Apabila Wendy membuka mata, dia melihat hujan sudah berhenti setelah turun sepanjang malam.
Dia menguap dan mula bangun dari katil. Sebaik sahaja dia menolak daun tingkap, bau tanah basah-basah lembab terus mengisi ruang bilik itu dengan keharuman semula jadi. Setelah hujan, taman di belakang istana kelihatan begitu segar, titis-titis embun bergantungan dari helaian daun pokok zaitun yang rimbun di sebelah tingkapnya. Cahaya matahari pagi yang lembut melimpah atas permaidani rumput yang menghijau dan membuatkannya berkilau-kilauan.
Hari yang baru telah bermula.
Selepas menyarungkan baju dalam dan jubah luar, Wendy kembali ke sebelah katilnya dan menepuk-nepuk pipi Nightingale dengan lembut. "Bangun, sayang."
Nightingale mendengus lalu membenamkan mukanya bawah bantal.
Hanya pada masa-masa begini dia dapat mendedahkan dirinya sebegini tanpa perlu menyelinap ke dalam Kabus. Wendy senyum dan berkata lagi, "Saya turun sarapan dulu, ya?"