Chereads / SEMBANG GRUP PERTAPAAN / Chapter 87 - Peluang? Ini Satu Peluang Untuk Kau!

Chapter 87 - Peluang? Ini Satu Peluang Untuk Kau!

Di dalam gerabak yang sunyi itu, bunyi yang didengar begitu kuat sehingga mustahil untuk diabaikan.

Wajah Mahaguru Altar yang pucat itu memandang ke arah lelaki muda dari sudut matanya. Kemudian pandangan matanya ditetapkan pada loket itu. Dengan mulutnya yang terbuka luas, dia membeku.

"Maaf kerana mengganggu anda berdua."

Sambil menaikkan sudut mulutnya, lelaki muda itu melihat Mahaguru Altar Master dengan senyuman kecil.

"Bolehkah saya perkenalkan diri saya?"

Kemudian, lelaki muda itu berkata dengan nada dingin,

"Nama saya Song Shuhang."

Itu hanyalah nama lelaki biasa.

Biarawan Barat tidak faham mengapa lelaki muda misteri itu memperkenalkan dirinya pada masa ini. Tetapi, dia melihat wajah Mahaguru Altar yang kuat itu tiba-tiba menjadi pucat!

'Lihat wajahnya. Riak wajahnya seperti dunia ini hendak kiamat!

'Mungkinkah ada harapan untuk aku berjaya?!' biarawan itu berfikir sendirian.

Melihat pada reaksi itu, Song Shuhang menundukkan pandangannya dan senyumannya menjadi semakin lebar.

Kemudian, sekeping azimat terjatuh dari jarinya dan dia menjerit, "Pecahkan!"

Itu adalah azimat penghalau kejahatan!

Satu tenaga rohani ganas dan sangat kuat dibebaskan dari azimat itu!

Ia adalah tenaga rohani hebat yang Mahaguru Altar dan biarawan Barat tidak dapat bayangkan. Dengan kekuatan seperti ribut taufan, ia menyapu keseluruhan bahagian gerabak itu.

Dalam sekelip mata, tenaga negatif di dalam kereta yang dikeluarkan oleh hantu itu mula hilang!

Hantu yang dibebaskan oleh Mahaguru Altar untuk memusnahkan kamera pengawasan gerabak itu dihancurkan oleh kekuatan tenaga rohani yang sangat besar. Ia kemudian bertukar menjadi zarah-zarah tenaga kecil di udara sebelum ia dapat mengeluarkan jeritan penderitaan yang membingitkan.

Jeneral Hantu Ku You yang berada di belakang Mahaguru Altar tidak terkecuali daripada serangan itu. Separuh tubuhnya yang berada di dalam gerabak untuk melindungi Mahaguru Altar menghilang oleh tenaga rohani yang marah itu.

"Ooooooo!" Jeneral Hantu Ku You menjerit kesakitan dan cuba keluar dari gerabak itu dengan cepat.

Tetapi, semuanya sudah terlambat!

Kuasa daripada azimat penghalau kejahatan itu terus mengejar hantu jeneral kerana tidak mahu membiarkannya pergi. Ia mengejar Jeneral Hantu Ku You sehingga sejauh dua gerabak!

Apabila kuasa daripada azimat itu tersebar, Jeneral Hantu Ku You hanya mempunyai satu per sepuluh dari baki tubuhnya yang masih tersisa. Ia bersembunyi di dalam gerabak dan tidak dapat bergerak kerana keadaannya yang terlalu lemah.

Semua perubahan itu berlaku dalam sekelip mata!

Selepas itu, biarawan Barat merasakan semua benda di hadapannya tiba-tiba bercahaya. Tenaga negatif yang dikeluarkan oleh hantu dan menyelubungi gerabak itu telah hilang. Gerabak itu bercahaya sekali lagi. Para penumpang yang terperangkap dalam ilusi yang menakutkan itu juga sudah mulai tenang. Semua penumpang tertidur. Mereka tidak lagi menggigil ketakutan.

Biarawan Barat berasa gembira dengan perubahan itu. Seperti pepatah Cina yang menyebut, ia bagaikan seperti sinar harapan yang muncul untuk menerangi kabus kegelapan yang membingungkan!

Tetapi, wajah Mahaguru Altar kelihatan pucat dan dia terus berundur.

Sebagai pertapa hantu jahat, dia mempunyai qi sejati di dalam badannya yang dipenuhi dengan sifat 'Yin'. Walaupun dia bukannya hantu dan telah 'dibersihkan' oleh azimat penghalau kejahatan, dia masih terkesan dengan ribut taufan yang dikeluarkan daripada tenaga rohani itu. Ditambah lagi dengan racun yang masih berada di dalam tubuhnya. Kesakitannya terasa lebih teruk.

Dan apa yang lebih teruk lagi, mengapa Tuan Song itu boleh berada di sini...?

Mahaguru Altar merasakan kakinya mula bergetar dan dia tidak dapat berdiri.

Sekiranya dia mengikut petunjuk yang ditinggalkan oleh empat ramuan itu, bukankah sepatutnya dia pergi ke Kedai Ubat Yuan Long? Kenapa dia berada di sini!?

Mungkin... semua ini adalah sebahagian daripada perangkapnya, bukan? Semua rancangan itu dibuat bertujuan untuk memerangkapnya di dalam gerabak yang sempit ini. Betulkah?

Jadi nasibnya tetap tidak berubah. Adakah ini bermakna nasib baik yang dia terima sebelum ini hanyalah ilusi seorang lelaki yang akan mati?

'Kau ni biar betul?'

❄️❄️❄️

Song Shuhang memberikan senyuman yang lebih lebar di wajahnya... Sekarang dia dapat mengetahui identiti sebenar pertapa hantu di hadapannya.

Dia terkedu apabila melihat rantai roh hantu itu. Dia lebih terkejut apabila mendengar nama Song Shuhang. Wajahnya berubah menjadi pucat dan kelihatan seperti dia tidak sabar untuk melepaskan diri setelah melihat Shuhang menggunakan azimat penghalau kejahatan itu. Selain itu, terdapat sedikit bau ramuan ubat yang boleh dihidu pada tubuhnya.

Tidak dinafikan, dialah Mahaguru Altar.

Dia tidak menyangka yang lelaki itu akan menaiki kereta api bawah tanah untuk keluar dari 'Kedai Ubat Yuan Long'. Sedangkan sebelum itu dia hampir tidak sempat bertemu Mahaguru Altar.

Dia bernasib baik kerana bertemu dengan budak perempuan yang comel itu hari ini. Sikapnya yang mudah berlembut hati itu juga telah mengambil alih sifat rasionalnya. Sebab itulah dia terus memegang budak perempuan itu dan terus berada dalam kereta api sejauh tiga hentian lagi. Jika tidak, walaupun dia berjaya sampai di kedai runcit Yuan Long hari ini, dia tidak akan dapat mencari petunjuk tentang Mahaguru Altar.

Sudah lama dia mengharapkan nasib baik sebegini datang kepada dirinya!

Siapa kata orang baik tidak akan diberi ganjaran?

Kadang-kadang orang baik akan menerima nasib yang baik!

Walaupun situasi yang dia bayangkan berbeza daripada situasi yang telah dia rancang, dia dapat bertemu dengan Mahaguru Altar lebih awal.

Dia gembira dengan nasib sebegini!

'Sekarang, apa yang aku akan lakukan?

'Semestinya aku akan ambil kesempatan dengan semua jenis azimat yang aku ada sekarang ini. Aku juga ada pedang terbang halimunan dan... identiti sebagai Tuan Song!'

Sekarang, apa yang akan dia lakukan ialah mengekalkan momentum dan mempamerkan beberapa posisi pertempuran yang meyakinkan!

Dia perlu mengekalkan imejnya sebagai seorang pertapa tua yang hebat. Sekiranya perlu, dia boleh cuba menghalang Mahaguru Altar. Dalam maksud lain, dia akan menakut-nakutkan lelaki itu. Kalau tidak, jika Mahaguru Altar mengetahui kekuatan sebenarnya, dia pasti akan dibunuh dengan mudah dalam masa beberapa minit sahaja.

Kini, sudah tiba masanya untuk dia berlagak seperti seorang bos.

Dan, dia terpaksa membuatnya kelihatan asli. Sekiranya dia gagal, akibat yang dia akan terima pasti mengerikan.

Walaupun fikirannya diisi dengan pelbagai perkara, wajah Song Shuhang tidak menunjukkan emosi. Dia hanya berkata dengan tenang, "Baiklah, tanpa diganggu perkara yang kotor ini, kita boleh berbincang dengan baik."

Wajah Shuhang yang seperti acuh tak acuh membuatkan orang lain merasakan membersihkan hantu di dalam gerabak ini kelihatan sangat mudah. Sangat mudah bagaikan menarik sehela nafas pendek.

❄️❄️❄️

'Berbincang dengan baik... nak berbincang tentang bagaimana aku akan matikah?'

Pada masa ini, Mahaguru Altar hanya mempunyai satu idea dalam fikirannya. Dia mahu melarikan diri.

Tidak dapat dinafikan kadang kala, 'pandangan pertama' sangat penting. Mahaguru Altar memang percaya Song Shuhang seorang pertapa tua dan tidak meragui sangkaannya itu! Sebagai seorang pertapa hantu yang berwaspada, dia agak hebat dalam kemahiran melarikan diri. Dia mempunyai pelbagai cara untuk melarikan diri yang pasti berada di luar imaginasi seseorang.

Ilmu 'Tuan' Song Shuhang itu bukan sahaja tidak dapat difahami dan disertai dengan banyak khazanah sihir, Tuan Song ini juga kejam dan mahir menggunakan racun. Sekarang ini, Mahaguru Altar sangat lemah dan dia juga sedang diracuni. Tidak ada peluang untuk dia menang walaupun sedikit. Oleh itu, peluang yang dia ada hanyalah melarikan diri.

Di mana ada kehidupan, di situ ada harapan!

Walau bagaimanapun, sebaik sahaja idea itu muncul dalam fikirannya, dia melihat Song yang kelihatan seperti seorang lelaki muda yang berdiri di hadapannya. Shuhang sedang mengeluarkan sesuatu yang kecil dengan perlahan.

Ia sesuatu yang dia tidak dapat diihat dengan mata kasar, tetapi... dia boleh merasakan yang itu satu alat yang tajam dan berbahaya.

Dia dapat merasakan semua ini daripada seorang pertapa yang hebat yang telah dia temui bertahun-tahun yang lalu. Ia ialah pedang terbang! Pedang terbang ini berupaya memancung kepala musuh dari jarak beribu-ribu batu. Dan ia dapat dilaksanakan semudah mengeluarkan barangan dari poket. Itulah kuasa pedang terbang. Ia bergerak sepantas api neraka yang membakar.

Dia teringat ketika dia masih dalam Alam Tahap Satu, dia cukup bernasib baik kerana dapat mengikut beberapa pertapa tua untuk meneroka runtuhan purba.

Semasa penerokaan itu, dia mahu membuang air kecil. Jadi dia mengambil kesempatan untuk membuang air kecil di satu sudut dinding. Pada masa itu, seorang pertapa tua yang memiliki pedang terbang tiba-tiba menyeru pedangnya. Ia kemudian terbang dan memenggal kepala musuh yang sejauh seribu batu dalam sekelip mata. Dan kemudian, pedang terbang itu kembali kepada pemiliknya... sebelum Mahaguru Altar selesai membuang air kecil.

Berhadapan dengan khazanah sebegitu, dia tidak dapat melarikan diri. Selepas dia teringatkan peristiwa itu, Mahaguru Altar tidak jadi berundur.

❄️❄️❄️

'Seperti yang aku harapkan. Walaupun mata kasar tidak dapat melihatnya, selagi aku memegang pedang terbang dan sengaja mengacukan 'pedang terbang' ini kepada musuh, pertapa yang berada dalam Alam Tahap Dua atau ke atas pasti akan merasakan kehadirannya.' Song Shuhang menarik nafas lega dalam diam.

Sekarang, dia melihat Mahaguru Altar mempunyai niat untuk melarikan diri. Jadi dia cuba menghalangnya dengan menunjukkan pedang terbang yang dibawa. Dia tidak boleh membiarkan Mahaguru Altar melarikan diri, jika tidak, ia akan menjadi terlalu sukar baginya untuk menemuinya lagi dalam kesesakan manusia yang ramai ini.

Pada masa yang sama, dia memegang 'azimat pedang' secara senyap-senyap di tangannya. Sebaik sahaja Mahaguru Altar hendak melarikan diri, azimat pedang akan memotong badannya dengan segera. Walau bagaimanapun, ini pilhan terakhir buat Song Shuhang yang tidak pasti sama ada azimat pedang itu boleh membunuh Mahaguru Altar.

Nasib baik, Mahaguru Altar masih tertipu dengan 'pedang terbang'nya itu.

Song Shuhang mendedahkan senyuman yang aneh. "Ah, kau cuba nak melarikan diri? Kau fikir kau boleh melarikan diri dari aku?"

'Sangat memalukan,' Shuhang merasa seperti satu perasaan aneh ketika dia berlagak seperti seorang bos.

"Tuan Song, saya sangat menyesal kerana saya tidak mengenali tuan yang hebat ini dan telah mengganggu tuan. Tolong... tolong berikan saya satu peluang." Kerana tidak mempunyai jalan keluar, Mahaguru Altar merayu kepadanya dengan perasaan yang kelat.

'Aku tidak boleh melepaskan diri kali ini...' Fikir Mahaguru Altar.

'Peluang' ini akan memberikan kelebihan buatnya dalam keadaan yang dia tidak dapat bayangkan. Dan, dia masih tidak tahu sama ada terdapat 'peluang' untuknya atau tidak.

"Peluang? Hahaha." Song Shuhang ketawa dengan kuat... semasa dia ketawa, otaknya berfikir dengan pantas dan banyak rancangan yang muncul dalam fikirannya.

"Bukankah aku telah berikan kau banyak peluang, betulkan?"

Saat Song Shuhang bertanya, Mahaguru Altar berasa sungguh menyesal. Ya, dia telah tersalah anggap yang 'Tuan' itu ialah manusia biasa. Semuanya kerana dia dibutakan dengan ketamakan. Berani betul dia menguji 'Tuan' itu berulang kali.

"Tetapi, tuan ini boleh berikan kau satu peluang terakhir." Song Shuhang meletakkan dagunya pada pedang terbang dengan keseimbangan yang sempurna dari seorang pertapa tua yang hebat. Dia memandang ke bawah ke arah Mahaguru Altar dan berkata dengan dingin, "Kerana aku tidak mahu orang lain kata yang aku membuli seorang pertapa muda yang lemah. Aku tidak mahu menanggung malu kerana alasan itu."

'Aku sedang melihat seekor semut, hanya seekor semut, yang kecil!' Song Shuhang terus memandang ke bawah ke arah Mahaguru Altar. Matanya tidak menunjukkan sebarang emosi.

Mahaguru Altar merasakan pandangan mata itu seperti... Tuan Song sedang menatapnya seperti tuhan syaitan primordium yang sedang mengejek semut kecil di antara jarinya... sangat mengerikan!