Jun Wu Yao yang nakal berlalu pergi sambil ketawa. Kucing hitam kecil yang tadinya bersembunyi di satu sudut, melompat naik ke atas katil. Dengan ekspresi yang serius, kucing itu duduk di atas katil dan memandang Jun Wu Xie, yang wajahnya sedang kemerah-merahan.
[Cik, kita perlu berbincang tentang kehidupan.]
"Huh?" Jun Wu Xie yang memegang kemas jubah yang membaluti tubuhnya, berpusing menghadap kucing hitam kecil itu dalam keadaan tertanya-tanya dan keningnya dinaikkan. Bibirnya sedikit bengkak dan perasaan yang menguasainya tadi masih lagi tersisa.
[Cik membesar dalam persekitaran yang terasing dari dunia luar. Cik tidak pernah terlibat dengan apa-apa kecuali ubat-ubatan. Cik tidak ada pengalaman, jadi Cik tidak ada pengetahuan umum tentang interaksi manusia. Walaupun Cik kemudiannya menyertai organisasi itu, Cik hanya mengurung diri di dalam makmal dan semua pembantu Cik ialah perempuan. Cik tidak berinteraksi dengan lelaki. Ini menyebabkan Cik tidak bijak menangani hubungan dengan lelaki.] Kucing hitam kecil itu memandang tegas ke arah Jun Wu Xie.
Sepanjang hidupnya di kehidupannya yang lalu, dia tidak pernah berinteraksi sendirian dengan lelaki. Oleh itu dia tidak dapat melindungi dirinya daripada kejadian seperti tadi.
Kalau Jun Wu Yao si gatal itu dibiarkan berbuat sesuka hatinya, suatu hari nanti Jun Wu Xie akan menjadi mangsanya.
Ini tidak boleh dibiarkan berlaku!
"Jadi…..?" Jun Wu Xie tidak tahu apa yang dimaksudkan oleh kucing hitam kecil ini.
[Jadi, seperti kejadian hari ini, nampaknya…]
Sebelum sempat ayat itu dihabiskan, satu bantal yang lembut dibaling ke muka kucing hitam kecil itu.
"Meow!!"
"Diam!" Wajah Jun Wu Xie semakin merah dan dia tidak mahu mendengar apa-apa tentang kejadian tadi.
[....] Kucing hitam kecil itu tergamam. [Cik! Ekspresi wajah Cik itu sangat tidak sesuai! Cik perlu segera belajar kemahiran interaksi di antara elaki dan perempuan!]
Jun Wu Xie tidak mahu mendengar lagi jadi kucing hitam kecil itu hanya merajuk dan mencakar-cakar hujung kaki katil.
Jun Wu Xie mengenakan pakaian dan kembali tenang. Dia duduk di meja dan menongkat dagunya dengan tapak tangannya di pipi, merenung bunga teratai yang baru mahu berkembang.
Teratai itu baru berbunga dan harumannya bertambah kuat. Jun Wu Xie dapat merasakan kekuatan rohaninya meningkat dan berkembang. Kuasa yang dikumpulkan di tapak tangannya bersinar dengan warna merah, dan turut menjadi bertambah kuat.
Diselubungi haruman itu, ketenangan Jun Wu Xie muncul kembali.
Rancangan untuk membiarkan Putera Mahkota mengambil alih tampuk pemerintahan berlaku lebih awal daripada yang dijangka dan kuasa roh Jun Wu Xie masih belum kuat. Dalam tujuh peringkat kekuatan tenaga roh, berevolusi ke peringkat seterusnya sangat sukar. Mengevolusikan aura roh merah paling mudah dilakukan dan biasanya mengambil masa tiga tahun untuk berevolusi dari warna merah ke warna jingga. Orang yang lebih berbakat boleh melakukannya dalam kira-kira dua tahun.
Untuk berevolusi dari warna jingga ke warna kuning, masa yang diperlukan ialah dua kali ganda. Enam tahun…
Semakin kuat peningkatan kuasa roh, semakin lama masa diperlukan. Jurang di antara orang biasa dan orang yang berbakat semakin lebar, mengikut ketinggian tahap evolusi.
Orang yang dikurniakan bakat boleh mengurangkan masa yang diperlukan untuk mengembangkan kuasa dan mendapatkan peringkat yang lebih tinggi, yang mustahil dapat dicapai oleh kebanyakan orang.
Bagi manusia biasa dan mereka yang kurang berbakat, jika terlalu lama berada di satu peringkat tertentu, peluang untuk mencapai peringkat yang lebih tinggi akan semakin berkurangan.
Jika seseorang mengambil masa lebih dua belas tahun untuk menukarkan aura roh dari warna oren ke warna kuning, mustahil baginya untuk menukarkan warna aura kuning itu, sepanjang hidupnya.