Cuaca di Negeri Tasik Utara sangat aneh. Semalam cuaca panas tanpa sekepul awanpun di langit biru. Cuaca hari ini pula sedikit mendung dengan angin yang kuat diiringi guruh berdentum-dentam. Ribut bakal melanda.
Ashes berjalan memasuki kediaman Tilly sambil menahan rambutnya yang menggerbang-gerbang ditiup angin kencang. Sebaik sahaja dia masuk, dia menangkap pandangan seekor merpati gemuk bertenggek di atas bahu Tilly.
"Maggie?"
"Kurr!" Merpati itu menoleh ke arah Ashes dan matanya terus bersinar-sinar. Ia mengepak-ngepakkan sayapnya dan terus meluru terbang ke pintu untuk menyambut Ashes tetapi dia dihalang oleh tangan Ashes yang lantas naik. "Tukar dahulu menjadi bentuk manusia sebelum cakap dengan saya."
"Wuu… Kurr," Maggie menutup sayapnya, mendarat di tanah, dan mengubah bentuk tubuhnya menjadi manusia. Dia mengibas bulu-bulu pelepah yang tertinggal pada rambutnya dan memandang Ashes dengan pandangan sedih. "Awak benci merpati atau apa?"