Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 410 - Fitnah (2)

Chapter 410 - Fitnah (2)

Jun Wu Xie merenung dingin, melihatkan saja sandiwara yang berlaku di depan matanya ini. Pandai betul Li Zi Mu tu berlakon. Dari luarannya dia seolah-olah mahu menenangkan keadaan, tapi setiap kata-kata yang dinyatakan membuatkan Jun Wu Xie semakin mendapat kecaman.

Ayat-ayat Li Zi Mu itu sering diselitkan kata-kata seperti Jun Xie "mencuri" dan "merampas" tempat yang sepatutnya menjadi miliknya di fakulti Pemulih Roh.

Percakapan seperti ini tak ada kesan selain untuk memfitnah Jun Xie dan membuatkan Li Zi Mu kelihatan baik.

Pada ketika itu, Jun Xie sudah dikelilingi dari semua arah oleh para pemuda itu. Pelajar-pelajar senior di dalam dewan makan itu pula cuma memerhatikan saja, mahu melihat bagaimana kejadian ini akan berakhir. Tak ada seorang pun di antara mereka yang sanggup ke depan untuk membela Jun Wu Xie.

Sama ada kebenaran itu seperti apa yang kumpulan pemuda itu katakan atau tidak, langsung tak bermakna pada pelajar-pelajar lain di situ.

"Ke tepi," kata Jun Wu Xie sambil berdiri. Matanya yang dingin merenung kumpulan pemuda yang menghalang laluannya.

Mata Jun Wu Xie membuatkan para pemuda itu kaku. Mereka tak pernah melihat mata seseorang yang begitu dingin dan menggerunkan. Mata itu membuatkan mereka berasa seperti telah disimbah air sejuk dan kesejukan itu menusuk sehingga ke tulang.

Tapi tak lama kemudian, mereka mendapat kembali keberanian mereka yang ditunjuk-tunjuk tadi.

Cuma ada budak kecil ini saja di hadapan mereka. Apa yang mereka perlu takutkan sedangkan bilangan mereka ramai?

"Jun Xie! Jangan nak melampau. Kau dah buat perkara yang kejam tu, sepatutnya kau minta maaf dengan Zi Mu, bukan? Kau tau tak disebabkan perbuatan kau tu, takdir Zi Mu untuk menjadi Pemulih Roh hampir musnah!?" Seorang lagi pemuda yang melihat Jun Xie enggan meminta maaf serta cuba pergi dari situ, bersungguh-sungguh menambah dengan perasaan tak puas hati.

"Minta maaf?" Kening Jun Wu Xie terangkat dan mata yang dingin itu menembusi kerumunan pemuda tersebut lalu tertumpu pada Li Zi Mu.

Li Zi Mu terkejut tapi diam saja. Dia tahu perkara sebenar dan dia juga pasti Jun Xie turut mengetahuinya. Kalau Jun Xie mendedahkan kebenaran dan pembohongan Li Zi Mu di hadapan semua orang…..

Li Zi Mu cepat-cepat bertenang. Jadi apa kalau Jun Xie beritahu mereka hal sebenar pun? Keraguan yang sudah tertanam di dalam hati setiap orang ini sudah mekar. Kalau Li Zi Mu sendiri pun yang beritahu mereka bahawa ini semua hanya salah faham, tak ada siapa yang akan percaya padanya dan memikirkan yang Jun Xie hanya mencari alasan untuk menutup perbuatan jahatnya itu!

Setelah meyakinkan dirinya, Li Zi Mu kembali menjadi bangga diri.

"Betul tu! Kau perlu minta maaf!" Seorang pemuda yang berada di sisi pula menjerit.

Jun Wu Xie ketawa dingin pada ketika itu. Dia mendapati dirinya amat membenci kumpulan pemuda yang bising dan tak berakal ni.

"Saya cakap sekali lagi. Ke tepi." Mata Jun Wu Xie semakin dingin.

"Apa? Apa yang kau cakap?" Kumpulan pemuda itu terkejut mendengarkan kata-kata Jun Wu Xie sehingga mata mereka terbeliak!

Budak tak guna ni berani suruh mereka ke tepi?

Macam mana ada orang yang begitu tak tahu malu!?

"Baiklah, nampaknya kau tak mahu mengalah dengan mudah! Aku sendiri nak tengok macam mana kau nak berjalan keluar dari tempat ini hari ini!"

Mata Jun Wu Xie mengecil dan kelihatan berbahaya. Kuasa rohaninya mula menyelubungi dirinya dengan cahaya jingga. Kucing hitam kecil itu melompat ke atas bahu Jun Wu Xie dan merenung kumpulan pemuda itu yang tidak sedar maut bakal menimpa mereka.

Cahaya jingga itu terpantul di mata para pemuda yang mengelilingi Jun Wu Xie itu dan tiba-tiba mereka menjadi gerun. Mereka hanya menganggap Jun Xie sebagai pelajar paling muda dalam kalangan pelajar baru dan juga yang paling kecil tubuhnya. Mereka benar-benar terlupa yang Jun Xie juga mempunyai kuasa rohani yang paling kuat di antara mereka!

Mereka terus berundur selangkah. Tetapi apabila melihat kucing hitam kecil di atas bahu Jun Xie itu, yang nampak seperti tidak akan mendatangkan ancaman pada mereka, para pemuda ini kembali bertenang.

Dia cuma berada di tahap jingga dan mempunyai roh berkontrak yang sangat lemah. Kalau pergaduhan tercetus sekalipun, mereka masih ada peluang menentang Jun Xie!

Li Zi Mu berdiri di belakang kerumunan pemuda itu, memerhatikan tindak-tanduk Jun Xie. Senyuman jahatnya semakin melebar.

Kalau Jun Xie mengapa-apakan para pelajar lain dengan menyerang mereka, dia akan melanggar peraturan akademi!

Dia kemudiannya akan terus dihalau keluar dari akademi ini dengan serta-merta!