Maharaja sekalipun tidak mampu mengambil apa-apa tindakan atas apa yang Jun Wu Xie lakukan, siapa lagi yang mampu menentangnya?
Jun Wu Xie langsung tidak teragak-agak sewaktu menghukum mati Wu Wang dan bapa mertua Maharaja.
Mereka berdua ialah pegawai istana yang berpangkat paling tinggi dan hanya perlu tunduk pada Maharaja seorang. Kini mayat mereka bergelimpangan dan dilitupi debu.
Mata Mo Xuan Fei bergenang sewaktu dia memerhatikan keadaan sekeliling. Tangannya yang memegang pedang, sedang menggeletar.
Kenapa jadi begini?
Kenapa?
Orang yang berdiri di hadapan pintu pagar ini, yang malam ini telah membuatnya menjadi hampir gila, ialah gadis yang sama dia telah tolak dan tinggalkan dahulu?
Jun Wu Xie mengalihkan pandangannya daripada Mo Xuan Fei, yang wajahnya kelihatan semakin terseksa, kepada Maharaja.
Dia sedang menanti Maharaja mengarahkan Jun Xian dilepaskan.
"Jun Wu Xie, kamu mendakwa Wu Wang berkomplot untuk membunuh Putera Kedua. Hal ini mungkin betul. Tetapi mana mungkin datuk Putera Kedua melakukan apa-apa yang boleh membahayakan cucunya sendiri?"" Maharaja bersusah payah mengekalkan ketenangan sambil tangan baginda diletakkan di belakang dan digenggam dengan kuat sehingga sakit.
Gadis muda seperti ini, walaupun bersikap kejam, pasti akan terlepas pandang beberapa kelemahan dalam rancangannya. Kelemahan yang boleh dimanipulasi. Mana mungkin ada datuk yang mampu mencederakan cucunya sendiri?
Baginda sangat yakin yang baginda mempunyai kelebihan.
Jun Wu Xie melihat Maharaja bersusah-payah menyembunyikan rasa tidak senang hati dan kemarahan baginda. Dia mengangkat tangannya.
"Long Qi."
"Saya!" Long Qi berlari ke hadapan dan terus melutut.
Jun Wu Xie mengeluarkan dua gulungan skrol dari beg di atas binatang hitam itu, dan mencampakkan kedua-duanya pada Long Qi.
"Baca."
Long Qi berdiri, membuka satu gulungan skrol dan membaca dengan suara yang kuat.
"Wei Qun Hua, tahun Kai Yuan ke-23, bulan kedua, di Bandar Dong Yue, merampas 23 buah kediaman dan membunuh 76 orang petani, tahun Kai Yuan ke-23, bulan kelima, menerima duit emas berjumlah satu ratus tiga puluh ribu daripada…"
Suara Long Qi bergema dengan kuat, setiap patah perkataan terpahat di hati rakyat jelata yang sedang mendengar. "Direkodkan pada tarikh ini, Wei Qun Hua bersalah atas pelbagai jenayah, termasuk sengaja mengakibatkan kebakaran, pembunuhan, rampasan harta, penindasan ke atas rakyat, penerimaan rasuah, dan banyak lagi. Sejumlah 367 pertuduhan. Jumlah kematian yang berkaitan dengan jenayahnya ialah sebanyak 583. Jumlah rasuah yang diterima ialah tujuh juta dua ratus tujuh puluh ribu duit emas…"
Sambil senarai kesalahan itu dibacakan satu per satu, orang ramai yang berkumpul di situ kedengaran mula berbisik-bisik. Mereka semuanya merenung benci ke arah mayat bapa mertua Maharaja yang sedang terbaring di atas tanah.
Wei Qun Hua telah menyalahgunakan kuasa dan sokongan yang diberikan oleh Maharaja. Dia gemar mengarah-arahkan orang lain dan melakukan banyak kejahatan. Pangkat dan kedudukannya yang tinggi menyebabkan ramai yang takut untuk bersuara. Tapi kini segala kesalahannya telah terbongkar.
Tiada siapa di kalangan orang ramai itu yang berasa kasihan atau simpati. Mereka sangat gembira kerana dunia ini kekurangan seorang lagi penjahat.
Ekspresi wajah Maharaja menjadi gelap. Baginda tahu mengenai semua perbuatan jahat yang dilakukan dan tidak melakukan apa-apa untuk menghentikannya. Perbuatan jahat Wei Qun Hua telah didedahkan kepada rakyat jelata, jadi hukuman matinya akan diterima tanpa mengira sama ada Wei Qun Hua terlibat dengan serangan ke atas Mo Xuan Fei atau tidak!
Maharaja masih lagi termenung memikirkan kematian orang-orang kepercayaan baginda, sehingga baginda baru tersedar yang Long Qi sudahpun membaca gulungan skrol kedua. Kali ini dia membacakan senarai pelbagai kesalahan yang dilakukan oleh Wu Wang!
Dua orang pegawai istana yang dihukum mati oleh Tentera Rui Lin memang layak menerima nasib sebegitu.
Tiada siapa yang sedih dengan kematian Wu Wang dan Wei Qun Hua. Malah mereka bersorak pula untuk Tentera Rui Lin!
Bagi kebanyakan orang di dalam Kerajaan Qi, jika bukan kerana Tentera Rui Lin, mereka tak mungkin dapat melihat penindas mereka dihukum bunuh!