Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 195 - Membuka Keranda (2)

Chapter 195 - Membuka Keranda (2)

Jun Wu Xie melompat turun daripada binatang hitam itu, memandang Jun Qing yang kelihatan tegas, lalu berkata, "Pak Cik, saya tak akan serahkan Jed Roh. Jangan sentuh kubur itu."

"Apa?" Jun Qing bertanya dengan terkejut.

Pada ketika itu, Long Qi menjerit kerana terperanjat.

"Tuan! Mari lihat!"

Long Qi telah membuka keranda Jun Gu dan dia tergamam.

Ketiga-tiga anggota keluarga Jun bergegas mendapatkannya.

Apa yang mereka lihat dalam keranda itu membuatkan mereka terdiam kerana hairan.

"Macam mana…." Jun Xian masih lagi terkejut dan tidak berhenti-henti menggigil.

Di dalam keranda itu ada seorang lelaki yang tampan dan berwajah tenang. Sebaik askar-askar Tentera Rui Lin ynag berada di sekeliling makam itu terlihat wajah gadis itu, mereka semua merasakan perasaan yang membuak-buak di dalam hati mereka, dan hampir rebah ke tanah.

Sepuluh tahun!

Sepuluh tahun sudah berlalu!

Mereka sudah tidak melihat wajah itu selama sepuluh tahun. Sepuluh tahun yang lalu, sewaktu mengebumikan Jun Gu, mereka semua meratapi hakikat yang mereka tidak akan dapat lagi memandang wajah orang yang mereka hormati dan sanjungi ini. Semuanya akan selama-lamanya menjadi hanya satu memori.

Tidak ada seorang sekalipun yang menjangkakan, satu dekad kemudian, apabila keranda itu dibuka, Jun Gu kelihatan sama seperti ketika mereka mengebumikannya dulu. Seolah-olah dia sedang tidur.

Kalau bukan kerana mereka berada di kawasan perkuburan dan Jun Gu berada di dalam keranda yang mereka gali keluar sendiri, mereka akan percaya yang dia masih hidup dan hanya sedang tidur.

Satu dekad lamanya. Orang yang masih hidup juga akan menunjukkan kesan dimamah usia. Namun sepanjang tempoh waktu ini, masa langsung tidak menyentuh lelaki yang telah mati dan dikebumikan jauh di bawah tanah ini.

Jun Gu di depan mata mereka ini kelihatan sama seperti sepuluh tahun dulu, sewaktu pengebumiannya. Kulitnya yang berwarna seperti gangsa masih elok dan tegang. Rambutnya yang hitam legam mengerbang di bawah badannya. Matanya tertutup, keningnya masih tajam seperti dulu. Di bawah hidungnya yang mancung, mulutnya sedikit terbuka dan ada sekeping jed di dalamnya. Tangannya disilangkan di bahagian abdomen, memegang pedang yang telah membantu dia menang banyak pertarungan dan membunuh musuh yang tidak terkira.

Pedang itu berkilau dingin di bawah cahaya bulan. Walaupun tersembunyi selama sepuluh tahun, pedang ini masih tajam.

Jun Xian dan Jun Qing menahan tangisan mereka sebaik melihat keadaan ini.

Masa langsung tidak memberi kesan pada tubuh badan Jun Gu. Malah dia kelihatan lebih muda daripada Jun Qing, yang muda beberapa tahun daripadanya.

"Bagaimana ini terjadi? Badan Jun Gu…. Sepuluh tahun…. Kenapa badannya dipelihara dengan begitu baik?" Seperti ada sesuatu yang tersekat di kerongkong Jun Xian. Dia teringat waktu sepuluh tahun, di majlis pengebumian Jun Gu.

Mereka semua sudah dimakan zaman sejak sedekad yang lalu, tetapi Jun Gu pegun dalam peredaran masa.

Tidak pernah mereka dengar tentang mayat yang tidak mereput selepas sepuluh tahun, melainkan disimpan di tempat yang amat sejuk seperti ditanam di bawah ais dan salji pada hari mereka mati.

Badan Jun Gu pula ditanam di bawah tanah.

Kesengsaraan menyesakkan yang mereka rasai kerana terpaksa membuka keranda itu, terus lenyap apabila melihat Jun Gu masih sama seperti dahulu. Pasangan anak beranak Keluarga Jun dan semua askar Tentera Rui Lin menyapu air mata mereka yang mengalir.

Lelaki ini mungkin sudah meninggalkan dunia ini, tetapi tidak meninggalkan hati mereka.

Jun Wu Xie memandang Jun Gu yang terbaring di dalam keranda itu dengan perasaan yang bercampur baur.

Jun Gu dan Jun Qing tidak berapa seiras dan Jun Gu lebih tampan berbanding adiknya. Kalau Jun Qing mewarisi rupa paras ayahnya, Jun Gu pasti telah mewarisi rupa paras ibunya.

Penampilan yang tampan, hidung yang mancung.

Rupa paras Jun Wu Xie jelas sekali telah diwarisi daripada ayahnya yang tampan.

Sewaktu Jun Gu meninggal dunia, dia hanya berusia dua puluh lapan tahun.

Sepuluh tahun lalu, Jun Qing berusia dua puluh tahun. Kalau dilihatkan keadaan sekarang, Jun Gu jelas kelihatan lebih muda daripada Jun Qing.