Scroll berdiri di belakang Putera Roland sambil memerhati putera raja itu sibuk menulis atas kertas kekulit. Scroll hanya mendiamkan diri sambil menikmati kehangatan sinaran matahari musim luruh yang menjengah dari jendela tinggi di belakang mereka.
"Apa lagi… Apa lagi yang patut ditulis… Apa lagi selain penambahan dan pengurangan elektron? Sekejap, biar saya tanya di Internet… Mana dia… Cepatlah jawab, saya sedang tunggu komen… Oh, nanti sekejap." Kadang-kadang putera itu akan menulis sesuatu tetapi kemudian dia mengguris-guris perkataan itu seolah-olah mahu memadamkannya. Kadang-kadang pula dia akan memegang dahinya sambil mengerang. Kadang-kadang juga dia akan membebel ayat-ayat yang tidak masuk akal. Scroll tidak faham langsung apa yang digumam putera itu. Pada mulanya Scroll risau dengan keadaan Putera Roland tetapi kemudian dia menyedari ini kelakuan biasa Baginda semasa cuba mengingat kembali apa yang Baginda pelajari.