Chereads / Lepaskan Ahli Sihir Itu / Chapter 54 - Berita “Buruk”

Chapter 54 - Berita “Buruk”

Petrov tidak sangka dia akan kembali ke Pekan Sempadan secepat ini.

Dia rasa begitu ralat mahu meninggalkan rumahnya yang hangat dan selesa dalam musim sejuk mencengkam tulang ini, lebih-lebih lagi apabila kawanan makhluk iblis sedang mengganas di serata benua. Namun begitu Duke Ryan telah mengamanahkannya untuk menyerahkan sepucuk surat yang rumit ke dalam tangan Putera Roland.

Dia tahu isi kandungan surat itu, malah semua orang bangsawan sedang heboh membicarakan tentang berita mengejutkan itu. Raja telah mangkat dibunuh dan pembunuhnya ialah anakanda sulung Baginda, Gerald Wimbledon. Selepas itu anakanda kedua Baginda berkejar ke bandar diraja dan mengisytiharkan dirinya akan mengambil alih takhta Graycastle kerana kerajaan itu tidak boleh dibiarkan terlalu lama tanpa raja.

Namun begitu, tidak semua orang bersetuju dengan tindakan Putera Kedua itu. Ini kerana perbicaraan Putera Gerald amat mencurigakan. Baginda hanya dipertunjukkan kepada orang ramai beberapa kali semasa soal siasat dengan mulutnya ditutup dan tangannya diikat ketat. Oleh itu terdapat segelintir pihak yang mendesak kes pembunuhan itu disiasat sepenuhnya sebelum membuat keputusan tentang siapa yang patut ditabalkan menjadi raja.

Terdapat juga khabar angin yang mengatakan Putera Timothy Wimbledon, iaitu Putera Kedua Graycastle dalang sebenar di sebalik pembunuhan itu. Selepas membunuh ayahandanya sendiri, Baginda berpura-pura sedih tetapi sebenarnya sudah tidak sabar mahu menaiki takhta.

Namun tanpa menghiraukan kontroversi itu, Putera Kedua tetap mengambil alih takhta buat sementara dengan sokongan penuh Wazir Diraja. Pada masa yang sama, Baginda mengeluarkan titah menyeru kepulangan semua pesaing Baginda untuk takhta dan mengumumkan bahawa Titah Diraja bagi Pemilihan Waris Takhta telah tamat secara rasmi dan semua adinda Baginda mesti kembali ke bandar diraja sebelum penghujung musim sejuk. Raja baru kemudiannya akan mengurniakan tanah jajahan dan pangkat bangsawan kepada mereka berdasarkan pemerintahan mereka ke atas negeri yang diamanahkan kepada mereka sepanjang enam bulan lepas.

Tidak syak lagi, Petrov dapat merasakan ketidaksabaran di sebalik titah itu.

Menerusi titahnya itu, Putera Wimbledon mahu melihat reaksi semua adinda Baginda dan mendapat kepastian jika ada sesiapa yang mahu mempertikaikan pertabalan Baginda. Jika mereka memilih untuk melepaskan takhta kepadanya dan kembali ke bandar diraja, Timothy Wimbledon bakal diangkat menjadi Raja Wimbledon IV tanpa sebarang bantahan.

Semua utusan bertulis ke Pekan Sempadan akan melalui Kubu Longsong terlebih dahulu. Semasa Duke Ryan membaca surat yang memanggil kepulangan Putera Roland, dia hanya mencemuh. Raja terakhir mempunyai hubungan baik dengan golongan bangsawan, tetapi Putera Kedua menaiki takhta dalam keadaan sangat mencurigakan. Lagipun Putera Gerald akan dihukum pancung, jadi tentu tiada sesiapa sanggup balik ke bandar diraja dengan rela hati.

Namun begitu bagi enam keluarga bangsawan besar di Kubu Longsong, arahan ini tiba tepat pada masanya.

Kira-kira dua bulan lalu, Earl Keluarga Rusa Tanduk melakukan rancangan yang tidak dimaklumkan dan membuat Duke Ryan sangat berang, lebih-lebih lagi apabila rancangan itu gagal. Putera itu juga terus mengarahkan Kihls Medde digantung sampai mati. Ini membuatkan hubungan antara kedua-dua belah pihak bertambah tegang.

Pada mulanya Duke itu bercadang untuk menghulurkan salam perdamaian selepas penghujung Bulan Kunjungan Iblis. Tetapi dengan surat ini, dia mempunyai alasan yang lebih kuat. Selepas Roland Wimbledon kembali ke bandar diraja, Pekan Sempadan akan terus jatuh ke tangan Duke itu sekali lagi. Jika putera itu enggan pergi, Duke akan memaksa Baginda dengan alasan menurut perintah raja baru.

Duke Ryan sedikit pun tidak peduli tentang siapa yang akan ditabalkan menjadi raja.

Tetapi sebagai seorang utusan, Petrov rasa serba-salah. Semasa kali terakhir dia ke Pekan Sempadan, dia berjanji akan kembali dengan perjanjian perdagangan baru, tetapi malangnya dia telah dicantas oleh rancangan jahat Keluarga Rusa Tanduk. Sekarang dia mahu ke Pekan Sempadan sekali lagi tetapi dengan membawa berita buruk pula – tidak kira sama ada berita kematian Raja Wimbledon III mahupun arahan pulang oleh raja baru itu, Petrov dapat merasakan kedua-duanya tidak akan disambut baik oleh Putera Roland.

Perjalanan ke Pekan Sempadan tidak menemui sebarang halangan. Kerajaan Graycastle terletak di bahagian selatan benua itu jadi iklimnya tidak cukup sejuk untuk membekukan sungai semasa musim dingin.

Sekali-sekala Petrov menjenguk ke luar dari tingkap kapalnya. Dia tidak melihat sesiapa mati kebuluran di tengah jalan atau sedang melarikan diri dari pekan jadi ini bermakna Pekan Sempadan tidak tumpas akibat serangan makhluk iblis.

Dia agak terkejut dengan perkara ini. Kali terakhir dia melawat Pekan Sempadan dahulu, dia sendiri menyaksikan pembinaan tembok kota mereka. Terus-terang, dia tidak begitu yakin dengan keutuhan dinding batu yang sekadar dilekatkan bersama dengan lumpur.

Tetapi apa yang dia lihat selepas itu lebih mengejutkan lagi. Sebuah kapal layar dengan bendera Bandar Raya Willow belayar di sebelah mereka di sebelah kanan sungai. Ia tidak begitu pelik jika sekarang bukan Bulan Kunjungan Iblis. 'Pekan Sempadan sedang sibuk berniaga walaupun sedang kecoh menghadapi serangan makhluk iblis? Bagaimana mereka mahu melawan gerombolan makhluk iblis itu jika mereka sudah kerahkan semua pelombong untuk mempertahankan Pekan Sempadan?', fikirnya lagi.

Tiga hari kemudian, sebuah kapal tiba di dok Pekan Sempadan.

Dok kayu itu masih mereput dan usang tetapi di sebelahnya ada satu bangsal kayu yang nampak seperti baru dibina. Sebaik sahaja kapal itu berlabuh, dua pengawal berjalan keluar dari bangsal itu dan memerhatikan setiap pergerakan anak kapal dengan tajam.

Petrov sudah tahu tujuan pengawal ditugaskan di sini.

Putera Roland tidak mahu sesiapa senyap-senyap melarikan diri dari pekan melalui sungai.

Petrov melompat ke atas darat dan menunjukkan tanda pengenalannya kepada pengawal. Kemudian seorang lelaki membawa seekor kuda untuknya dan mengiringi dia ke istana.

Seperti kali terakhir dia datang dahulu, Putera Roland Wimbledon bertemu Petrov di balai penghadapan. Kali ini putera itu mengarahkan orang suruhannya untuk menyediakan makanan yang banyak walaupun masa itu bukan waktu makan.

Orang suruhan istana Putera Roland menghidangkan daging panggang, hirisan ikan kering, kerabu sayur yang Petrov tidak tahu namanya, serta roti disapu mentega dan sup sayur yang biasa disajikan semasa jamuan makan.

'Nampaknya putera ini lebih gemar berbincang soal rasmi selepas makan,' fikir Petrov sambil tangannya sibuk mencapai makanan di hadapannya. Sudah lama dia tidak menikmati makanan seenak ini. Malah Keluarga Melati Belanda sendiri kebiasaannya hanya makan kentang dan roti bersama bakon, kecuali jika mereka ada tetamu barulah akan ada makanan yang sedikit mewah.

Sebaik mereka selesai makan hidangan utama, pemanis mulut disajikan di hadapan mereka. Ketika itu Petrov menyerahkan surat yang dibawanya kepada Roland dengan penuh hormat.

Roland menyambut surat itu dan membuka pelekat lilinnya dengan pisau makan. Dia menghamparkan kertas kekulit itu dan membacanya pantas. Roland terkedu.

'Raja sudah mangkat?'

Dirinya yang sebenar tidak ada sebarang perasaan dengan "ayahanda"nya itu. Semasa Cheng Yan bangun sebagai Putera Roland, dia sudah berada di Pekan Sempadan dan tidak pernah bersemuka dengan raja itu. Tambahan lagi memori Putera Roland yang sebenar hanya penuh dengan perasaan tidak puas hati dan kebencian terhadap ayahandanya itu. Oleh sebab itu, dia merasa agak serba-salah dalam keadaan ini – patutkah dia menunjukkan riak wajah sedih?

Semasa Roland membaca surat itu dengan lebih teliti, dia sudah dapat menghidu konspirasi keji di sebaliknya. 'Putera Pertama membunuh Raja Wimbledon III? Putera Kedua, dengan kuasa sebagai raja baru, mengumumkan persaingan merebut takhta negara telah berakhir dan mengarahkan semua adindanya kembali ke bandar diraja serta-merta?' Pasti ada sesuatu di sebalik semua ini.

Roland berdehem lalu mengangkat kepalanya, dan dia terlihat kekesalan dalam mata Petrov.

'Begitu rupanya.' Roland mula faham. 'Duke Kubu Longsong tentu sangat gembira dengan arahan ini. Sama ada saya patuh atau tidak, saya akan tetap menerima akibatnya.'

'Jadi Petrov bukannya membawa perjanjian perdagangan yang dia janjikan, sebaliknya dia membawa berita buruk yang mungkin akan membawa kepada kematian saya. Tentu dia rasa sangat bersalah sekarang,' fikir Roland lagi. Namun hati kecilnya rasa riang. Dia melipat kembali surat dan hanya berkata, "Beta faham".

"Jadi, Tuanku… Apa Tuanku mahu…"

"Jika beta pergi sekalipun, beta hanya boleh pergi selepas Bulan Kunjungan Iblis berakhir. Kalau beta pergi sekarang, apa nasib rakyat jelata Beta nanti dalam salji selebat ini?"

Jika dia bercakap dengan orang lain, Petrov tentu akan menjawab, "Jangan risau, Kubu Longsong akan membantu Tuanku untuk menjaga Pekan Sempadan" atau apa-apa janji manis lain. Namun begitu dia baru dua kali bertemu Putera Roland, jadi dia perlu menjaga kata-katanya. Buat kali pertama, Petrov membenci batas kuasanya sebagai sekadar utusan. Akhirnya dia menganggukkan kepala dan berkata, "Patik faham. Tuanku mahu Patik sampaikan apa-apa surat balas?"

Roland mengarahkan orang suruhannya membawa pena dan sehelai kertas kekulit. Dia menulis sebentar dan kemudian melipat dan melekatkan surat itu dengan lilin cop mohor diraja. Petrov mencuri tengok sampulnya semasa dia mencapai surat yang dihulurkan Roland. Ia dialamatkan kepada "Timothy Wimbledon, Putera Kedua Graycastle" dan bukan "Raja Wimbledon IV".

'Nampaknya Baginda berani melawan,' fikir Petrov dalam hati.