Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 302 - Sinar Harapan (3)

Chapter 302 - Sinar Harapan (3)

Kadar penyerapan ini lebih perlahan berbanding ketika dia berada di Istana Lin. Tetapi dalam keadaan yang terbatas ini, tenaga rohani yang tersedia selepas dikuatkan oleh Manik Kayu Berukir telah membuatkan Jun Wu Xie terkejut kegembiraan.

Dengan adanya Manik Kayu Berukir ini, perkembangan tenaga rohaninya tidak akan lagi menjadi begitu perlahan sepanjang dia berada di kawasan Kumpulan QIng Yun.

Jun Wu Xie mengambil Manik Kayu Berukir itu dari tangan Teratai Kecil dan dapat merasakan manik itu masih sedikit hangat. Secara tiba-tiba, wajah seseorang yang nakal tetapi menawan, muncul di dalam mindanya.

Pada ketika itu, Jun Wu Xie menjadi kaku.

"Jun Wu Yao….." Nama itu keluar dari mulut Jun Wu Xie dalam satu bisikan yang hampir tidak dapat didengari. Dia menundukkan kepala dan wajahnya berkerut.

Kenapa pula dia tiba-tiba teringat pada Jun Wu Yao?

Jun Wu Xie tidak faham kenapa ia terjadi dan wajah itu terus lenyap. Dia tidak mempedulikan hal ini dan terus menyerap tenaga rohani menggunakan Manik Kayu Berukir.

Ye Sha berdiri sambil bersembunyi di sebalik bayang, melindungi Jun Wu Xie secara rahsia. Dia terkejut mendengarkan nama yang Jun Wu Xie bisikkan tadi. Suara Jun Wu Xie perlahan sahaja, tetapi dia yakin dengan apa yang didengarinya.

Bukankah itu nama "samaran" Tuan?

Pada saat itu, tangan Ye Sha bergerak dan seekor ular hitam yang sama besar dengan jarinya jatuh keluar dari lengan bajunya. Dia mengambil sekeping kertas, menulis sesuatu dan melekatkannya dengan lilin sebelum membiarkan ular itu menelan kertas berkenaan.

Dia nampak ular itu menyusur di celah-celah rumput dan hilang tidak lama kemudian. Ye Sha mengeluh panjang.

Tuan! Ini sahaja bantuan yang saya boleh berikan kepada Tuan!

Selepas malam itu, Jun Wu XIe jarang dapat dilihat berada di batas herba pada waktu siang. Tetapi pada waktu malam, setelah semua orang tidur, Jun Wu Xie akan dilihat berjalan menuju ke batas herba.

Berkenaan sikap Jun Wu Xie yang pelik, para pemuda yang masuk ke situ pada masa yang sama dengannya hanya akan bergosip sambil berbisik-bisik. Mereka tidak berani untuk menentang Jun Wu Xie secara terang-terangan.

Qiao Chu sudah mengekori Jun Wu Xie beberapa kali, tetapi dia melihat yang Jun Wu Xie hanya memotong dan merapikan tumbuhan herba. Dia merasakan hal ini amat membosankan, jadi dia berhenti mengekori Jun Wu Xie. Sebaliknya Qiao Chu menggunakan masa itu untuk mengganggu Hua Yao.

Selepas bertukar menjadi Ke Cang Ju, tugas harian Hua Yao ialah menunjukkan penampilan yang angkuh dan dingin, melayan para pengikutnya secara sewenang-wenangnya dan menjalani kehidupan yang santai. Siang atau malam, Qiao Chu akan memanjat masuk melalui tingkap secara senyap-senyap dan tiba-tiba muncul di dalam bilik Hua Yao. Malam ini, Hua Yao baru sahaja menukar pakaian dan bersedia untuk masuk tidur apabila terlihat si nakal itu memanjat masuk melalui tingkap sekali lagi. Wajah Hua Yao berubah menjadi menakutkan.

"Aduh! Abang Hua, janganlah tengok saya begitu, sakitlah." Qiao Chu melindungi matanya dan mengelak pandangan mata Hua Yao.

Sikat kayu pada tangan Hua Yao hancur menjadi debu.

"Apa yang kamu buat di sini lagi?" Hua Yao mahu sahaja mencekik budak dungu ini sehingga mati. Qiao Chu ini asyik menaikkan kemarahannya. Tak bolehkah dia menjengkelkan orang lain?

Qiao Chu duduk di atas meja dengan penuh lagak dan menuang secawan air untuk diminum. "Saya di sini hanya untuk melihat situasi sekarang. Rancangan yang kamu berdua buat sebelum ini amat bagus, tapi kenapa tak ada apa-apa yang berlaku selama beberapa hari ni? Xie Kecil hanya duduk di dalam farmasi atau berlari ke batas herba dan merenungnya. Abang pula bermalas-malasan dan hidup santai sepanjang hari. Bila kita mahu mula bertindak? Saya hampir mati kebosanan ni!"

Qiao Chu tidak faham. Mereka semua begitu teruja sewaktu membuat rancangan beberapa hari lalu, tetapi selepas itu mereka berdua tidak lagi berbincang secara lanjut.

Bukankah mereka kata mahu memulakan konflik di antara barisan Tuan Tua dan QIn Yue, kemudian menghapuskan Kumpulan Qing Yun? Kenapa mereka masih belum bertindak?

Hua Yao menarik nafas dalam. Dia sedar yang dia perlu menerangkan dengan jelas kepada si dungu ini atau dia akan diganggu berterusan sehingga mati.

"Qin Yue akan datang ke Puncak Awan Tersembunyi esok," kata Hua Yao.