Chereads / TAK MUDAH MENJADI LELAKI MENGEMBARA KE MASA DEPAN / Chapter 37 - Cadangan Si Pemeriksa!

Chapter 37 - Cadangan Si Pemeriksa!

Pada ketika ini, Luo Lang berdiri megah, diekori oleh adik kembarnya, Luo Chao. Dia kelihatan seperti burung merak, fikir Ling Lan terhibur.

Luo Lang merenung Ling Lan seketika kemudian berkata, "Oleh kerana Qi Long telah menyerah diri kepada awak, saya juga turut mengakui kekuatan awak… dengan berat hati. Tolong jaga saya dan adik saya mulai sekarang."

Hah? Apa? Ling Lan merenung kosong. Dia tiada kaitan dengan Luo Lang, bukan?

Dalam fikirannya, Empat Kecil tidak mampu bertahan lagi. Dengan sekuat hati, dia bersuara, 'Apa lagi, dia juga mahu awak menjadi bos dia! Awak- awak tidak adil dengan saya.'

Renungan Empat Kecil hanya mencerminkan perasaan duka dan ini membuatkan Ling Lan berasa tidak selesa. Apa yang tak kena dengan Empat Kecil? Kenapa dia begitu sedih sehingga mengatakan Ling Lan tidak adil?

Ling Lan ligat berfikir, apa yang telah dilakukannya sehingga menyakiti hati sensitif Empat Kecil… Namun, setelah beberapa lama berfikir, dia masih tidak dapat memahaminya dan hanya menganggap perkara ini sebahagian fasa memberontak seorang budak nakal.

Empat Kecil sangat marah dan penuh rasa benci. Dia benci mereka yang tiada segan silu datang untuk melindungi diri mereka di sekeliling peha Ling Lan yang kuat. Dia juga marah dengan tindakan Ling Lan. Dia terlalu menonjolkan dirinya sehingga menarik perhatian ramai. Ini menyebabkan Empat Kecil kini berdepan terlalu banyak saingan untuk menjadi orang kanan nombor satu Ling Lan.

Baiklah, jadi Empat Kecil tidak lagi mengalami obsesi dengan karya epik, 'Tiga Kerajaan'. Dia kini ketagih novel murahan yang sesuai untuk bacaan di waktu lapang. (Perubahan mendadak dalam citarasanya menjengkelkan.) Akibatnya, cara dia bercakap dengan Ling Lan juga telah berubah.

Perubahannya berlaku begini. Pada suatu hari, Empat Kecil berasa amat bosan. Jadi dia memutuskan untuk melayari Internet secara rawak. Kebetulan dia menjumpai satu laman web yang tidak begitu dikenali yang dipanggil 'Dunia Serong'. Kata laluan juga diperlukan untuk memasukinya! Ini membakar rasa ingin tahu si Empat Kecil… Seperti biasa, kata laluan dan ciri keselamatan lain tidak berkesan untuk menghalangnya. Empat Kecil dengan mudah dapat melangkaui semuanya dan mula meneroka laman tersebut. Dia menemui banyak peluang perniagaan di sana. Terlalu ramai meminta novel serong, karya peminat serong, rakaman video serong… dan mereka sanggup membayar untuk mendapatkan semua ini!

Matlamat utama Empat Kecil kini ialah mendapatkan wang. Mana mungkin dia melepaskan peluang keemasan sebegini? Walaupun dia kurang pasti jika dia mempunyai karya peminat serong atau rakaman video serong dalam pangkalan datanya, Empat Kecil yakin pangkalan datanya sekurang-kurangnya mempunyai beberapa novel serong. Tanpa mengira maklumat lain yang ada di dalam pangkalan datanya, bilangan novel yang dimilikinya amat mengejutkan.

Apabila Empat Kecil membuat pencarian dalam pangkalan datanya, seperti yang dijangka, bilangan novel yang dikategorikan sebagai novel serong tidak terkira banyaknya. (Ini semua gara-gara Ling Lan yang bersifat sembarangan dalam pilihan bahan bacaan dalam kehidupan lampaunya.) Empat Kecil terlalu gembira! Dia sudah mula membayangkan jumlah wang yang masuk.

Empat Kecil juga mendapati lebih banyak bilangan patah perkataan dalam sebuah novel bermaksud nilainya juga lebih tinggi. Oleh itu, selepas memilih-milih, dia memutuskan untuk menerbitkan novel yang sangat Panjang, bertajuk 'Penjelmaan Semula di Akhir Zaman : Kebangkitan Orang Bawahan'. Sudah tentulah dia juga ingin tahu apa yang menarik tentang novel serong sehingga membuat ramai orang tergila-gilakannya.

Empat Kecil membaca sambil menerbitkan novel ini. Tidak lama kemudian, dia mendapati dirinya terpegun dengan hubungan rapat seperti adik-beradik di antara watak bos dan pengikutnya dalam novel tersebut. Dia kemudian teringat apa yang Ling Lan pernah katakan kepadanya. Ling Lan mahu Empat Kecil menjadi adiknya… Air mata Empat Kecil terus bergururan. (Aduh, nampaknya Empat Kecil masih tidak faham apa sebenarnya maksud serong. Dia hanya membaca sehingga bab 150 di mana adegan berunsur seksual masih belum begitu ketara. Oleh itu fikirannya masih kekal suci.)

Walau bagaimanapun, kebahagiaan Empat Kecil tidak kekal lama kerana saingannya telah tiba. Dua orang saingan muncul serentak! Pada saat ini, Empat Kecil memahami perasaan murung watak Ling Kecil di dalam novel tersebut. Lebih ramai saingan, lebih besar tekanannya…

Patutkah dia melayan bosnya dengan lebih baik di masa akan datang supaya kedudukannya sebagai nombor satu tidak dirampas? Empat Kecil mula berfikir secara bersungguh-sungguh tentang isu ini, tanpa menyedari suhu cip teras dalamannya telah meningkat semula.

Kita ketepikan dahulu Empat Kecil dan khayalan liar serta perasaan cemburu butanya. Ketepikan juga perasaan risau Ling Lan tentang Empat Kecil. Setelah pemeriksa bilik 072 mengiringi kumpulan kanak-kanak itu keluar, dia menghubungi bilik pengawasan pemeriksaan dengan segera.

Di dalam bilik pengawasan pemeriksaan, pegawai penguasa itu melihat saat pemeriksa itu menyakiti Qi Long secara tidak sengaja dan keningnya berkerut. Kerutan di keningnya bertambah sebaik melihat Ling Lan membuatkan pemeriksa itu melayang. Keningnya hanya kembali tenang, apabila Qi Long dapat berdiri dan kelihatan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Melihat permintaan berhubung yang dihantar oleh pemeriksa itu, dia menerima tanpa menunggu pegawai pengawasan berbuat begitu. Tanpa memberi ruang kepada pemeriksa itu bersuara, pegawai penguasa itu melaungkan, "Nombor 413, setelah tugasan kita selesai, laporkan diri ke kem latihan!"

Pemeriksa bilik 072 tergamam. "Tuan! Kenapa Tuan ada di sana…"

Tak guna. Kenapa pegawai atasannya yang berada di talian? Kenapa dia sungguh tidak bernasib baik?

Dengan muka yang masam, pemeriksa itu bertanya dengan berhati-hati, "Tuan, kalau begitu, bila saya boleh kembali?"

Pegawai penguasa merengus dan berkata dengan dingin, "Sebulan kemudian."

Jawapan pegawai penguasa itu membuatkan si pemeriksa ingin berpeluk tubuh dan menangis. Tuhanku, sebulan di kem latihan. Walaupun hal ini tidak akan membunuhnya, dia tetap akan mengalami kesukaran. Dia tidak menjangka yang dia akan kembali ke tempat yang menggerunkan itu setelah 5 tahun. Dia akan mengharungi kembali waktu yang menyakitkan dan mengerikan seperti sewaktu dia seorang rekrut.

"Apa? Awak ada apa-apa yang nak dikatakan tentang hal ini?" Pegawai penguasa itu bertanya dengan nada suara lunak yang menyembunyikan ugutan.

"Tidak, Tuan. Tidak ada apa-apa! Saya tidak ada apa-apa yang nak dikatakan!" Pemeriksa itu dengan segera bangkit, berdiri tegak dan menjawab dengan suara yang kuat. Dia sangat mengenali pegawai atasannya. Jika dia menunjukkan sebarang tanda-tanda berat hati, hukumannya pasti terus digandakan. Pemeriksa itu tidak berniat untuk membiarkan hukuman sebulan berubah menjadi dua atau tiga bulan dalam sekelip mata.

"Bagus. Ada apa-apa lagi?" Pegawai penguasa itu berpuas hati dengan sikap pemeriksa berkenaan. Kemudian dia menyuruh pemeriksa itu menerangkan tujuan panggilannya.

Pemeriksa itu mengambil nafas, kemudian menyatakan secara formal, "Saya ingin mencadangkan beberapa orang kanak-kanak untuk kelas istimewa."

"Oh?" Bibir pegawai penguasa itu mengukir senyuman sambil menunggu penjelasan lanjut.

"Ya. Pada pendapat saya, kanak-kanak itu semua mempunyai harapan yang cerah…" kata pemeriksa itu setelah berfikir, "tapi saya lebih tertarik dengan 0723, 0724, 0725, dan 0729."

"Kenapa?"

"0723 mempunyai asas yang baik serta kekuatan yang luar biasa bagi seorang kanak-kanak. Tindakan refleksnya juga sangat baik dan lebih bagus lagi, dia dapat berfikir dengan pantas ketika bertempur dan boleh menjadi seorang pakar taktik yang licik. Jika kita memupuknya secara intensif, dia pasti menjadi pahlawan yang bijak dan bersikap strategik." Mata pemeriksa itu bersinar ketika dia menghuraikan penelitiannya ke atas Ling Lan. Jelas sekali menunjukkan betapa prestasi Ling Lan telah menawan hatinya.

"0724, kecergasan fizikalnya sesungguhnya bukan di tahap manusia. Dia berjaya melangkaui batasan dirinya sendiri… Dia seorang prodigi. Selagi pihak Federasi memberi perhatian terhadap pemupukannya, dia berpotensi menjadi pengendali mecha IN yang seterusnya." Setelah pemeriksa itu selesai memberikan laporannya tentang Qi Long, mukanya merah padam kerana teruja.

Si pemeriksa tidak boleh dipersalahkan kerana hilang kawalan diri. Selain Mejar Jeneral Ling Xiao, tiada sesiapa yang berkelayakan untuk menerima cabaran menjadi pengendali mecha IN sejak 10 tahun lalu. Kini, dia dapat melihat segelintir harapan dalam diri Qi Long. Mana mungkin dia mampu mengawal dirinya?

Seorang pengendali mecha IN? Adakah 0724 satu-satunya calon yang berpotensi? Pandangan pegawai penguasa itu sukar ditafsir, dilindungi oleh kelopak matanya dan menyembunyikan pendapat sebenarnya.

"0725 bersikap tenang dan boleh diharap. Mindanya logik dan analitik. Dia sudah tentu bakal menjadi pegawai yang cemerlang. Saya cadangkan kita fokuskan latihannya ke arah itu." Pihak Federasi tidak hanya memerlukan pahlawan berdarah panas yang tidak takutkan kematian. Perlu juga ada pegawai yang mampu membuat perancangan dan memberi arahan serta mampu melancarkan strategi dari beribu batu jauhnya.

"0729 lebih lemah jika dibandingkan dengan mereka bertiga. Walau bagaimanapun, dia memiliki semangat yang tidak goyah… Jika kita tempatkan dia bersama yang lain, sikapnya ini mampu mendorongnya untuk menjadi askar yang cemerlang, setaraf dengan yang lain."

Si pemeriksa secara sistematik menyatakan pendapatnya tentang empat orang kanak-kanak itu. Kemudian dia menanti keputusan terakhir pegawai atasannya.