"Jun Xie?" Ning Rui menyebut nama itu. Nama yang berulang-kali Ah Jing ulangi. Matanya mengecil dan dia berpusing lalu bercakap pada pelajar yang berdiri di belakangnya, "Bawa Cik ke pejabat saya."
Selepas memberikan arahan tersebut, Ning Rui berjalan pergi, menuju arah yang semakin menjauhi pejabat Guru Besar.
Ning Rui duduk di dalam pejabatnya. Wajahnya yang lembut dan kelihatan baik itu nampak seperti sedang berfikir panjang. Beberapa ketika kemudian, satu bunyi ketukan memecah kesunyian. Ning Rui mengangkat kepalanya lalu berkata, "Masuk."
Pintu itu ditolak sehingga terbuka dan seorang gadis muda melangkah masuk, berjalan dengan lemah gemalai. Dia terlihat Ning Rui lalu menyapa dengan lembut, "Ayah nak saya datang cepat-cepat ke sini, ada apa ya?"
Gadis muda yang baru saja masuk itu bergerak dengan lemah lembut serta memiliki rupa parasnya cantik. Dia ialah Ning Xin. Semua pelajar di akademi ini menghormatinya dan memanggilnya sebagai Senior Ning.
Ning Rui memandang anak perempuannya yang lembut dan cantik itu dengan penuh bangga. Dia melambai memanggil anaknya duduk, sebelum berkata, "Ayah terserempak dengan Ah Jing hari ini."
"Ah Jing? Budak bodoh yang melayan Fan Zhuo di rumahnya yang terpencil tu?" Ning Xin bertanya sebagai balasan.
Ning Rui mengangguk. "Ya. Seperti biasa, budak tu memang dungu. Ayah berjaya buat dia mendedahkan segala-galanya hanya dengan menunjukkan Ayah ambil berat tentangnya. Fan Zhuo ada menerima tetamu ke hutan buluh itu bulan lepas dan Fan Jin yang membawa tetamu itu ke situ."
"Oh? Fan Zhuo sanggup tinggal bersama-sama orang lain? Pelik juga tu," kata Ning Xin sambil mengangkat keningnya.
"Kamu kenal orang yang tinggal di situ."
"Siapa?"
"Jun Xie."
Perasaan terkejut terlintas di wajah Ning Xin namun dia segera tenang.
"Fan Jin benar-benar bawa budak tu ke sana? Kenapa?" Budak itu cuma pelajar yang disingkirkan dari fakulti Pemulih Roh. Kenapa pula Fan Jin begitu banyak berusaha untuknya?
Ning Rui menyambung, "Kamu minta Ayah tolong kamu cari Jun Xie untuk menggunakannya bagi menentang Fan Jin. Sekarang kamu dah tahu di mana dia berada. Tapi kalau dia terus tinggal bersama-sama Fan Zhuo di hutan buluh tu, kamu tak akan dapat mengapa-apakan dia."
Ning Xin berfikir-fikir sejenak. Dia tak peduli jika Jun Xie hidup atau mati dan hanya mahu menggunakan budak itu demi menentang Fan Jin yang amat popular serta mempunyai reputasi yang baik di Akademi Zephyr. Tak mudah bagi Ning Xin untuk menjatuhkannya. Tapi kali ini, Fan Jin sudah tersilap langkah dan melindungi Jun Xie yang sering disasarkan oleh orang lain kerana banyak kesalahan yang dilakukannya. Ini memberikan Ning Xin peluang terbaik untuk menjatuhkan Fan Jin.
Sepanjang tempoh ini. Ning Xin membuatkan orang lain menyebarkan khabar angin yang tidak elok tentang Fan Jin dengan menggunakan alasan kesalahan Jun Xie. Ini membuatkan reputasi Fan Jin yang hebat itu mula tercalar.
"Tak perlu terburu-buru. Selagi saya tahu di mana budak itu berada, anak ayah ini akan dapat memaksa dia untuk melakukan apa yang saya mahukan." Wajah Ning Xin yang cantik itu tiba-tiba diselubungi kekejaman.
Ning Rui merenung Ning Xin dan memberikan amaran, "Dari segi kebolehan, Fan Jin jauh lebih kuat berbanding Fan Zhuo. Di dalam Akademi Zephyr pula, reputasi Fan Jin sentiasa lebih tinggi daripada kamu."
Mata Ning Xin mengecil. Wajahnya yang cantik serta tipu muslihatnya membolehkan Ning Xin menjadi Senior Ning yang paling popular dan dihormati di Akademi Zephyr. Namun begitu, sekuat mana sekalipun dia berusaha, dia tak akan dapat menggantikan tempat Fan Jin di hati para pelajar di akademi tersebut.
Ning Rui meneruskan lagi, "Ah Jing beritahu Ayah yang penyakit Fan Zhuo sudah berbalik dan nampaknya dia semakin tenat. Keadaan badan Fan Zhuo itu tidak memungkinkan dia bertahan lama. Tanpa Fan Zhuo, Fan Qi tidak akan mempunyai saudara-mara sedarah. Fan Jin itu cuma anak angkat dan reputasinya sudah jatuh teruk. Tapi semua ini masih belum cukup lagi. Ning Xin, kamu tak pernah mengecewakan Ayah. Harapnya kali ini kamu boleh memikirkan rancangan yang cukup baik untuk menguruskan hal ini."
Ning Xin mengangguk. Tanpa perlu dijelaskan, dia faham apa yang Ning Rui maksudkan dengan kata-kata 'menguruskan hal ini.'