Sejak Bulan Kunjungan Iblis berakhir tahun ini, Rantau Barat menikmati hari-hari cerah dan hanya diselang-seli dengan hujan sebanyak dua kali. Cuaca baik ini memadamkan memori kesuraman musim dingin yang baru berlalu. Bilik bacaan Roland sudah tidak berbau kepam lagi dan dia kini boleh menghirup udara segar. Kadang-kadang jika dia membuka jendela, bau harum bunga-bungaan taman akan mengisi ruang kamarnya.
Jalan antara Pekan Sempadan dan Kubu Longsong sudah mula dilalui seperti biasa, jadi Roland mula memberi perhatian lebih kepada perkembangan kubu itu.
Berdasarkan apa yang dia perhatikan tahun lepas, selepas jalan perdagangan itu mula pulih, dia menjangkakan saudagar Kubu Longsong tentu perlu datang ke Pekan Sempadan untuk menjual barang keperluan. Namun sehingga ke hari ini, dia masih tidak melihat walau seorang pedagang pun. Dia mengarahkan Lightning untuk meronda dua kali sehari untuk memastikan mereka bersedia sekiranya pihak musuh tiba-tiba muncul.