Senior Ning dan Gu Li Sheng, kedua-duanya memberikan perhatian kepada Li Zi Mu sehingga membuatkan Yin Yan agak cemburu. Apabila dia melihat bagaimana Li Zi Mu tidak cekap melakukan tugasan hariannya, Yin Yan tidak dapat menahan dirinya daripada tersenyum gembira.
Li Zi Mu itu cuma sampah yang tak akan mencapai apa-apa kejayaan.
"Macam mana boleh jadi begini?" Senior Ning bertanya sambil berkerut. Keadaan tidak berlaku seperti yang dia rancangkan.
Selama dua minggu ini, dia agak mesra dengan Li Zi Mu kerana dia berniat mahu menarik Li Zi Mu untuk menyertai mereka. Tetapi jika potensinya tidak menepati jangkaan, Senior Ning telah membazirkan usahanya.
"Perhatikan dia selama dua minggu lagi. Kalau keadaan tak bertambah baik, beritahu saya. Saya berniat mahu suruh ayah saya letakkan Li Zi Mu di bawah jagaan saya. Tapi kalau ternyata dia tu tak berguna, saya tak perlukan sampah sepertinya." Senior Ning merungut dengan tidak puas hati. Setiap pelajar senior boleh mengambil dua pelajar junior untuk diletakkan di bawah jagaan mereka. Dia telah pun memberikan satu tempat kepada Yin Yan. Dia terfikir mahu mengambil Li Zi Mu untuk mengisi kedudukan kedua, tetapi nampaknya dia harus memikirkan hal ini semula.
"Jangan risau, Senior Ning. Saya akan perhatikan kemajuan prestasi Li Zi Mu dengan teliti." Yin Yan menjawab sambil menundukkan kepala, menyembunyikan senyuman jahat yang bermain di bibirnya.
Senior Ning melambaikan tangannya dengan sedikit jengkel.
…..
Masa beredar dan hari demi hari berlalu. Jun Wu Xie sudah pun tinggal di kediaman kecil di dalam hutan buluh itu selama sebulan. Sepanjang sebulan ini, khabar angin di dalam Akademi Zephyr tidak berkurangan, malah semakin bertambah hebat. Tetapi Jun Wu Xie tidak menyedari hal ini.
Selepas menjalankan kajian selama sebulan, Jun Wu Xie akhirnya dapat memahami kekurangan pada teknik Pemulihan Roh sewaktu proses penukaran kuasa rohani seseorang. Teknik pemulihan Roh milik Gu Li Sheng itu sekadar menukarkan kuasa rohani seseorang menjadi tenaga rohani bagi merawat roh berkontrak yang tercedera. Tetapi Jun Wu Xie mendapati, tanpa penukaran kuasa rohani seseorang sekalipun, tenaga rohani dapat disalurkan terus untuk merawat roh berkontrak. Walaupun proses penyembuhan seperti ini lebih perlahan, keadaan ini menyingkirkan kelemahan utama teknik Gu Li Sheng iaitu kehilangan kuasa rohani secara berlebihan.
Jun Wu Xie sudah mengujinya ke atas Teratai Salji beberapa kali dan dia mendapati tenaga kehidupan Teratai Salji semakin kuat sejak beberapa hari ini. Kuntuman bunganya yang layu, kini semakin lebat dan subur, sama seperti sebelum ini. Jun Wu Xie juga jelas dapat merasakan aliran tenaga rohani yang amat dikenalinya mengalir keluar dari Teratai Salji.
Dia percaya, dalam masa dua minggu lagi, Teratai Salji pasti dapat sembuh sepenuhnya.
Hari itu, selepas Jun Wu Xie menyempurnakan rawatan ke atas Teratai Salji, satu lagi idea muncul di dalam fikirannya. Dalam tempoh sebulan dia tinggal di hutan buluh itu, walaupun dia tak banyak keluar dari biliknya, dia dalam diam memerhatikan keadaan kesihatan Fan Zhuo. Seperti yang dinyatakan oleh khabar angin yang tersebar di luar, badan Fan Zhuo yang lemah itu tak dapat bertahan lama lagi. Jumlah eliksir yang diambilnya melebihi jumlah makanannya. Walaupun eliksir itu mungkin mampu menampung tubuh badannya dan membiarkan dia hidup lebih lama sedikit, ubat-ubatan dan eliksir masih lagi merupakan sejenis dadah yang boleh meracuni badan. Eliksir yang dimakannya dengan banyak setiap hari akan turut menyebabkan sedikit kerosakan pada badannya.
Kesan negatif ini tak akan dapat dilihat pada peringkat awal, tetapi apabila kesannya terkumpul dalam tempoh masa yang lama, badan Fan Zhuo lama-kelamaan akan menjadi tidak berguna.
Jun Wu Xie berjalan menuju rumah Fan Zhuo dan berdiri di hadapan pintu yang tertutup rapat. Dia baru saja mahu mengangkat tangannya untuk mengetuk pintu apabila suara Ah Jing kedengaran dari dalam.
"Tuan Muda, Jun Xie dalam khabar angin di luar tu sama ke dengan Tuan Muda Jun yang tinggal di sini bersama-sama kita? Tuan Muda tak sedar tentang hal ini tetapi semua orang di luar mengutuk Tuan Muda Sulung. Semuanya disebabkan oleh Jun Xie…."
"Ah Jing, apa yang tak kena dengan kamu ni?" Suara Fan Zhuo kedengaran bertanyakan soalan.
Ah Jing memberitahu Fan Zhuo segalanya yang dia dengar tentang Jun Xie sejak hari pertama kemasukannya sehinggalah sekarang. Nada suara Ah Jing kedengaran seperti sedang mengkritik Jun Xie.
"Mana mungkin Tuan Muda Sulung sanggup terlibat dengan kronisme dan bersikap pilih kasih? Tuan Muda Sulung itu orang yang paling baik dan adil dalam dunia ni. Saya tak pernah lihat Tuan Muda Jun melakukan perbuatan terkutuk tapi patutlah dia langsung tak pergi ke akademi. Pasti sebabnya ialah dia sudah banyak terlibat dalam kontroversi dan tak dapat lagi terus berada di situ."