Semua ahli sihir itu masih belum tidur lagi. Selepas menderita begitu lama, mereka masih tidak percaya mereka sedang dilayan baik oleh seorang putera raja, berada dalam istana tanpa dikawal pengawal atau digari dengan besi. Malah putera itu membenarkan mana-mana ahli sihir masuk ke dalam istana dan tidur dalam bilik besar serta selesa.
Wendy dapat meneka gelora dalam hati kawan-kawannya itu. Jadi dia dan Nightingale memanggil mereka semua untuk berkumpul dalam biliknya dan duduk dalam bulatan atas katil. Mereka akan berbual santai bagi menenangkan perasaan mereka.
'Ini barulah sifat seorang pemimpin,' fikir Leaf. 'Kalau Cara ada di sini, dia tidak akan mempedulikan perasaan anak-anak buahnya. Kalau dia sedar sekalipun, dia tidak akan berusaha untuk memujuk mereka.'
"Kak Wendy, apa Putera Roland… akan suruh kita buat?" Hummingbird bertanya takut-takut. "Kebolehan kami tidak berguna jika dibandingkan dengan awak dan Kak Nightingale."