Chereads / Pakar Makanan Dunia Lain / Chapter 103 - Pemuda, Ajar Dia Jadi Lebih Baik dengan Teknik Pemotongan Kamu yang Boleh Membutakan Mata Itu

Chapter 103 - Pemuda, Ajar Dia Jadi Lebih Baik dengan Teknik Pemotongan Kamu yang Boleh Membutakan Mata Itu

Tuan Zhao berasa sangat yakin. Dia begitu meyakini teknik pemotongannya kerana dia sudah bertahun-tahun berlatih teknik itu sahaja. Semenjak dia menjadi cef perantis, dia menghabiskan masa setiap hari menggunakan pisau dapur dan menguruskan ramuan.

Dia masih boleh terima kalau orang mengkritik rasa hidangannya tapi bukan pada teknik pemotongannya. Ini kerana dia sudah menghabiskan banyak masa berlatih teknik itu.

Disebabkan keyakinannya dan teknik pemotongan yang padu, Tuan Zhao lebih menonjol daripada cef-cef berkebolehan lain yang bekerja di Restoran Phoenix Abadi. Berdasarkan itu, dia dipilih oleh Qian Bao untuk mencabar Bu Fang.

Tuan Zhao memandang Bu Fang dengan angkuh. Dia tak menjangkakan yang pemuda di hadapannya itu mempunyai teknik pemotongan yang lebih hebat. Teknik itu lebih memerlukan usaha berterusan berbanding bakat. Tuan Zhao pula merasakan yang dia berbakat dan telah berusaha tanpa henti.

Sementara itu, Ouyang Xiaoyi dan Yang Chen sudah menghabiskan makanan mereka dan menunggu apa yang akan berlaku dengan penuh rasa ingin tahu. Ouyang Xiaoyi berasa teruja sambil dia berkata dalam hati, 'Hari itu, tauke busuk hampir menghancurkan Restoran Phoenix Abadi. Sekarang, mereka rasa tak puas hati dan ingin membalas dendam!'

Budak nakal itu seronok melihat sebagai penonton. Matanya yang galak itu berkelip memandang Bu Fang. Dia ingin macam mana tauke busuk akan uruskan hal ini.

Sejujurnya, Bu Fang langsung tak berminat dengan perkara-perkara seperti cabaran dan belajar daripada satu sama lain. Dia hanya nak masak sajian dengan aman, uruskan perniagannya, dapatkan kristal dan tingkatkan tahap pertapanya… Niatnya hanyalah itu semata-mata dan sangat mudah. Tak ada perkara yang rumit pun tentang cita-citanya.

Sebelum ini, kalau sistem tak memberikan dia misi, dia langsung tak terfikir pun mahu masuk ke Restoran Phoenix Abadi.

"Bertanding teknik pemotongan? Kenapa saya perlu bertanding dengan awak? Saya tak berminat." Bu Fang mencebikkan bibirnya dengan selamba sambil dia berpusing masuk ke dapur. Dia malas nak beri melayan Qian Bao dan Tuan Zhao.

Qian Bao agak terperanjat. Dia tak sangka Bu Fang akan menolak. Namun, matanya bersinar sambil berkata dalam hati, 'Dia menolak? Bukankah itu maksudnya dia kurang yakin? Tauke Bu ni pasti lemah dalam teknik memotong… Kalau tak, masakan dia menolak cabaran kami? Dia tak mahu turut serta kerana dia tahu dia akan kalah!'

Lagi banyak Qian Bao memikirkan tentang hal ini, lagi teruja perasaannya. Semakin membuak-buak keinginannya untuk memaksa Bu Fang menerima cabaran itu kerana dia merasakan yang dia telah menemui kelemahan Bu Fang.

"Tauke Bu… Kamu tak rasa yang kamu ni tak berfikiran munasabah ke? Bila kamu datang cari kelemahan Restoran Phoenix Abadi, ada ke saya menolak? Saya beria-ia menyuruh kamu rasa hidangan kami. Hari ini, saya datang dengan niat nak belajar daripada satu sama lain, tapi kamu tolak pelawaan saya. Bukankah itu tak adil. Mungkinkah kamu rasa kurang yakin? Kamu sedar diri ke yang teknik pemotongan kamu tu tak sehebat cef saya?" Qian Bao berkata sambil tersenyum. Mukanya berkedut-kedut.

Suaranya bernada memprovokasi yang menyebabkan semua orang yang mendengar rasa tak selesa. Ouyang Xiaoyi, yang pada asalnya rasa seronok melihat kejadian itu pun rasa bengang. Dia berkata dalam hati, "Apa yang tak adil? Apa maksudnya dia kurang keyakinan? Adakah Tauke Bu akan rasa kurang yakin dengan kemahirannya?"

"Saya bukannya kurang yakin atau bersikap tak adil. Tapi, kalau kita bertarung teknik pemotongan, cef kamu tu tak layak nak bertanding dengan saya. Disebabkan dia tak layak, kenapa pula saya nak bersaing dengan dia?" Bu Fang berhenti berjalan dan menolehkan kepalanya sambil bercakap dengan bersahaja. Nadanya langsung tak berbunyi marah. Dia seolah-olah bercakap yang benar.

Tuan Zhao terus rasa berang. Dia berkata dalam hati, 'Aku tak layak? Akulah orang yang paling handal dalam teknik memotong di Restoran Phoenix Abadi. Berani kau cakap aku tak layak?'

Tuan Zhao kemudian mencemuhnya dengan dingin, "Budak tak guna, kamu memang berlagak. Sayangnya, teknik kamu tak akan menjadi lebih baik walaupun kamu bercakap besar. Mari kita lihat sama ada saya layak atau tak selepas kita bertarung. Kamu tu siapa nak tentukan saya layak atau tak!"

Qian Bao pun muncul tepat pada masanya dengan senyuman dan berkata, "Beginilah, Tauke Bu. sebelum ini, reputasi Restoran Phoenix Abadi sudah tercalar disebabkan kamu. Kali ini, takkanlah kamu memandang rendah lagi pada kami? Asalkan kamu mengaku yang teknik memotong kamu tak sehebat cef Restoran Phoenix Abadi, kami boleh lupakan semua perkara ini. Apa pendapat kamu?"

Bu Fang memandang Qian Bao acuh tak acuh. Orang ni bodoh ke? Dia sudah katakan yang cef itu tak layak mencabar teknik pemotongannya. Tapi Qian Bao ni masih nak dia mengaku yang teknik pemotongannya kurang hebat. Kelakar sungguh.

Ekspresi Bu Fang menjadi dingin. Disebabkan mereka sendiri yang menempah maut, dia akan tunaikan hasrat itu.

"Misi mengejut: Terima cabaran daripada cef Restoran Phoenix Abadi seperti yang dirancang Qian Bao dan kuasai lawan kamu. (Seperti kata pepatah, biar putih tulang, jangan putih mata. Teknik memotong seorang cef tak boleh diperlekehkan. Anak muda, ajar dia jadi lebih baik dengan teknik pemotongan kamu yang boleh membutakan mata itu!)

"Ganjaran misi: Peningkatan Teknik Pemotongan Meteor."

Baru saja Bu Fang hendak membalas, suara bersungguh sistem sudah kedengaran dalam mindanya. Walaupun sistem bernada serius seperti biasa, Bu Fang dapat merasakan kemarahan dalam misi sistem itu.

Wajah selambanya itu nampak sedikit pelik bila Bu Fang memandang sekilas ke arah Qian Bao dan Tuan Zhao. Disebabkan sistem sendiri telah memberi dia misi itu, tak munasabah kalau dia tak menerima cabaran mereka.

Disebabkan itu… dia bersetuju.

"Baiklah, saya terima. Tapi, tunggu sampai habis waktu saya berniaga." Bu Fang berkata acuh tak acuh.

Senyuman di wajah Qian Bao kaku dan hilang perlahan-lahan. Dia bertanya dengan serius, "Tauke Bu, kamu terima cabaran kami?"

Bu Fang mengangguk tanpa perasaan.

"Baiklah, kalau begitu, boleh ke saya tentukan lokasi pertandingan?" Qian Bao bertanya. Dia masih lagi ingat arahan Song Tao. Bila dia teringat aura menakutkan yang dirasai daripada Song Tao, dia berkeputusan mengikut arahannya.

"Ikut kamulah." Bu Fang malas nak cakap apa-apa lagi. Dia berpusing masuk ke dapur.

Tuan Zhao dan Qian Bao memandang diri masing-masing dan wajah mereka nampak gembira seolah-olah mereka dah berjaya. Kemudian, Qian Bao berpaling ke arah dapur dan menjerit, "Kalau begitu, Tauke Bu, saya minta diri dulu. Bila waktu operasi kamu sudah tamat, saya akan hantar orang untuk menguruskan cabaran itu."

"Baiklah." Suara Bu Fang yang dingin kedengaran dari dapur.

Qian Bao dan Tuan Zhao terus meninggalkan restoran Bu Fang dengan penuh bersemangat. Mereka perlu menyediakan bahan-bahan untuk cabaran nanti.

Bila mereka beredar, Ouyang Xiaoyi berlari ke tingkap dapur dan bertanya, "Tauke busuk, betul ke tauke setuju bertanding teknik pemotongan? Teknik tauke… bagus ke?"

Bu Fang mengangkat kepalanya dan memandang sekilas ke arah Ouyang Xiaoyi. Kemudian, asap hijau mengelilingi tangannya dan satu pisau dapur biasa muncul. Sambil jari-jemarinya bergerak lincah, pisau itu pun bergerak-gerak di tangannya dan nampak seperti bernyawa...

Ouyang Xiaoyi tak pernah melihat sesiapa memanipulasi pisau dapur dengan gaya yang sebegitu hebat. Matanya hampir terkeluar daripada kepala. Tiba-tiba dia sedar yang kerisauannya itu tak masuk akal… Tauke busuk itu seorang genius dengan kemahiran memasak yang mantap. Tak mungkin teknik memotongnya lemah?

Dia hampir dapat membayangkan keputusan perlawanan itu nanti. Ekspresi pemilik Restoran Phoenix Abadi akan bertukar hodoh… Dia tak sabar nak lihat tauke busuk memberikan tamparan hebat kepada semua orang!

Waktu operasi hampir tamat. Kedua-dua Ouyang Xiaoyi dan Yang Chen tak berebut-rebut nak balik. Mereka sangat teruja dengan cabaran ini.

Qian Bao memang masih cekap. Selepas seketika, seseorang datang untuk memaklumkan Bu Fang tentang lokasi pertandingan itu. Namun, Bu Fang terkejut mendengar lokasi itu.

"Di jalan masuk lorong?" Bu Fang bertanya kehairanan.

"Ya." Orang yang datang memaklumkannya itu menganggukkan kepalanya dengan yakin.

Tanpa berkata apa-apa, Bu Fang memakai kot luarnya dan berjalan keluar dari restoran.

Pada masa, jalan masuk ke lorong itu sangat sibuk. Biasanya, tak ramai pejalan kaki di situ. Tapi kali ini, lorong itu dikerumuni ramai orang. Terdapat dua meja besar berisi bahan-bahan di atasnya.

Tuan Zhao yang memakai pakaian seragam cef sedang berdiri di hadapan salah satu meja itu. Di atas mejanya, terdapat satu rak pisau yang besar yang diisi pelbagai jenis pisau dapur. Setiap bilah pisau itu bersinar tajam.