Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 235 - Tamparan Keempat (3)

Chapter 235 - Tamparan Keempat (3)

Dalam masa beberapa ketika sahaja, empat orang pakar itu ditewaskan oleh serangan ganas Ular Dakwat. Mereka terbaring di atas lantai sambil menggigil-gigil dan terkejang-kejang.

Qin Yu Yan yang berdiri di hadapan singgahsana itu terkejut melihat apa yang berlaku. Dia tidak dapat mempercayainya! Lelaki yang amat tampan itu mempunyai kebolehan yang mengagumkan!

Dia hanya menggerakkan jari-jemarinya sedikit dan ular-ular yang dia lepaskan telah menewaskan empat orang pakar berkemahiran tinggi, yang mempunyai roh tahap biru dan yang paling kuat di antara mereka iaitu pakar yang mempunyai roh tahap indigo! Semuanya kalah sekelip mata dengan hanya satu serangan!

Dari mana datangnya kekuatan lelaki ini yang begitu hebat?

Perasaan memujanya bertukar menjadi ketakutan. Senyuman lembut yang sentiasa ada di wajah Qin Yu Yan mula lenyap apabila perasaan takut itu semakin meningkat.

Jun Wu Yao mendarat dengan lembut, masih lagi memeluk Jun Wu Xie. Seluruh perhatiannya tertumpu kepada Jun Wu Xie sewaktu dia sibuk memastikan tidak ada setitik darah sekalipun yang mengotorkan buah hatinya. Dia langsung tidak memberi perhatian terhadap empat orang pakar yang sedang terketar-ketar itu.

Di dalam dewan utama Istana Diraja itu, Teratai Mabuk begitu asyik bertempur. Matanya yang menawan, membara dengan semangat berlawan dan dia hampir menjadi gila. Tumbukan sepantas kilatnya itu terlalu laju sehingga tidak dapat dilihat. Setiap tumbukan membawa seksaan baru terhadap lawan-lawannya.

Melindungi diri dengan perisai tenaga rohani?

Pakar roh biru yang berkemahiran tinggi?

Semuanya ditewaskan satu demi satu akibat serangan tumbukan ganas Teratai Mabuk yang tidak berhenti-henti itu. Tindakan lemah mereka untuk cuba melawan, hanya layak ditertawakan sahaja.

Satu tumbukan telah memecahkan kepala salah seorang pengikut Kumpulan Qing Yun, dan darah membasahi baju Teratai Mabuk yang sudahpun penuh kesan kotoran darah itu. Bau darah yang pekat membuatkan Teratai Mabuk semakin menggila dan tubuhnya mengeluarkan aura membunuh yang pekat. Serangannya menjadi semakin hebat. Jiang Chen Qing yang tadinya menjerit mahukan kepala Teratai Mabuk dipenggal, kini telah patah kedua tangan serta tulang belakangnya. Dia terbaring dalam keadaan yang menyedihkan sambil memandang dengan gerun ke arah "Dewa Maut" yang telah muncul di alam manusia ini!

Jiang Chen Qing kini faham bagaimana Jun Wu Xie, yang merupakan ahli Keluarga Jun yang telah dijadikan sasaran, mampu sampai ke Istana Diraja.

Melihatkan kehandalan Teratai Mabuk, pasti kumpulan yang dihantar ke Istana Lin telah dihapuskan!

Jiang Chen Qing tidak pernah menyangka dia yang sudah berada di separuh usia dan telah mendominasi kebanyakan orang, akan tersungkur dan menemui ajalnya di sebuah negara kecil seperti Kerajaan Qi. Kerajaan yang belum lagi mencapai usia seratus tahun penubuhannya.

Namun begitu, tiada siapa yang akan menyangka ada seorang pemuda yang begitu menakutkan wujud di dalam kerajaan Qi yang kecil ini.

Kekuatan pemusnah yang dimiliki oleh pemuda ini bukan tandingan pakar roh indigo. Malah pakar paling hebat di tahap ungu sekalipun, seseorang yang tidak mungkin wujud, mungkin sekadar mampu seri dengan Teratai Mabuk.

Tumbukan Teratai Mabuk menyebabkan segala kesan keangkuhan dan kekuasaan Jiang Chen Qing musnah bersama-sama dengan tubuhnya. Dia hanya mampu terbaring di atas lantai dalam keadaan sia-sia dan memerhatikan orang lain dibunuh oleh serangan menggila Teratai Mabuk.

Binatang hitam itu membawa Mo Qian Yuan yang dalam keadaan nyawa-nyawa ikan itu merentasi segala kekecohan. Dia sudah diseksa begitu teruk, dan pergerakan binatang hitam itu yang berlari-lari di dalam dewan utama menyebabkan dia merasakan seolah-olah organ dalamannya hampir dimuntahkan keluar dari mulutnya. Mo Qian Yuan mengetap giginya untuk bertahan dalam perjalanan yang mengerikan ini.

Dia telah bertahan sedaya-upaya, dia tidak boleh menyerah kalah sekarang.

[Keadaannya teruk, sangat teruk.] Binatang hitam besar itu berhenti di hadapan Jun Wu Xie dan menggoyang-goyangkan ekornya yang panjang.

Binatang hitam itu bukanlah doktor, tetapi setelah mengekori Jun Wu Xie selama ini, berdasarkan apa yang pernah dilihat dan didengarinya, nampaknya nyawa Mo Qian Yuan tidak panjang. Satu-satunya sebab mengapa Mo Qian Yuan masih hidup ialah kerana Kumpulan Qing Yun mahu dia memberitahu lokasi Jed Roh itu kepada mereka. Tetapi organ-organ dalamannya sudah mula rosak, tendon pada kaki dan tangannya telah dikelar, manakala arteri dan uratnya disekat. Saat kematiannya akan tiba tak lama lagi.

Jun Wu Xie mengecilkan matanya sewaktu terlihat keadaan Mo Qian Yuan. Dia sudah biasa melihat darah, tetapi keadaan Mo Qian Yuan yang menyedihkan itu membuatkan wajah Jun Wu Xie berkerut tanpa dia sedari.

Kekejaman orang-orang ini amat luar biasa.

Jiwa Mo Qian Yuan hampir kosong dan dia hanya dapat kekal hidup di atas bantuan ubat yang mereka berikan untuk memaksa dia kekal sedar. Dia masih cuba bertahan dengan nafas-nafasnya yang terakhir dan menutup rapat mulutnya. Namun begitu, darah merah masih lagi mengalir keluar dari celah bibirnya.

Jun Wu Xie menghela nafas dalam dan memandang Teratai Mabuk yang sedang gembira menikmati pembunuhan yang dilakukannya. Jun Wu Xie berkata dengan nada yang menggerunkan, "Cepat selesaikan."

Dia boleh tunggu, tetapi rawatan untuk kecederaan Mo Qian Yuan tidak boleh dilengahkan.