Jun Wu Xie tahu benar betapa kuatnya kucing hitam kecil itu selepas berubah bentuk, lebih-lebih lagi setelah membaham Singa Emas dan mengalami peningkatan kekuatan. Namun begitu, Teratai Mabuk telah berjaya menekannya dan membuatkan binatang hitam itu menjadi tidak berdaya.
Jun Wu Xie sudah lama memikirkan yang Teratai Kecil itu ada kelebihan dari segi lain dan kekuatan pertempurannya lebih rendah daripada tuannya sendiri. Tetapi tindakan Teratai Kecil hari ini membuatkan Jun Wu Xie terfikir yang dia mungkin perlu membuat penilaian semula.
"Kamu boleh bertempur?" Jun Wu Xie mengecilkan matanya sewaktu memandang Teratai mabuk yang berwajah kemerah-merahan itu.
Teratai Mabuk yang tadinya bersikap sombong dan ego dengan binatang hitam itu, menjadi lemah seperti tikus di hadapan Jun Wu Xie. Dia menjawab dengan perlahan, "Mudah saja untuk saya kalahkan kucing itu."
"Perbezaan sebelum dan selepas sangat besar," kata Jun Wu Xie.
Teratai Kecil dan Teratai Mabuk begitu berbeza daripada segi personaliti dan kehandalan bertempur mereka.
"Teratai Salji secara semulajadinya dapat berkembang baik dengan wain yang bagus. Tanpa khasiat wain, kuasa saya tidak boleh diperlihatkan," kata Teratai Mabuk dengan muram. Kalau tidak kerana itu, dia tidak akan dibuli oleh si kucing pengecut itu secara melampau selama ini!
"Dia bercakap benar." Jun Wu Yao tiba-tiba bersuara. Dia nampak gadis nakalnya itu menunjukkan minat terhadap Teratai Mabuk, jadi dia menerangkan dengan baik hatinya, "Teratai Salji sepatutnya kelihatan seperti ini. Lebih banyak wain berkualiti yang mereka minum, lebih kuat jadinya. Mereka dilahirkan dengan kehausan yang tidak pernah puas terhadap wain. Teratai Kecil kamu ini tidak mencuri wain itu dengan sengaja."
Jun Wu Xie mengangguk. Kalau begitu, roh berkontraknya ini bukanlah tidak berguna seperti yang disangka.
Tapi…..
Itu bukan alasannya untuk Teratai Mabuk memusnahkan dan membazirkan semua Nektar Jed ini!
Jun Wu Xie mengangkat tangannya dan memegang dagu Teratai Mabuk. Dia berkata sambil mengecilkan matanya, "Kalau kamu perlu minum, tak apa. Tetapi kamu tak boleh sentuh wain di sini.
Teratai Mabuk terlopong seperti ikan emas sewaktu direnung dengan tajam oleh mata tuannya itu. Dia tidak mampu berkata apa-apa sebelum akhirnya mengangguk.
Jun Wu Xie puas hati dan melepaskan dagu Teratai Mabuk. Selama ini dia sakit hati dengan kekurangan kehandalannya dalam bertempur. Walaupun kucing hitam kecil itu dapat menyumbangkan kekuatan, dia tetap tidak puas hati. Kalau Teratai mabuk diambah pada barisan penempurnya yang kuat, peningkatan kekuatan itu bukan kecil.
"Berapa kuatkah dia?" Jun Wu Xie bertanya kepada Jun Wu Yao.
Jun Wu Yao membalas, "Itu bergantung kepada berapa banyak dia minum dan apa yang diminumnya. Kalau dia dibekalkan dengan cukup banyak wain berkualiti, dia tidak akan mengalami sebarang kesusahan untuk berlawan dengan sesiapa sekalipun di peringkat kekuatan roh tahap ungu." Kekuatan Teratai Mabuk langsung tidak setanding dengan Jun Wu Yao, tetapi gadis nakalnya ini kelihatan puas hati.
Di seluruh dunia ini, roh tahap biru merupakan kemuncak kekuatan. Sepanjang tempoh satu abad ini, tidak ada sesiapa sekalipun yang mencapai tahap ungu. Kekuatan bertempur Teratai Mabuk menjadikan dia penempur paling hebat di seluruh Kerajaan Qi!
"Abang ada lagi wain yang diberikan kepada saya dulu?" Jun Wu Xie bertanya sambil memandang Jun Wu Yao.
Jun Wu Yao tersenyum. Gadis nakal ini amat kedekut dalam meluahkan perasaan, tetapi langsung tidak malu untuk meminta wain. Dia tidak sanggup melepaskan Nektar Jed dan telah mengalih perhatiannya kepada wain Bulan Jed milik Jun Wu Yao.
"Kalau kamu mahu, Abang akan bawakan apa saja yang kamu perlukan."
"Abang boleh letak mereka ke bawah," kata Jun Wu Xie.
Dengan keizinan Jun Wu Xie, binatang hitam dan Teratai Mabuk itu mendapat kebebasan mereka. Kehadiran Jun Wu Xie di sini membuatkan kedua-dua pembuat kacau itu senyap sahaja, tidak seperti biasa.
"Lain kali kalau kamu mahu puaskan kehausan kamu, minta daripada dia." Jun Wu Xie memberitahu Teratai Mabuk.
Teratai Mabuk mencuri pandang ke arah Jun Wu Yao, dan hatinya menjadi gerun.
Dia tak boleh mengalahkan lelaki ini!
Lelaki ini terlalu ganas. Mujurlah Teratai Mabuk ini ialah roh, bukannya manusia. Seseorang manusia pasti sudah kehilangan tangan, kalau dia tidak mati akibat cengkaman maut yang menekannya tadi.
Tuan mahu dia dapatkan wain daripada lelaki yang amat menakutkan ini?
Teratai Kecil tiba-tiba menyedari yang hari-hari yang mendatang ini akan menjadi begitu panjang dan sukar…