Tarikh lima hari bulan pada setiap bulan ialah masa paling sibuk bagi Kumpulan Qing Yun. Puncak Berawan amat meriah pada waktu ini, ada saja aktiviti yang dijalankan. Puncak Berawan Bersempadan dengan beberapa negara, tetapi bukan milik sesiapa dan bebas merdeka. Puncak Berawan sangat curam dan berbahaya serta mempunyai sejumlah dua belas puncak. Walau bagaimanapun, hanya ada satu jalan sahaja dari kaki gunung menuju ke kemuncak.
Puncak Berawan dihormati bukan kerana puncaknya yang agung, tetapi kerana Kumpulan Qing Yun menduduki kesemua dua belas puncaknya!
Kumpulan terkuat di seluruh dunia ini, yang terkenal dengan kemahiran perubatan mereka, membuka pintu untuk merekrut orang yang berbakat dalam bidang perubatan melalui satu siri ujian. Mereka yang lulus berpeluang menyertai Kumpulan Qing Yun sebagai pengikutnya.
Kumpulan Qing Yun menetap di satu kawasan yang luas, dengan sejarah berusia berkurun lamanya. Seorang Tuan Tuan yang berkemahiran tinggi, menyelia setiap puncak.
Ada pelbagai karya perubatan dan catatan suci yang tersembunyi di dalam kediaman Kumpulan Qing Yun. Tempat ini juga merupakan tempat perlindungan suci bagi sesiapa yang sedang mempelajari ilmu perubatan. Sesiapa yang diterima menyertai Kumpulan Qing Yun, status mereka akan meningkat tinggi, dan jika ada yang diterima masuk ke Rumah Dalaman, status mereka akan terus menjadi setinggi langit.
Ramai orang akan melakukan apa saja untuk mendapatkan tempat di dalam Kumpulan Qing Yun. Sebab itulah pada hari mereka membuka pintu untuk merekrut orang baru, jalan yang luas menuju ke puncak gunung itu penuh sesak dengan orang dari seluruh dunia.
Satu kereta kuda yang tidak menonjol, berhenti di kaki gunung. Seorang pemuda yang kelihatan seperti cendekiawan, berwajah lembut dan berpakaian biasa, melangkah keluar darinya. Selepas bercakap dengan pemandu kereta kuda, pemuda itu berjalan menuju Puncak Berawan.
Jalan besar utama menuju Puncak Berawan penuh sesak dengan orang yang berjalan menuju ke gunung itu. Mereka semuanya tidak terlalu tua, dalam lingkungan empat belas sehingga lapan belas tahun.
Kumpulan Qing Yun itu mempunyai satu syarat ketat dalam proses perekrutan mereka. Hanya mereka yang berusia di antara empat belas hingga lapan belas tahun sahaja yang akan diterima. Sesiapa yang berusia lebih empat belas tahun, tak kiralah betapa luar biasa bakatnya, akan ditolak dengan tegas.
Peraturan ini mungkin kelihatan biasa sahaja bagi orang lain, tetapi Jun Wu Xie melihatnya daripada sudut berbeza.
Lingkungan usia empat belas hingga lapan belas tahun inilah dianggap waktu kritikal, tempoh masa empat tahun selepas kebangkitan roh berkontrak seseorang. Ini juga tempoh waktu di mana para remaja sedang masih dalam kekeliruan. Mereka sedang memikirkan laluan untuk mencapai kematangan dan menjadi dewasa. Kumpulan Qing Yun mahu merekrut pengikut dalam lingkungan usia tersebut supaya mudah diuruskan dan dipengaruh melalui pemupukan prinsip dan falsafah yang dipegang oleh Kumpulan Qing Yun.
Dalam kesibukan orang ramai itu, ramai remaja yang sedang meyakinkan ahli keluarga masing-masing. Mereka kemudiannya meneruskan langkah, berpura-pura berani.
Hanya remaja yang akan memohon kemasukan sahaja yang boleh menuju Puncak Berawan. Ahli keluarga mereka perlu menunggu di kaki gunung untuk mendapatkan sebarang berita. Kalau ada yang melanggar peraturan, mereka akan terus dihalau oleh pengikut Kumpulan Qing Yun yang mengawal kawasan kaki gunung itu.
Ramai juga yang dilihat sedang menarik-narik rambut, sibuk mentelaah buku-buku perubatan. Mereka mencuba sehingga ke saat akhir untuk menyumbat setiap patah perkataan di dalam buku itu, ke dalam otak mereka.
Jun Wu Xie memandang dengan acuh tak acuh sahaja. Dia memerhatikan pelbagai kejadian melucukan di sekelilingnya. Dia tak faham kenapa satu kumpulan yang mempunyai kemahiran perubatan bertaraf biasa-biasa sahaja, dapat menarik begitu ramai orang sehinggakan mereka berebut-rebut dan bergaduh hanya untuk dibenarkan menyertai kumpulan itu.
Ketenangan Jun Wu Xie yang langsung tidak terganggu, turut menarik renungan calon-calon lain yang sedang gelisah. Mereka memandang pemuda bertubuh kecil ini dan menyedari dia hanya berpakaian biasa saja tanpa sebarang hiasan. Mereka juga mencemuh usianya yang masih muda dan kemudiannya ketawa mengejek.
"Budak muda macam ni nak sertai Kumpulan Qing Yun?"
"Tidaklah, dia cuma nak kenal dunia saja. Tengok tu! Kamu tak nampakkah dia datang dengan tangan kosong saja?"
"Betul tu. Kalau dah ditolak oleh Kumpulan Qing Yun, sekurang-kurangnya mata kamu terbuka juga melihat kekuatan kumpulan yang besar ni…. Aduhai, saya rasa syarat pemilihan rekrut baru Kumpulan Qing Yun ini terlalu rendah. Sampaikan kucing jalanan dan anjing kurap pun boleh datang ke sini." Beberapa orang remaja berpakaian mewah, yang berbangga diri kerana datang daripada keturunan pengamal perubatan, meletakkan buku yang mereka baca. Mereka mula mengejek dan menuding jari ke arah Jun Wu Xie yang kelihatan begitu menonjol.
Mereka langsung tidak sedar, tak lama lagi remaja yang mereka cemuh itu akan memusnahkan kumpulan terkuat yang paling dihormati di seluruh dunia ini.