Chereads / Perpustakaan Jalan Syurga / Chapter 24 - Halau Dia Keluar

Chapter 24 - Halau Dia Keluar

"Mustahil…."

Wang Tao juga dalam keadaan tidak percaya.

Sebelum dia datang, dia telah pun mengenal pasti kekuatan Zhang Xuan. Maklumat yang didapatinya memberitahu Zhang Xuan seorang Peninju 3-Dan alam Zhenqi. Seorang begitu lemah!

Bagaimanakah mungkin untuk dia menghentikan serangannya dengan hanya menggunakan dua jari?

Untuk mencapai tahap ini, bukan sahaja dia perlu mempunyai kekuatan yang mencukupi, malah dia perlu mengambil kira rentak serangannya, kawalan kekuatannya, posisinya dan banyak lagi faktor-faktor yang lain. Kalau dia tersilap menilai, jarinya mungkin akan terpotong dan menyebabkan kecederaan yang parah!

Guru lain, atau tetua-tetua yang berada di alam Pixue sekali pun, mereka tidak akan mampu melakukan sesuatu seperti ini! Namun, bagi seorang yang terkenal sebagai guru yang paling sampah….

Mustahil!

"Nasib! Ini mesti kerana nasibnya yang baik sahaja!"

Perkara tersebut muncul dalam benak pikirannya. Satu ekspresi yang kejam muncul di wajah Wang Tao sekali lagi dan dia menyalurkan kesemua tenaganya pada tangan lalu meraung. "Marilah!"

Dia ingin mengambil semula pedangnya yang terkepit di antara dua jari Zhang Xuan.

Namun, setelah mencuba buat kali yang kedua sehingga urat dahinya hampir meletup dan dia hampir muntah darah kerana terlalu banyak menggunakan tenaga, dia terpaku apabila mendapati pedang yang terkepit di antara dua jari Zhang Xuan itu tidak berganjak walau sedikit pun. Tidak kira berapa banyak kekuatan yang dia gunakan, ia langsung tidak bergerak.

"Mungkinkah…kekuatannya tidak berada dalam alam Zhenqi?" Dia mula meragui kebenaran disebalik khabar angin yang tersebar.

Tetapi itu mustahil!

Tidak lama semenjak Peperiksaan Kelayakan Guru. Semua orang dalam akademi mengetahui kekuatannya masih berada dalam alam Zhenqi puncak… Jikalau demikian, sekiranya dia berjaya melepasi alam Zhenqi sekali pun, mereka masih berkedudukan pada tahap yang sama. Tidak mungkin dia mampu berlawan dengan hanya menggunakan dua jari!

"Berambus!"

Sejurus sahaja Wang Tao mula memikirkan kejadian yang aneh ini, suatu tenaga tiba-tiba mengarus kepadanya melalui pedangnya dan perkataan Zhang Xuan bergema di dalam telinganya.

Hu!

Sebelum dia mampu bertindak, seluruh badannya telah pun melayang ke udara.

Boom!

Kepalanya terhempas pada pintu kelas.

"Baiklah, mari kita sambung pembelajaran kita!"

Selepas membuang Wang Tao keluar dengan mudah, Zhang Xuan pun berpaling kepada anak muridnya.

"….."

Wang Ying, Zhao Ya, Liu Yang, Zheng Yang dan Yuan Tao menukar pandangan antara satu sama lain. Kejadian ini menyebabkan mereka terdiam dan amat terkejut.

Itu adalah Peninju 4-Dan alam Pigu pakar! Tidak boleh disangkal lagi dia mampu menahan serangan yang kuat itu. Dan menyebabkan dia tercampak keluar dengan begitu mudah…..

Bukankah dia guru paling teruk dengan kepakaran tinju yang terendah dalam seluruh akademi?

Bagaimanakah dia mampu berbuat demikian?

"Guru….sedang menyembunyikan kekuatannya?"

Tiba-tiba, Zhao Ya tersedar dari lamunan lalu keterujaan mula terpancar dari mukanya.

Cuma satu penjelasan untuk situasi sebegini iaitu guru berada di depannya ini sedang menyembunyikan kekuatan yang sebenar!

Kalau tidak, bagaimana dia dapat mengenal pasti masalah yang tidak diketahui orang lain malah dengan sedikit pedoman dapat meningkatkan kekuatan mereka secara mendadak?

Yang lain tidak bodoh juga. Mereka mencengkam penumbuk mereka.

Apabila datang ke akademi untuk berguru, siapa yang tidak berharap untuk mendapat seorang guru yang berwibawa?

Sebelum ini, mereka ingat hidup mereka akan sengsara kerana berguru dengan guru yang paling sampah di akademi. Namun, sangkaan mereka meleset… mereka telah memenangi pertandingan memilih guru dan dengan jurang yang jauh sekali!

Guru yang paling teruk reputasinya dalam akademi sebenarnya….pakar yang tulen!

"Un!"

Apabila mereka semua mencapai konklusi yang sama, segala tanggapan yang buruk atau pun keraguan hilang begitu sahaja dari minda mereka sambil menganggukkan kepala mereka. Malah Liu Yang, pada mulanya telah meragui kelas Zhang Xuan, terus memandang gurunya dengan penuh semangat, takut dia akan terlepas walaupun satu ayat daripada gurunya.

Siapa itu Guru Lu Xun dan Guru Wang Chao… Nama guru tersebut tidak diendahkan lagi!

Bukan mereka sahaja, malah tetua pun tidak setaraf dengan Guru Zhang!

...…

"Meluru masuk begitu sahaja, saya harap tuan muda baik-baik sahaja!"

Di luar kelas, Tetua Liu risau akan Wang Tao yang telah meluru masuk ke dalam kelas dengan marah. "Bertenanglah, Tuan Muda Wang Tao telah pun mencapai Peninju 4-Dan alam Pigu sedangkan Zhang Xuan masih terperangkap dalam alam Zhenqi. Sekejap lagi, dia akan memberikan Zhang Xuan suatu pengajaran dan kemudian membawa Puan Muda Wang Ying keluar!"

Yao Han mengangguk kepalanya dengan senyuman di mukanya.

Sebaik sahaja dia membayangkan keadaan guru yang tak tahu malu tersebut dengan giginya bersepah atas lantai, tiba-tiba dia terdengar raungan Wang Tao yang marah dari dalam bilik tersebut.

"Ia telah pun bermula!"

Mata Yao Han bercahaya dan mulutnya mula tersenyum.

Memikirkan Zhang Xuan itu sekadar mendapat tempat terakhir di seluruh akademi, Yao Han tidak terasa untuk menyibuk dalam urusan ini. Namun, untuknya menghina puan muda dia!

Kalau Zhang Xuan tidak menggunakan helah yang keji, mungkinkah puan muda akan sanggup menerimanya sebagai gurunya?

Kalau Yao Han bertindak dengan sendiri, mesti puan muda akan berasa marah terhadapnya, lebih-lebih lagi kejadian ini dilihat sebagai satu penghinaan terhadap akademi Hongtian. Lebih baik sekiranya Wang Tao yang berbuat demikian dan bukannya dia.

"Hehe, saya ingin melihat bagaimana guru yang sampah tersebut akan dimalukan…"

Semakin dia memikirkan tentang hal itu, semakin dia berasa gembira. Yao Han mula berjalan ke arah pintu dengan niat ingin membuka pintu dan melihat apa yang sedang berlaku. Tiba-tiba dia terdengar suatu letupan lalu pintu yang tertutup tersebut terbuka secara mengejut.

Peng!

Yao Han tidak sempat mengelak daripada terkena pintu besi yang terbuka. Pintu itu menghempas terus pada mukanya, menyebabkan dia menjadi pening lalat. Ketika masih pening daripada serangan tersebut, sebuah kepala datang menghempas padanya!

Kacha!

Pertembungan intim antara mukanya dengan kepala itu menghasilkan melodi tulang retak dan dua batang gigi yang tersisa setelah menempuh serangan semalam tertanggal begitu sahaja.

"Pu!"

Kesakitan yang mendalam membuatkan Yao Han untuk muntah darah.

Badannya tidak lemah tetapi….dia masih belum sembuh daripada kecederaannya semalam. Semalam, mukanya telah dibelasah dan sekarang, mukanya mencium pintu besi yang tiba-tiba terbuka kemudian sebuah kepala datang menghempas mukanya pula….pada saat ini, dia bertuah kerana masih hidup.

"Tuan muda…"

Tetua Liu perasan orang yang melayang tersebut merupakan tuan mudanya lalu meluru kepadanya, ketakutan.

"Cis, cis!"

Wang Tao mungkin telah dilemparkan ke pintu besi tersebut, tetapi Yao Han telah pun mengurangkan kecederaannya. Dia tidak cedera dengan parah hasil pertembungan tersebut. Sambil berdiri, dia teringat bagaimana 'sampah' tersebut dapat menangkap serangannya dan melemparnya keluar, dia berasa amat takut. Walaupun dia menengking dengan kuat, dia tidak berani mendekati kelas tersebut lagi.

"Tuan muda Wang Tao, kamu..kamu.."

Sambil berasa seperti ingin pitam, Yao Han mula menyedari orang yang terhempas padanya adalah Wang Tao. Dengan ekspresi yang curiga, dia cuba berdiri.

Bukankah kamu yang meluru ke dalam untuk membelasahnya? Bagaimana pula kamu yang dilemparkan keluar?

"Saya….saya sedang mencuba teknik tinju yang baru!" Wang Tao tidak berani berkata dia telah dilemparkan keluar oleh seorang sampah, dia hanya mampu membuat alasan.

"Teknik tinju?" Penglihatan Yao Han masih kabur dari pertembungan tadi. Dengan cepat dia bertanya, "Berjayakah kamu mendedahkan hakikat sebenarnya? Apakah reaksi puan muda…."

"Batuk batuk. Saya… saya tidak mempunyai masa untuk bertindak sebelum adik saya menolak saya keluar. Saya rasa….. kita patut menungu di sini sahaja!" Wang Tao bercakap dengan muka yang malu.

Baru sahaja, dia mengatakan dia akan membuat orang tersebut merana. Namun sekarang, dia pula yang dilemparkan keluar. Dia tidak akan memperakui sesuatu yang begitu memalukan walaupun dipukul sehingga mati!

"Tunggu?"

Yao Han menggaru kepalanya dan keraguan mula muncul di mindanya. Namun, dia tidak rasa dia patut bercakap tentangnya. Oleh hal demikian, dia memilih untuk bertukar topik pula. "Tuan Muda Wang Tao, saya ada soalan untuk kamu, memandangkan kamu seorang pelajar Akademi Hongtian!"

"Teruskan!"

Melihat bagaimana Yao Han tidak sambung menanyakan insiden yang berlaku di dalam kelas, Wang Tao mengeluh dengan lega dan menjawab.

"Adakah guru perempuan di akademi yang ada 'Bi' di dalam namanya?" teringat akan orang yang belasahnya semalam, Yao Han mula marah.

"Bi? Yang paling terkenal daripada mereka merupakan bidadari akademi ini, Shen Bi Ru! Saya mendengar guru Zhang Xuan juga pernah menguratnya. Dia memang katak yang bernafsu menginginkan...angsa yang cantik…"

Wang tao terhenti ditengah-tengah perkataannya.

Sebelum ini, semua orang tahu kebolehan Zhang Xuan tersebut hanya biasa sahaja dan kebolehannya sebagai seorang guru yang paling teruk. Dengan tahap begitu, dia berani cuba mengurat bidadari akademi Shen Bi Ru….. Oleh sebab itu, semua orang berkata demikian. Namun, sekarang selepas Wang Tao dengan sendiri merasai kekuatan Zhang Xuan, dia faham kekuatannya jauh lebih hebat berbandingnya. Dia sekarang berasa susah untuk terus mengejeknya sebagai katak yang menginginkan angsa!

"Shen Bi Ru? Zhang Xuan ingin menguratnya?" Mata Yao Han bercahaya apabila dia menyedarinya. Orang yang diperkatakan oleh orang misteri semalam mesti Shen Bi Ru. Dia sambung bertanya, "Selain Zhang Xuan, adakah orang lain yang ingin menguratnya?"

"Guru Shen amatlah cantik, terlalu banyak guru yang ingin menguratnya. Namun, yang paling terkenal antara mereka semua cucu Tetua Shang Chen, Cikgu Shang Bin!" Selepas berfikir untuk seketika, Wang Tao melihatnya dengan curiga. "Kenapa Pembantu Rumah Yao bertanyakan soalan yang sebegini?"

"Oh, saya cuma tanya sahaja!"

Yao han tidak lagi menyentuh topik ini tetapi boleh dilihat pada matanya yang bercahaya.

"Sekarang saya boleh mengenal pasti samada Shang Bin ini telah bertengkar dengan Zhang Xuan semalam. Kalau betul dia, tidak kira dia anak tetua, saya mesti membalas dendam…"

Apabila seorang pembantu rumah Datuk Bandar Baiyu, seorang yang sangat berpengaruh, seorang yang statusnya hanya bawah beberapa orang individu, dibelasah sebegini!

Kalau dia tidak membalas dendam, akan sukar untuknya memadamkan kebenciannya di dalam hatinya. Untuk itu, dia sanggup menjadi iblis!

...…

Sementara Yao Han berfikir samada dia ingin mengumpulkan maklumat, orang yang difikirkannya, Shang Bin, Baru sahaja menghabiskan kelasnya dan sejurus selepas meninggalkan kelasnya dia berjumpa seseorang.

Guru Cao Xiong!