Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 359 - Saya yang Buat. Jadi? (1)

Chapter 359 - Saya yang Buat. Jadi? (1)

Akademi Phoenix tidak mempunyai kampus yang besar. Berpuluh-puluh tahun yang lalu, akademi ini agak maju juga. Tetapi satu kebakaran besar tiba-tiba berlaku pada ketika itu dan meragut nyawa guru-guru serta pelajar-pelajar akademi ini. Dalam masa semalaman sahaja, akademi yang selama ini sering dicari-cari oleh para pemuda dari seluruh negara itu mengalami kemusnahan. Walaupun selepas itu orang ramai ada menderma untuk pembinaan semula akademi itu, Akademi Phoenix tetap tidak dapat mencapai kegemilangan masa silamnya.

Akademi Phoenix kini mempunyai empat sayap dan jumlah pelajarnya hanya sekitar seratus orang. Berbanding dengan akademi-akademi lain yang dengan mudah boleh mendapatkan seribu orang pelajar, keadaan Akademi Phoenix memang dianggap menyedihkan.

Sewaktu Akademi Phoenix mula-mula baru dibina semula, tidak ada seorang pelajar pun masuk ke situ selama tiga tahun. Tempoh masa yang lama ini telah membuatkan ramai tenaga pengajar yang mempunyai reputasi baik meninggalkan akademi berkenaan untuk bekerja di tempat lain. Demi memastikan kelangsungan akademi berkenaan, guru besar Akademi Phoenix terpaksa merendahkan lagi syarat kemasukan ke situ.

Akademi itu yang pada mulanya dibuka hanya untuk orang yang berbakat, kini merendahkan kriteria untuk menerima sesiapa sahaja yang mampu membayar yuran.

Akademi Phoenix hanya mempunyai empat orang Tuan Guru dan setiap seorang bertanggungjawab ke atas empat sayap berbeza mengikut arah kompas iaitu Utara, Timur, Selatan dan Barat. Guru besar akademi itu ialah seseorang yang tamakkan duit. Selagi pelajar itu mampu membayar yuran, guru besar tersebut tidak mempedulikan hal-hal lain.

Kebanyakan pelajar di situ datang daripada keluarga biasa, atau merupakan anak orang kaya yang tidak berbakat dan telah ditolak oleh sekolah yang lebih hebat. Mereka hanya masuk ke Akademi Phoenix untuk membazir masa.

Yan Bu Gui ialah salah seorang Tuan Guru di Akademi Phoenix dan bertanggungjawab ke atas Sayap Timur. Jumlah pelajar yang masuk ke Sayap Timur ialah empat orang. Mereka ialah Qiao Chu, Hua Yao, Fei Yan dan Rong Ruo. Kalau tak kerana jumlah kemasukan ke Akademi Phoenix yang kecil sahaja, mereka tak mungkin akan membenarkan Yan Bu Gui menduduki bangunan Sayap Timur dengan hanya empat orang anak murid.

Yan Bu Gui dan anak-anak muridnya duduk di situ dan mereka sepatutnya membayar pihak akademi.

Tetapi…..

Pandangan mata Jun Wu Xie tertumpu kepada empat orang pelajar di Sayap Timur. Sudah dua kali dia bertemu dengan Qiao Chu dan setiap kali itulah pemuda tersebut memakai pakaian yang sudah koyak-rabak serta compang-camping. Pakaian Hua Yao lebih kemas dan bersih, tetapi fabriknya sudah nipis akibat kerap dibasuh. Berdasarkan pakaian kedua-duanya, Jun Wu Xie dapat mengagak yang keadaan kewangan mereka tidak begitu baik.

Berdasarkan jeritan-jeritan pemuda agresif di hadapan mereka ini, dia dapat membuat kesimpulan yang Hua Yao serta yang lain-lain tidak membayar satu sen pun yuran mereka dan berhutang dengan pihak akademi. Guru besar akademi itu pula sudah berulang-kali menghantar orang untuk mendesak mereka membuat bayaran. Namun sudah banyak kali ini ditundukkan oleh Yan Bu Gui.

Tetapi situasi ini nampaknya sukar untuk ditangani.

"Guru besar sudah memberikan kata dua! Kalau kamu semua masih tak boleh bayar, kamu mesti berkemas dan berambus sekarang! Jangan kamu terfikir yang Yang Bu Gui itu akan melindungi kamu lagi! Guru besar juga tak puas hati dengannya dan dia sendiri pun mungkin tak akan lama berada di sini!" Ketua pemuda itu menghamburkan kata-kata sambil menyumpah-nyumpah.

Jun Wu Xie memandang dengan senyap dari tepi. Dia mendapati kuasa rohani pemuda yang mengamuk itu hanyalah di tahap merah yang paling rendah sekali. Namun begitu, Qiao Chu dan lain-lain membenarkan diri mereka dimarahi dan diseksa dengan kata-kata.

Dia tak pasti tentang kuasa Fei Yan dan Rong Ruo, tetapi dia agak yakin yang mereka pasti setanding dengan Qiao Chu dan Hua Yao.

Mudah saja untuk mereka mengalahkan pemuda di hadapan mereka ini menggunakan kemahiran yang mereka ada. Tapi kenapa mereka langsung tidak bertindak?

Jun Wu Xie langsung tidak dapat memahaminya. Pada dia, sebagai seseorang yang kurang pengetahuan tentang interaksi di antara manusia, hanya satu perkara saja yang penting. Kalau orang tak menentang dia, Jun Wu Xie tidak akan mengapa-apakan mereka. Kalau ada sesiapa yang menentangnya, Jun Wu Xie akan membalas semula seratus kali ganda.

Sikap angkuh dan suka menguasai kumpulan pemuda itu terhadap empat orang yang diam saja ini sudah melampaui batas.

"Orang tak guna, tak tahu malu. Mereka sendiri berhutang yuran dengan akademi dan tetap mahu tinggal percuma di sini. Berani betul mereka bawa pulang lebih banyak sampah. Mereka ingat tempat ni rumah perlindungan haiwan jalanan dan pengemis ke?" Ketua pemuda itu berpaling lalu membuli Jun Wu Xie pula yang kelihatan seperti budak muda yang kurus dan bertubuh kecil. Dia tidak menganggap Jun Wu Xie sebagai satu ancaman.