.

"Abang Zhuo, ini Yin Yan dari fakulti Pemulih Roh. Dia pernah menjadi rakan serumah Jun Xie. Yin Yan ini agak rindukan Jun Xie kerana sudah lama mereka tidak bertemu. Sebab itulah saya bawa dia bersama-sama saya. Harapnya kami tidak terlalu menyusahkan Abang Zhuo," kata Ning Xin sambil tersenyum manis. Setelah ditolak sebelum ini, dia memerlukan masa dua hari untuk pulih sebelum dapat memaksa dirinya untuk datang ke situ lagi.

Kali ini dia membawa Yin Yan bersama-sama dengannya dan Ning Xin amat jelas tentang apa yang mahu dicapainya hari ini.

Fan Zhuo tersenyum mesra tetapi raut wajah Yin Yan kelihatan marah. Matanya kelihatan mesra. Namun sebaliknya, matanya merenung tajam pada Fan Zhuo, perasaan dendamnya jelas terpancar.

Pertunangan Ning Xin dengan Fan Zhuo sudah lama berlaku dan hal ini telah pun tersebar ke seluruh Akademi Zephyr. Tetapi memandangkan Ning Xin jarang berinteraksi dengan Fan Zhuo, hal pertunangan itu perlahan-lahan lenyap dan hampir dilupakan. Yin Yan sudah lama sukakan Ning Xin dan berharap dapat memenangi hati gadis cantik itu. Tetapi kini, Yin Yan menyedari yang dia dibawa sejauh ini untuk bertemu Fan Zhuo dan hatinya berasa dirobek-robek tanpa belas kasihan. Dia tidak mampu untuk senyum dengan orang di hadapannya ini.

Matanya memerhatikan Fan Zhuo dari atas ke bawah. Satu ketawa mengejek bergema di dalam hatinya.

Jadi kenapa kalau dia ni anak Guru Besar? Dia masih lagi si sampah yang sedang nazak. Lelaki yang hampir mati bila-bila masa ini tidak layak untuk Ning Xin!

Yin Yan langsung tidak mempedulikan Fan Zhuo. Matanya juga tidak menunjukkan perasaan hormat. Kebenciannya tidak diselindungkan. Yin Yan menganggap Fan Zhuo tidak layak untuk dia ambil peduli pun.