Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 430 - Penyakit atau Racun (5)

Chapter 430 - Penyakit atau Racun (5)

"Jun Xie! Muka Fan Zhuo…." Fan Jin berpaling untuk memandang Jun Xie sambil tersenyum lebar. Tetapi dia mendapati Jun Xie memandangnya dengan sangat jijik.

Raut wajah Fan Jin menunjukkan kebingungannya. Dia melangkah ke hadapan tetapi Jun Xie juga cepat-cepat berundur satu langkah.

"Jangan datang dekat." Mata Jun Wu Xie kelihatan dingin.

Hati Fan Jin menjadi perit. Dia tiba-tiba teringat perasaan curiga ke atas Jun Xie yang ditunjukkan sewaktu mula-mula membuka pintu tadi. Fan Jin berasa amat bersalah.

Dia dapat melihat dengan jelas dengan matanya sendiri yang keadaan Fan Zhuo sudah bertambah baik. Tak kiralah betapa jahilnya dia tentang bidang perubatan, Fan Jin tahu apa yang Jun Xie lakukan tadi ialah demi menyelamatkan nyawa Fan Zhuo. Tetapi dia pula telah meragui niat Jun Xie.

"Jun Xie, saya benar-benar minta maaf. Saya tak berniat nak meragui kamu. Tapi sewaktu saya buka pintu tadi, mata saya terpandang situasi itu dan tak dapat memberikan reaksi sebaiknya. Saya benar-benar minta maaf." Fan Jin ikhlas memohon maaf kerana dia tak mahu Jun Xie memandangnya dengan perasaan jijik sebegitu.

Jun Wu Xie berkerut, tidak memahami kenapa Fan Jin meminta maaf. Dia langsung tidak ambil peduli dengan kata-kata Fan Jin.

"Kotor." Jun Wu Xie amat meyampah dengan kekotoran yang terlekat pada Fan Jin. Dia memicit hidungnya sambil menuding jari pada Fan Jin dan hanya meluahkan sepatah kata.

Akhirnya Fan Jin terfikirkan sesuatu dan dia memandang dirinya sendiri. Barulah dia sedar yang dia diselaputi cecair hitam pekat dan berbau busuk yang Fan Zhuo muntahkan tadi. Fan Jin tidak memberi perhatian pada bau busuk yang datang dari badannya kerana dia terlalu terkejut. Selepas Jun Xie memberitahunya, barulah deria baunya tiba-tiba kembali dan bau busuk itu menusuk ke hidungnya. Fan Jin terjeluak dan hampir muntah di situ juga.

Dia cepat-cepat menutup mulutnya dengan tangan dan meluru keluar dari bilik itu.

Seketika kemudian, bunyi orang sedang muntah di luar kedengaran melalui pintu yang terbuka. Selepas itu terdengar pula bunyi air yang mengalir.

Jun Wu Xie masih berkerut sambil memandang Fan Zhuo serta semua kekotoran di tepi katil itu. Tapi dia akhirnya melangkah ke depan untuk memeriksa keadaan Fan Zhuo.

Pergolakan di dalam badan Fan Zhuo sudah reda tetapi dia masih terlalu lemah. Dia mungkin dapat diselamatkan hari ini, tetapi badannya yang lemah itu tidak akan membolehkan dia bertahan lama.

Perjalanan Fan Zhuo untuk sembuh sepenuhnya memerlukan dia bermula dengan pemulihan keadaan badannya. Ini tidak dapat dicapai dalam masa semalaman.

Selepas Fan Jin membersihkan diri dan menyalin pakaian, dia kembali ke bilik itu. Fan Jin melihat Jun Xie berdiri di tepi katil itu dan memeriksa nadi Fan Zhuo. Pandangan mata Fan Jin terus menjadi lembut.

Jun Xie memandangnya dengan penuh jijik kerana keadaannya kotor dan sekarang ini Jun Xie berdiri di tepi katil Fan Zhuo. Fan Jin tahu kekotoran di tepi katil itu lebih banyak berbanding dengan apa yang menyeliputinya tadi.

"Terima kasih." Fan Jin hanya meluahkan dua patah perkataan yang ringkas, tetapi kata-kata ini benar-benar ikhlas dari hatinya.

"Tak perlu." Jun Wu Xie berpusing untuk memandang Fan Jin. Dia berjaya menyelamatkan Fan Zhuo hari ini, tetapi badan Fan Zhuo masih terlalu lemah. Kalau dia mahu mula merawat keadaan badan Fan Zhuo, dia perlu menangguhkannya dulu kerana Fan Zhuo baru saja mengalami trauma dan badannya tak akan mampu menanggung sebarang beban lagi.

"Macam mana keadaan Fan Zhuo sekarang?" tanya Fan Jin.

"Baik-baik saja sekarang ni, tapi kalau keadaan ini berterusan, dia tak akan mampu bertahan lebih daripada setahun," kata Jun Xie dengan perlahan. Kemudian dia menyambung lagi, "Memberikan dia sebarang eliksir sekarang ini hanya akan mempercepatkan kematiannya."

Mata Fan Jin terbeliak dan dia merenung Jun Xie dalam keadaan terkejut.

"Ap….. Apa!?" Eliksir akan membunuh adiknya, Fan Zhuo?

"Badan dia tak akan mampu menanggung kesannya." Jun Wu Xie hampir membuat muka menyampah. Dia langsung tak ada kesabaran untuk menerangkan pada seseorang yang tak tahu apa-apa tentang bidang perubatan mengenai pengetahuan asas bahawa semua ubat-ubatan mengandungi elemen racun.

"Jadi….Apa boleh kita buat? Ayah mahu bawa Fan Zhuo ke Kumpulan Qing Yun, tapi Kumpulan Qing Yun pula sudah lenyap!" Fan Jin tunduk, matanya penuh kekecewaan.