Nana menguap lebar apabila dia bangun dari tidur.
Dia menjenguk ke luar tingkap dan melihat tanah putih yang terbentang di luar sana. Dia tidak melihat apa-apa pun selain salji.
Dengan penuh berat hati, dia bangun daripada katilnya yang panas selesa lalu menyarungkan kot musim sejuknya yang tebal. Dia melangkah perlahan keluar dari bilik tidur dan melihat Mak Cik Alda sedang mengemas ruang tamu.
"Selamat pagi," gumamnya perlahan.
"Si puteri kecil sudah bangun rupanya," Alda memberi senyuman penuh kasih kepada Nana. "Mahu makan sarapan? Mak cik boleh pergi buat."
"Boleh juga." Nana menarik kerusi meja makan lalu duduk. Dia menoleh ke kiri dan ke kanan. "Mana ayah?"
"Tuan Pine sudah keluar awal pagi tadi," sahut Alda dari dalam dapur. "Tuan bawa senapang patah peraknya sekali."