Chereads / Lepaskan Ahli Sihir Itu / Chapter 72 - Perbincangan Istana di Bandar Diraja

Chapter 72 - Perbincangan Istana di Bandar Diraja

Timothy Wimbledon duduk di atas takhta, sambil memegang cokmar batu permata merah dan memerhatikan para menterinya di balai penghadapan.

Dia terfikir inilah perasaan yang dia dambakan, bukan mereput di Valencia dan bertelagah dengan ahli perniagaan kerana hal remeh-temeh.

Dia menghentakkan cokmar emas padu itu ke atas lantai marmar berkilat dan bunyinya bergema di seluruh balai. Setelah semua orang memberikan perhatian kepadanya, dia mengangguk lalu berkata, "Mulakan".

"Tuanku, Patik ada sesuatu untuk dilaporkan." Kesateria Weimar ialah orang pertama yang bersuara. Dia diberi nama gelaran "Kesateria Berhati Waja" yang bertanggungjawab mempertahankan bandar diraja.

"Teruskan."

"Boleh Patik minta kita tangguhkan pemburuan ahli sihir? Pemburuan ini sudah tidak terkawal, Tuanku. Semalam Patik dapat tahu beberapa orang anak gadis keluarga orang kebanyakan telah ditahan dan disoal siasat di kurungan bawah tanah. Salah seorangnya telah mati. Selepas itu baru dibuktikan mereka bukan ahli sihir. Sekarang penduduk di pinggir bandar kita sedang cemas. Jika ini diteruskan, Patik gusar mereka akan melarikan diri."

Timothy mengerutkan dahi. Benar, dia mengarahkan pemburuan ahli sihir itu. Punca kematian sebenar Raja Wimbledon III masih belum dipastikan lagi, tetapi dia pasti ayahandanya tidak membunuh diri. Senyuman aneh yang diberi ayahandanya sejurus sebelum menikam dirinya sendiri membuatkan Timothy rasa seram-sejuk. Pihak gereja juga sudah mengesahkan Batu Pembalasan Tuhan di pergelangan tangan ayahandanya bukan batu palsu, jadi ia masih berkesan. Namun semua ini sahaja masih tidak cukup untuk mengatakan ini bukan angkara ahli sihir.

Dalam kejadian aneh seperti ini, siapa lagi dalangnya kalau bukan ahli sihir?

Timothy mengalihkan pandangan kepada Langley, orang yang mengetuai pemburuan ahli sihir merangkap anjing suruhan yang dilatih Timothy sendiri. Langley berdiri. "Tuanku, hal ini tidak disengajakan. Patik sudah menghukum orang yang menyebabkan kematian itu." Dia mengira dengan jari-emarinya. "Warden, penjaga istana, serta pengawal telah dihukum 10 kali sebatan dan didenda 25 keping perak."

"Satu nyawa telah terkorban, tiga orang diseksa kejam. Tetapi pelakunya hanya disebat dan didenda?" Kesateria Weimar mula menyinga. "Siapa beri kamu kuasa untuk jatuhkan hukuman? Tuan Yang Terutama Perdana Menteri Wyke? Menteri Keadilan Lord Pilaw?"

"Tuanku! Ini jenayah luar biasa, jadi Patik terpaksa bertindak luar biasa juga." Langley jatuh melutut ke lantai dan merintih hina. "Walaupun dengan halangan kecil ini, pemburuan ahli sihir kami sangat berkesan. Kami dapat tangkap sekurang-kurangnya 15 ahli sihir yang bersembunyi di Bandar Diraja. Mereka sedang diseksa sekarang. Tidak lama lagi, kita akan tahu jika mereka ada kaitan dengan pembunuhan Ayahanda Tuanku… Bukan, maksud Patik, jika mereka bersekongkol dengan pembunuhnya."

Timothy menjegil Langley. Si bodoh ini nyaris mendedahkan niat Timothy. Walaupun para menteri di balai penghadapan itu boleh meneka matlamat sebenarnya, namun mereka mesti menekankan kepada rakyat yang pembunuh raja mereka ialah Putera Gerald. Mereka tidak boleh dibiarkan merasakan sekelumit sekalipun rasa ragu-ragu tentang perkara itu.

"15 orang ahli sihir?" Kesateria Berhati Waja mencemuh dengan rasa tidak percaya. "Baiklah. Jadi sebelum ini Bandar Diraja sudah menjadi kubu pertahanan ahli sihir. Beberapa tahun lalu, pihak gereja dapat menangkap hanya enam ahli Persekutuan Kerjasama Ahli Sihir semasa pemburuan besar-besaran di hutan timur. Nampaknya orang-orang bawahan awak lebih handal daripada Perajurit Agama gereja sendiri, ya?"

"Berani awak…!"

"Cukup!" bentak Timothy. Dia sudah mula rasa jengkel dengan kebodohan Langley dengan orang-orangnya yang sama bebal seperti dia. Jika bukan kerana dia tiada orang lain yang berkebolehan untuk bekerja di bawahnya, pasti dia tidak akan menaikkan pangkat si monyet ini. Jika Langley mahu berlagak sekalipun, dia tidak perlu mereka angka yang sukar dipercayai. 15 orang wanita itu tentu tidak bersalah seperti gadis yang dia tangkap sebelum itu. Timothy tidak mahu sampai Gereja Inggeris terpaksa masuk campur, tetapi kini dia tiada pilihan lain. "Pergi ke gereja dan minta Paderi Ferry sahkan identiti 15 orang wanita itu. Hentikan semua soal siasat dan seksaan. Mulai sekarang, setiap kali kamu menahan sesiapa, kamu mesti mendapatkan pengesahan daripada paderi. Jika beta dapat tahu kamu gagal mengawal orang bawahan kamu lagi, beta sendiri akan campak kamu dalam parit keliling istana untuk dijadikan makanan ikan."

"Baiklah, Tuanku."

"Pergi buat sekarang!"

Selepas menghalau Langley keluar dari balai penghadapan, Timothy mengalihkan pandangan kepada bendaharinya. "Jika ada antara mereka telah dilayan secara tidak adil, berikan pampasan sebanyak dua keping emas kepada setiap seorang, termasuk tiga orang sebelum itu. Beri juga pampasan kepada keluarga gadis yang meninggal dalam penjara itu." Timothy berhenti sejenak seraya menyambung, "Untuk mereka, tambahkan sekeping lagi duit emas."

"Perintah dijunjung, Tuanku." Bendahari itu mengangguk.

"Tuanku sangat bermurah hati." kata Kesateria Weimar sambil memberikan tabik hormat.

"Baik, kita teruskan ke agenda seterusnya." Timothy melepaskan nafas yang dia tahan tanpa disedari. Dia menyedari para menterinya sekadar membisu. "Baik, jika tiada sesiapa mahu bercakap lagi, Beta akan bertitah." Dia berpusing ke arah Sir Bullet "Si Payung" iaitu Menteri Hal Ehwal Luar Negeri. "Sudah lebih sebulan kita keluarkan arahan memanggil adinda-adinda beta pulang tetapi tiada siapa yang datang. Apa sebenarnya terjadi?"

Sir Bullet datang daripada keluarga Flynn dan sudah menjawat jawatan ini selama tiga dekad. Dia sudah tua dengan kepala dipenuhi uban, dan kelihatan seperti sudah patut bersemadi di dalam kubur. Dia berdehem. "Patik ingin melaporkan kepada Tuanku. Patik tidak mendapat sebarang berita tentang adinda ketiga Tuanku, Garcia Wimbledon. Adinda keempat Tuanku pula, Roland Wimbledon, ada mengutus sepucuk surat. Katanya Baginda akan mempertimbangkan untuk kembali sebaik sahaja Bulan Kunjungan Iblis berakhir dan rakyatnya sudah selamat. Tetapi…"

"Tetapi apa?"

"Baginda masih memanggil Tuanku dengan gelaran Yang Amat Mulia, bukan Yang Mulia Baginda Raja."

Timothy sekadar merengus. Adindanya yang dangkal itu masih bodoh seperti dahulu. Jika Roland kembali dan mengakui dia sebagai raja, dia boleh memberikan sebidang tanah kepadanya dan dia boleh memerintah sebagai putera di sana dan hidup mewah. Jika dia tidak kembali, baik dia korek kuburnya sendiri sahaja. Roland akan kembali tetapi enggan tunduk kepada pangkat Timothy sebagai raja. Apa gunanya dia bermulut manis?

"Biarkan dia buat apa yang dia mahu." Timothy menepis udara. "Bagaimana dengan adinda kelima beta?"

"Tuanku, Baginda… Baginda hilang."

"Apa? Apa maksud kamu?"

"Mulanya Baginda bersetuju untuk ikut utusan yang Patik hantarkan. Tetapi seminggu kemudian Baginda hilang bersama pembantu peribadinya dan dua orang dayang. Patik sudah mengarahkan orang mencari Baginda. Setakat ini masih tiada sebarang maklumat."

'Bagaimana ini semua boleh terjadi? Kenapa mereka semua berdegil tidak mahu percaya cakapnya?' Timothy rasa sesak dada. Mulanya dia berharap kepada adinda bongsunya itu agar dapat membantunya. Lagipun kebijaksanaan Tilly sudah ketara sejak kecil lagi, malah melebihi Timothy sendiri. Jika dibandingkan dengan Timothy, Tilly ada satu kekurangan sahaja – dia perempuan.

Pada mulanya Timothy menyimpan keyakinan kepadanya. Ayahandanya sendiri tidak mahu melibatkan Tilly dalam kemelut perebutan takhta ini. Tilly terus dianugerahkan Kota Perak, berhampiran Bandar Diraja. Kadar perdagangan dan perniagaan di sana biasa-biasa sahaja, tidak memerlukan bala tentera sekalipun. Jadi memang aneh apabila adinda kelimanya tiba-tiba menghilangkan diri.

Mungkinkah dia ada sebab yang bijak di sebalik kehilangan ini?

"Memandangkan adinda Beta hilang, suruh pemerintah terdahulu mengambil alih pemerintahan Kota Perak. Teruskan gerakan mencari. Beta tidak mahu biarkan darah diraja bergaul dengan orang kebanyakan." Timothy mengetap gigi dan cuba menyembunyikan kemarahannya. "Jadi sekarang tinggal adinda ketiga beta sahaja yang melanggar perintah beta?"

"Benar, Tuanku."

"Oleh sebab Baginda keras kepala, beta terpaksa mengambil langkah tegas." Timothy memandang Perdana Menteri Marquis Wyke. Persetujuan kedua-dua raja dan perdana menteri diperlukan sebelum membuat perisytiharan perang. Ini tidak menjadi masalah kerana perdana menteri itu menyokong dia sepenuhnya. Kata Timothy, "Beta mengarahkan Duke Joey di Wilayah Selatan mengerahkan askarnya, paksa Garcia lepaskan Pelabuhan Air Bening, dan iringi Baginda kembali ke Bandar Diraja."

Seperti dijangkakan, Marquis Wyke menjawab, "Dengan serta-merta, Tuanku. Tuanku, sila keluarkan titah secepat mungkin. Patik akan arahkan Menteri Hubungan Dalam Negeri untuk melaksanakannya."

Timothy mengangguk puas. Dia baru mahu memanggil kerani untuk menulis titah itu tetapi mereka semua mendengar bunyi tapak kuda berderum di luar balai. Satu kekecohan mula terdengar di sebalik pintu tetapi selepas itu pintu balai penghadapan dibuka oleh seorang kesateria bermantel belang-belang biru.

Timothy kenal kesateria itu. Naim Moor, Kesateria Bayu Dingin yang terkenal. Naim melangkah hingga ke tengah balai penghadapan lalu melutut di atas sebelah kaki. "Tuanku, Patik baru menerima berita dari selatan." Dia termengah-mengah melepaskan lelah. "Garcia Wimbledon, adinda Tuanku, baru menewaskan Duke Joe Kohl di Wilayah Selatan dan telah menakluk Bandar Helang! Dan… Baginda sudah mengisytiharkan dirinya sebagai Ratu Air Bening. Semua pemerintah kota sudah menyatakan sokongan mereka terhadap Baginda. Wilayah Selatan sudah merdeka daripada kita!"