"Apa ni?" Nightingale bertanya sambil memandang ke arah batu hitam yang bersinar di atas meja.
"Obsidian." Roland langsung tidak mengangkat kepalanya sedikit pun kerana terlalu fokus melukis lakaran biru.
"Ob… batu apa tu?"
"Tidak, beta hanya mengarut." Dia mengeluh. Hanya dengan melihat bentuk dan warna batu itu, macam mana dia hendak tahu batu jenis apakah itu? Dia bukannya seorang pakar geologi. Jika ada di hadapannya besi asli sekalipun, belum tentu dia dapat mengenal pastinya hanya dengan melihat bijih tersebut.
Dia hanya tahu kebanyakan bijih mempunyai komposisi yang kompleks dan warnanya berbeza mengikut bendasing. Sebagai contoh, bijih besi boleh dibahagikan kepada hematit, pirit dan siderit, yang berbeza pada luarannya. Pirit, terutamanya, kadang kala akan mengeluarkan cahaya kilauan logam kuning yang menyebabkannya kelihatan seperti emas. Itulah sebabnya pirit ini digelar emas palsu.