Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 427 - Penyakit atau Racun (2)

Chapter 427 - Penyakit atau Racun (2)

"Tuan Muda Jun! Tolong cari Tuan Muda Sulung dan beritahu dia yang Tuan Muda jatuh sakit." Ah Jing merayu pada Jun Wu Xie. Air matanya mengalir membasahi pipi.

Jun Wu Xie menggelengkan kepala lalu mengeluarkan jarum perak yang sentiasa dibawa bersama. Dia berkata pada Ah Jing dengan suara yang dingin, "Pergi ambil air panas dan wain yang suam."

"Apa?" Ah Jing terkejut dan tidak bergerak. Dia terlihat Jun Xie sedang memegang jarum perak yang lebih panjang daripada jari-jarinya dan mahu menggunakan jarum-jarum itu ke atas Fan Zhuo. Ah Jing terperanjat lalu kembali sedar. Dia menerkam Jun Xie, menarik tangan pemuda itu yang baru sahaja mahu mencucuk jarum-jarum tersebut ke badan Fan Zhuo.

"Apa yang kamu nak buat pada Tuan Muda saya!"

Saat seperti ini Jun Xie tidak berlari mencari Fan Jin untuk mendapatkan bantuan orang ramai tetapi sebaliknya mahu menggunakan jarum-jarum itu pada Fan Zhuo? Semua khabar angin dan gosip yang dia dengar sebelum ini tiba-tiba muncul di minda Ah Jing. Mata yang sedang merenung Jun Xie itu tiba-tiba berubah.

"Kalau kamu berani mengapa-apakan Tuan Muda saya dengan apa cara sekalipun, saya tak akan lepaskan kamu!"

Kening Jun Wu Xie berkerut sambil dia memandang mata Ah Jing yang dipenuhi perasaan marah. Jun Wu Xie berbisik, "Hitam Kecil."

Sebaik kata-kata tersebut keluar dari mulut Jun Wu Xie, kucing hitam kecil, yang tadinya sedang berbaring di atas bahu Jun Wu Xie tiba-tiba menerkam Ah Jing. Badan kucing kecil itu berubah lalu bertukar menjadi binatang hitam yang besar!

"ARGH! !" Ah Jing dihimpit ke tanah oleh binatang hitam itu lalu menjerit ketakutan.

"Diamlah," kata Jun Wu Xie sambil berkerut.

Binatang hitam itu membuka mulutnya lalu mencengkam dan menggigit Ah Jing. Disebabkan terlalu takut, Ah Jing tidak berani berkata apa-apa. 

Bilik itu akhirnya menjadi sunyi dan Jun Wu Xie terus menggunakan jarum-jarumnya.

Ah Jing merenung sahaja tanpa berkata apa-apa. Dia melihat Jun Wu Xie mencucuk jarum-jarum perak yang panjang ke badan Fan Zhuo. Sewaktu terlihat jarum-jarum itu menembusi badan Fan Zhuo sepenuhnya, mata Ah Jing bertukar merah. Semua gosip dan khabar angin tentang Jun Xie terngiang-ngiang di telinganya secara berulang kali dan mula terpahat di fikirannya. Mungkinkah ada musang berbulu ayam dalam kalangan mereka?

Jun Wu Xie tidak mempunyai masa untuk ambil peduli dengan apa yang Ah Jing sedang fikirkan. Keadaan Fan Zhuo terlalu teruk. Jun Wu Xie mengesyaki yang badannya bukan sahaja menanggung penyakit yang sudah berakar umbi, tetapi ada juga terseksa akibat kesan racun.

Tetapi Jun Wu Xie agak bingung. Dia sudah membaca denyutan nadi Fan Zhuo tak lama dulu dan tidak mengesan sebarang kesan racun di dalam badan pemuda itu. Namun begitu, hari ini racun itu memberi kesan yang amat kuat kepada Fan Zhuo. Mungkinkah ini hanya kebetulan atau ada dalang di sebaliknya?

Jun Wu Xie berusaha menstabilkan urat darah serta arteri Fan Zhuo. Dalam masa yang sama, dia juga bekerja keras untuk mengeluarkan racun dari badan Fan Zhuo menggunakan jarum-jarum perak itu. Warna darah yang mengalir keluar dari badan Fan Zhuo membuatkan Jun Wu Xie mengangkat kening penuh tanda tanya.

Warna darah Fan Zhuo amat cair, tak seperti warna darah yang biasa. Sewaktu menitis melalui jarum-jarum perak tersebut, bau darah Fan Zhuo juga tidak begitu kuat. Darah itu tidak kelihatan seperti telah dicemari racun. Keadaan ini tidak menepati diagnosis asal Jun Wu Xie.

Mungkinkah penyebabnya bukan racun?

Jun Wu Xie mengangkat kening sambil berfikir. Tangannya tak henti-henti bergerak. Badan Fan Zho amat lemah selama ini. Dia dapat bertahan sepanjang tempoh ini pun sudah boleh dianggap sebagai satu keajaiban. Sawan yang menyerangnya secara tiba-tiba ini telah menghabiskan sisa kekuatan yang ada pada badannya. Nyawa Fan Zhuo semakin menghampiri penghujungnya. Kalau dibiarkan, dia akan kehilangan nyawanya dalam masa dua jam!

Ini bukan masanya untuk berasa terganggu dengan simptom-simptom aneh pada badan Fan Zhuo. Sebaliknya, fokus sekarang ini ialah untuk memastikan pemuda ini terus hidup.

Mata Jun Wu Xie tiba-tiba bersinar dengan cahaya dingin. Dalam situasi seperti inilah dia akan berjuang habis-habisan menentang Dewa Maut demi mendapatkan setiap saat yang boleh demi pesakitnya. Ini membuatkan darah Jun Wu Xie membara dan dia menjadi begitu teruja.

Jun Wu Xie menggunakan dua belas batang jarum perak untuk membina asas bagi melindungi arteri utama jantung Fan Zhuo. Tujuh batang jarum perak lagi digunakan untuk menutup titik akupuntur Fan Zhuo bagi menangani masalah pernafasannya yang semakin lemah. Sambil menggenggam erat jarum-jarumnya, tangan Jun Wu Xie bergerak pantas setelah keadaan badan Fan Zhuo semakin stabil dan memulakan perjuangan untuk menyelamatkan nyawa Fan Zhuo dari cengkaman Dewa Kematian.