Chereads / Lepaskan Ahli Sihir Itu / Chapter 76 - Gunung Suci (Bahagian II)

Chapter 76 - Gunung Suci (Bahagian II)

"Saudara-saudaraku! Itu Gunung Suci! Kita sudah menemuinya!"

Cara bersorak penuh gembira. Ahli sihir lain terpaku, membisu seribu bahasa. Tetapi ada juga yang saling berpelukan.

Scarlett mengerutkan dahinya. "Betulkah itu Gunung Suci?"

"Kenapa? Ada apa-apa tak kena?" Leaf berbisik kepada Scarlett. Dia juga tertanya-tanya benda sama. Bandar di langit itu tidak kelihatan seperti yang digambarkan dalam kitab suci, kota bergemerlapan dan bersinar-sinar. Ya, memang menaranya tersergam tinggi tetapi ia kelabu kehitaman dan walaupun sekarang waktu siang, ia tetap kelihatan suram. Tambahan lagi, ia diselubungi kabus merah seakan-akan darah.

"Ada sesuatu… sesuatu dalam lubang-lubang tingkap itu." Suara Scarlett terketar-ketar. "Saya tidak boleh nampak dengan jelas, tetapi saya tidak rasa itu dewa-dewi."

Bulu roma Leaf meremang serta-merta. Scarlett mempunyai penglihatan paling jauh dan jelas dalam kalangan ahli sihir Persekutuan Kerjasama Ahli Sihir, tetapi cara dia mengatakan itu membuat Leaf rasa seram sejuk. Malangnya Lightning sudah lari dengan Nightingale. Jika tidak, dia boleh terbang untuk melihat lebih dekat.

"Saudara-saudaraku! Gunung Suci ada di hadapan kita!" Pembimbing mereka melambai-lambaikan tangan sambil menjerit. "Hanya sedikit sahaja lagi, dan kita akan tiba ke syurga yang kita cari!"

Cara menggesa Stone berjalan lebih cepat ke hadapan. Leaf mahu menghulurkan tangan untuk menghalang mereka tetapi entah kenapa kakinya membatu. Dia teringat apa yang terjadi kepada Wendy dua minggu lalu. Dia takut jika dia cuba menghalang mereka, Pembimbing yang Dihormati tidak akan mendengar sebarang alasan dan masih akan terus meneruskan perjalanan.

Kumpulan wanita itu mula mempercepatkan langkah mereka. Selepas meninggalkan kaki gunung, salji sudah tidak begitu tebal dan suhu sekeliling juga sudah mula menaik. 'Inilah tempat larangan yang diperkatakan dalam kitab itu. Tempat yang tidak boleh dijejaki manusia,' fikir Leaf, 'tetapi kenapa ada tapak kaki manusia di tempat yang tidak boleh dijejaki manusia? Kalau Lightning ada, dia tentu sudah mencurigai semua ini."

Leaf menoleh ke belakang, dan melihat puncak-puncak gunung di belakangnya berceracak tinggi dan rendah, seperti sempadan yang tidak boleh direntasi. Hati Leaf semakin kuat mengatakan Banjaran Puncak Langit merupakan "pagar" yang mencegah makhluk iblis daripada menceroboh tanah pedalaman secara terus dan memaksa mereka terpaksa mengambil jalan jauh melalui tanah di utara.

Kalaulah mereka sudah menemui Gunung Suci, tidak kira dalam apa cara sekalipun, mereka sudah tidak perlu merayau-rayau lagi dan akhirnya boleh hidup dengan tenang… Leaf mengeluh perlahan. Sejujurnya, hatinya rasa berkobar-kobar semasa Nightingale menceritakan tentang pengalaman dia di Pekan Sempadan kepada saudara-saudara mereka dalam persatuan itu. Apabila Wendy bertanya siapa mahu ikut Nightingale ke Pekan Sempadan, dia sudah hampir mahu melangkah ke hadapan dan menawarkan diri. Tetapi sehingga saat terakhir, kakinya tetap berat mahu melangkah dan akhirnya dia melihat sahaja peluang keemasan itu berlalu pergi.

Leaf menggelengkan kepala, tiada gunanya dia mengenangkan lagi perkara yang lepas. Dia berjalan laju untuk mengejar kumpulan itu dan melintasi sempadan tanah kuning dan putih untuk masuk ke kawasan gersang di hadapannya.

Namun selepas itu, mereka menyedari sesuatu yang aneh. Tidak kira betapa cepat mereka berjalan, bandar itu masih berada di jarak sama. Selepas dua jam berjalan, "Gunung Suci" itu masih terawang-awang di langit, tidak menjauh dan tidak pula semakin mendekat. Seolah-olah… mereka tidak bergerak walaupun satu tapak sejak tadi.

"Pembimbing yang Dihormati, kami minta berehat. Kami sudah penat," keluh Stone. Sepanjang masa ini, mereka bergilir-gilir mendukung Cara tetapi Stone mendukung Cara paling lama.

"Tidak! Masakan kita mahu berhenti sekarang?" Cara membantah tanpa mendengar lebih lanjut. "Ini hanya dugaan tuhan, saudara-saudaraku. Jika kita tidak kuat menghadapinya, kita tidak akan sampai ke Gunung Suci! Kita tidak boleh berhenti. Kita mesti teruskan perjalanan sehingga kita sampai ke gerbang Gunung Suci!"

Sia-sia sahaja mereka mahu merayu kepada Cara, jadi mereka meneruskan perjalanan.

Namun begitu keadaan masih tidak berubah, dan semasa dalam perjalanan, sudah dua kali mereka bertembung makhluk iblis. Semasa serangan kali kedua, mereka menghadapi dua makhluk iblis yang cacat rupa. Leaf menyeru rumput panjang untuk memerangkap makhluk itu, tetapi salah seorang saudara mereka sempat dicederakan sehingga berdarah.

Akhirnya makhluk-makhluk itu dibunuh dan selepas itu langit mula beransur gelap. Senja bakal berlabuh. Kota itu masih ada di hadapan mereka, tetapi pinggirannya sudah kelihatan kabur, seolah-olah bandar itu sedang menghilang.

Menurut pengalaman, sekarang mereka mesti mencari tempat perkhemahan sesuai untuk bermalam. Tetapi kawasan ini jauh berbeza daripada Banjaran Puncak Langit. Tanah di sini sangat rata dan dikerumuni makhluk iblis berkeliaran. Mereka tidak mungkin boleh bermalam di sini.

"Pembimbing yang Dihormati, kita mesti kembali ke kaki gunung! Biar Scarlett memandu kita dan Red Light boleh memberi cahaya. Mungkin kita boleh sampai menjelang tengah malam."

"Tidak!" jerit Cara tidak sabar. "Kita sudah habiskan masa sepanjang tengah hari untuk berjalan ke sini tanpa henti. Kita sudah habiskan separuh tenaga kita, mustahil kita boleh patah balik dengan kelajuan yang sama. Saudara-saudaraku, ayuh kita teruskan perjalanan. Kita boleh berehat apabila kita sampai ke Gunung Suci nanti."

"Bagaimana dengan Sherry?" Mereka bertanya sambil menunjuk kepada seorang ahli sihir yang sudah terkulai tidak bernyawa di tanah.

"Kita tiada masa untuk mengebumikan dia." Pembimbing yang Dihormati menggelengkan kepalanya lalu menyambung, "Biarkan dia di sini. Bumi akan menerima jasadnya kembali."

Leaf memejamkan mata dengan sayu. Seorang lagi saudara meninggalkan mereka. Kalaulah dia ada sekelumit tenaga lagi, dia tidak perlu mati di tengah-tengah dataran tandus ini tanpa batu nisan untuk memperingati namanya.

Sambil mereka berkumpul dan berbincang sama ada mahu meneruskan perjalanan atau tidak, tiba-tiba Stone melaung kuat, "Tengok langit! Kota itu sudah hilang!"

Leaf membuka mata, mendongak, dan melihat langit sudah menjadi kelabu kehitaman. Awan-gemawan hilang dalam kegelapan malam dan begitu juga dengan kota itu. Seolah-olah ia tidak pernah wujud sebelum ini.

Semua orang terpaku membisu. Setiap seorang daripada mereka menyedari sesuatu yang dahsyat.

Ada sejenis bandar yang tidak boleh dimasuki sesiapa sekalipun, kerana ia hanya terapung di langit dan apabila sinar matahari mengenainya, ia akan ghaib… Tiba-tiba Leaf teringat Lightning pernah bercerita tentang kelasi-kelasi di laut yang sering menyaksikan banyak fenomena menakjubkan. Tubuhnya menggigil. "Kita sudah tertipu…" katanya perlahan, sebelum dia mengulanginya semula dengan lebih kuat, "Kita sudah tertipu! Itu bukan Gunung Suci! Itu logamaya!"

"Logamaya?" Cara berpaling ke arah Leaf, riak wajahnya bengis dan menakutkan. "Apa itu?"

"Lightning pernah bercerita tentang satu fenomena yang terjadi semasa pelayaran laut, dan ia sangat jarang berlaku di darat. Apa yang kita tengok tadi hanya bayang-bayang sahaja. Bandar yang sebenar terletak sangat jauh dari kita, itupun jika ia wujud!"

"Maknanya bandar itu ada tetapi ia melompat ke tempat lain?"

"Saya…" Leaf kebingungan. "Saya tak tahu."

Tiba-tiba suara Scarlett kedengaran cemas. "Hati-hati! Ada sesuatu datang!" Matanya merenung sesuatu yang bergerak di belah kiri mereka, dan mukanya seperti melihat sesuatu yang menjijikkan.

"Makhluk ibliskah?" Windseeker menundukkan tubuhnya, bersedia untuk berlawan. "Ada berapa ekor?"

"Bukan…" Scarlett berundur dua langkah ke belakang. 'Saya tak tahu apa bendanya itu…"

Sejurus selepas kata-kata itu keluar dari mulutnya, satu bayang-bayang hitam meluru laju ke arah Scarlett. Dia nampak cahaya yang terhalang oleh benda itu, tetapi ia terlalu pantas dan dia tidak sempat mengelak.

Dalam sekelip mata, bayang-bayang itu menusuk masuk dada Scarlett dengan kuat sehingga dia tercampak ke belakang. Tubuhnya melayang sehingga dia terlekat ke sebatang pokok.

Sebatang lembing tercacak keluar dari dada Scarlett.