Sebelum Fan Jin sempat berkata apa-apa, Jun Wu Xie tiba-tiba bersuara, "Bawalah dia bersama kita."
Kata-kata yang tiba-tiba diucapkan oleh Jun Xie ini membuatkan semua orang tergamam dan terdiam.
Fan Jin tidak percaya dengan apa yang dia dengar. Jun Xie suruh bawa Li Zi Mu sekali? Li Zi Mu, budak tak guna yang menyebabkan hari-hari Jun Xie di Akademi Zephyr penuh sengsara? Jun Xie setuju Li Zi Mu sertai mereka?
Li Zi Mu turut terkejut dan dia memandang Jun Xie. Sangkanya Fan Jin akan menerimanya dan Jun Xie yang akan membantah. Dia langsung tidak terfikir yang Jun Xie yang pertama sekali akan bersetuju.
Malah para pelajar lain di dalam kumpulan Li Zi Mu juga tercengang dan mereka memandang Jun Xie dengan perasaan tidak percaya.
Mereka tahu benar tentang "dendam" di antara Jun Xie dan Li Zi Mu. Malah Jun Xie terpaksa menyembunyikan diri di hutan buluh dan lama tidak memunculkan diri. Li Zi Mu pula tidak henti-henti cuba meminta simpati menggunakan insiden di antara dia dan Jun Xie sebelum ini. Semua orang tahu mereka berdua ini musuh ketat.
Kini Jun Xie meminta Fan Jin menerima Li Zi Mu dengan begitu sahaja?
Pemuda-pemuda lain di situ berasa amat bingung dan keliru.
Jun Wu Xie menjeling Fan Jin sekilas dan keengganan yang baru saja mahu disuarakan oleh Fan Jin, ditelan dengan tergesa-gesa. Sebaliknya, Fan Jin menenangkan dirinya dan berkata pada Li Zi Mu, "Kamu boleh ikut saya, tapi pastikan kamu tingkatkan usaha! Kalau tak, saya akan campakkan kamu pada Binatang Roh untuk dijadikan makanan!" Fan Jin tak sanggup mengambil budak tak guna yang tak mengenang budi itu, tetapi dia tidak dapat bertegas setelah diberikan jelingan dingin oleh Jun Xie. Akhirnya dia hanya mampu mengikut sahaja.
Li Zi Mu tersenyum gembira pada ketika itu dan bersungguh-sungguh berterima kasih kepada Fan Jin. Dia langsung tidak mempedulikan Jun Xie yang mula-mula sekali membenarkan dia mengikut mereka.
Jun Wu Xie hanya menundukkan pandangan matanya dan tidak berkata apa-apa.
Para pemuda lain yang telah "dikhianati" oleh Li Zi Mu baru saja mahu meradang apabila Jun Wu Xie tiba-tiba bersuara sambil mencampakkan beberapa botol berisi ubat pada mereka.
"Rawat luka kamu," kata Jun Wu Xie tanpa sebarang perasaan.
Pemuda-pemuda itu menangkap botol yang dicampakkan dan memandang Jun Xie dalam kekeliruan. Mereka tak faham kenapa Jun Xie akan bertindak begitu kerana mereka juga telah terlibat dalam mengutuk Jun Xie di belakangnya. Kini mereka telah diabaikan oleh salah seorang anggota kumpulan mereka sendiri dan Jun Xie yang selama ini mereka keji dengan kejam pula yang telah menghulurkan pertolongan….
"Li Zi Mu tu licik orangnya. Kamu….kamu perlu jaga-jaga." Pelajar senior yang merupakan mentor Li Zi Mu itu menggenggam botol ubat di dalam tangannya dan merenung Jun Xie seketika. Dia menyampaikan peringatan itu sebelum berpaling dan berlalu dari situ bersama-sama anggota kumpulannya yang lain.
Interaksi pendek itu tadi telah mula mengubah pemikiran mereka mengenai Jun Wu Xie.
"Orang yang bijak berubah mengikut keadaan, Senior Fan. Senior seorang yang berkemahiran tinggi dan saya fikir kita perlu menjadi seperti burung-burung yang sentiasa mencari dahan lebih tinggi untuk bertenggek." Li Zi Mu langsung tidak mempedulikan kata-kata bekas ahli kumpulannya dan hanya fokus untuk merapatkan diri ke sisi Fan Jin.
Air muka Fan Jin menjadi semakin gelap dan dia masih tidak faham dengan apa yang sebenarnya Jun Xie mahu lakukan.
"Aduhai, bodohnya dia ni." Tiba-tiba terdengar satu suara menyindir sambil ketawa.
Li Zi Mu berpaling untuk memandang punca suara itu.
Fei Yan tersenyum memandang Li Zi Mu dengan simpati.
Li Zi Mu berkerut. Pelajar kampus cawangan berani bersikap sombong dengan dia?
"Qiao Chu, Abang Hua," kata Jun Wu Xie sambil menelengkan kepalanya dan selepas memastikan semua pemuda lain telah pergi dari situ.
Bibir Hua Yao tersenyum kejam dan Qiao Chu melagakan kedua-dua penumbuknya. Mereka membalas serentak, "Faham!"
Fan Jin masih cuba mentafsir apa maksud sebenar Jun Xie apabila tiba-tiba dia terdengar jeritan yang menyayat hati di sebelahnya!
Li Zi Mu dari tadi berdiri di sebelah Fan Jin, cuba sedaya upaya untuk membuatkan dia berasa kagum. Dalam sekelip mata, Hua Yao dan Qiao Chu menggenggam kedua-dua belah bahu Li Zi Mu dan menolak dia ke sebatang pokok yang ada di belakangnya.