Chereads / Pakar Makanan Dunia Lain / Chapter 98 - Dengar Cakap Tuan Segala Anjing Ini, Lepaskan Budak Perempuan Itu

Chapter 98 - Dengar Cakap Tuan Segala Anjing Ini, Lepaskan Budak Perempuan Itu

Mata Ouyang Xiaoyi terbeliak sambil dia memandang ke arah budak lelaki angkuh di hadapannya. Dia kenal budak tak guna ni. Dia pewaris terkenal seorang Marquis. Tapi, apa yang dia buat di situ?

Yang Chen anak ketujuh Marquis Yang Menenangkan Barat, Yang Mo. Bila sebut saja nama keluarga Yang, pasti akan teringat pengorbanan mereka untuk negara. Ketua keluarga Yang, Yang Mo, ada empat anak lelaki. Tiga anak lelakinya yang pertama sangat berbakat dan merupakan individu-individu berpengaruh dalam bandar diraja. Malangnya, ketiga-tiga mereka mati di medan perang semasa menyertai kempen peperangan. Akhirnya, Yang Chen seorang sahajalah anak lelaki yang tinggal dalam keluarga Yang itu.

Disebabkan itu, keluarga Yang sangat risaukan Yang Chen. Sebagai pengganti utama kedudukan Marquis itu, dia tak boleh langsung tersilap langkah.

"Apa yang budak tak guna macam kau ni buat di sini?" Yang Chen berkata dengan bongkak. Dia dan abang-abangnya memang sentiasa mementingkan usaha meningkatkan tahap pertapa. Sekarang, dia sudah capai tahap Semangat Pertempuran kelas keempat. Bakat dan tahapnya ini boleh dianggap antara yang paling tinggi di kalangan rakan-rakan sebayanya.

Bila Ouyang Xiaoyi memandang wajah Yang Chen yang tak matang tapi sombong itu, dia menjeling dan membalas sambil memuncungkan mulutnya, "Kau ingat aku nak ke datang ke tempat ni? Tak ada apa yang sedap pun dekat sini… Tempat ni macam neraka dunia!"

Yang Chen tak faham kata-kata Ouyang Xiaoyi. Walaupun mereka dikurung, penculik-penculik mereka melayan mereka dengan baik. Mereka diberi makan tiga kali sehari dan rasa hidangan itu pun sedap. Yang Chen menikmati hidangannya dengan puas.

"Kalau kau berpuas hati makan sebegini, nampak sangat kau tak pernah lihat dunia sebenar." Ouyang Xiaoyi menyilangkan tangan di dadanya. Dia menjeling ke arah hidangan di atas meja dan Yang Chen dengan mulutnya yang penuh berminyak.

"Aku tak pernah tengok dunia sebenar? Budak tak guna macam kau tu yang sebenarnya tak pernah rasa dunia sebenar! Aku dah banyak kali pergi ke Restoran Phoenix Abadi tu!" Yang Chen menggumam marah dengan mulutnya yang penuh dengan makanan.

"Restoran Phoenix Abadi?" Bila nama restoran itu disebut, Ouyang Xiaoyi mendengus dan menjelingkan matanya kerana rasa menyampah.

"Apa hal? Kau pandang rendah pada Restoran Phoenix Abadi juga?" Mata Yang Chen terbeliak sambil dia memandang Ouyang Xiaoyi.

Ouyang Xiaoyi memuncungkan mulutnya dan berkata, "Kalau nak dibandingkan dengan sajian Tauke Bu, makanan di Restoran Phoenix Abadi tu tak ada beza dengan keladak. Kau belum rasa masakan Tauke Bu dan kau berani kata yang kau dah lihat dunia... Aku nak tanya kau, pernah tak kau rasa Sup Tauhu Kepala Ikan yang boleh meningkatkan daya tulen dalam badan kau? Pernah tak kau makan Tulang Rusuk Masam Manis yang boleh membuatkan orang gembira hanya dengan menghidu baunya? Pernah tak kau makan Nasi Goreng Telur yang bersinar?"

Ouyang Xiaoyi menyebut beberapa hidangan dari Restoran Fang Fang. Sebagai seorang pelayan, dia sudah terbiasa dengan nama-nama sajian itu dan dengan mudah dia dapat menyenaraikannya.

Yang Chen merenung Ouyang Xiaoyi dengan gaya comel. Dia langsung tak pernah dengar nama hidangan-hidangan tu... Tapi, bunyinya sungguh menarik. Betul ke tahap pertapa boleh meningkat hanya dengan makan satu sajian?

"Hmph! Hebat, bukan? Aku dah rasa semua hidangan tu!" Ouyang Xiaoyi berkata dengan bangga.

Yang Chen mengambil makanan dengan penyepitnya dan menyuapnya ke dalam mulut. Sambil dia mengunyah makanan itu, dia berkata, "Macam sedap bunyinya. Restoran tu di mana? Bila kau nak bawa aku ke situ?"

Bila Ouyang Xiaoyi terdengar kata-kata itu, matanya menjeling sedikit. Kemudian, wajah comelnya tersenyum sambil dia berkata, "Jom pergi sekarang. Tak ada satu pun makanan ni yang menyelerakan. Aku dah seharian tak makan!"

"Sekarang?" Yang Chen terkejut. Mereka sedang dikurung, jadi macam mana mereka hendak pergi?

"Lelaki yang memerhatikan kita tu hanyalah seorang Raja Pertempuran kelas kelima. Dengan tahap pertapa kita, mesti senang nak uruskan dia kalau kita serang mengejut. Lepas tu kita boleh larikan diri!" Ouyang Xiaoyi berkata dengan mata yang bersinar.

Yang Chen mengangkat keningnya dan mengangguk seronok.

Sejurus selepas tu, Ouyang Xiaoyi jatuh ke lantai dan mula buat perangai. Lakonannya membuatkan Yang Chen terkejut seketika.

Bila pengawal di luar mendengar kekecohan itu, dia masuk ke dalam bilik dan terus nampak Ouyang Xiaoyi yang sedang mengamuk di atas lantai.

"Apa yang berlaku ni? Berhenti buat bising!" Pengawal itu mengerutkan kening. Dia geram dengan perangai dua budak-budak tak guna tu.

"Dia rasa makanan tu tak sedap. Dia juga cakap cef kamu tu macam babi." Yang Chen berkata bersungguh-sungguh.

Mendengar kata-kata Yang Chen, pengawal itu tak tahu nak gelak atau menangis. Selepas dia merasa makanan di atas meja itu, dia berkata "Rasa macam sedap je?"

Yang Chen menghampiri pengawal itu dan berkata sambil mengangguk, "Saya pun rasa macam tu… Tapi dia kata cef tu seekor babi jadi dia tak mahu makan hidangan ni. Dia nak keluar."

"Hmm?" Saat itu, barulah pengawal itu ada sesuatu yang tak kena. Sejurus kemudian, daya tulen meletus daripada Yang Chen dan menyekat anggota badan pengawal itu. Walaupun dia seorang Raja Pertempuran kelas kelima, dia tak dapat membalas kerana dia diserang secara mengejut pada jarak yang dekat.

Ouyang Xiaoyi melompat dari lantai dan menghalakan penumbuknya ke muka pengawal itu.

Gaya keluarga Ouyang ialah dengan menyerang lawan mereka semasa mereka berada di bawah. Oleh itu, penumbuk Xiaoyi semuanya dikenakan ke muka pengawal itu. Dia jatuh ke lantai dan terus pengsan.

Kemudian, Ouyang Xiaoyi menarik Yang Chen bersamanya dan meninggalkan bilik tempat mereka dikurung. Mereka berlari-lari anak dan senyap-senyap keluar dari kediaman itu.

...

Pada hari-hari yang cerah di bandar diraja, matahari bersinar terang di sebalik awan. Cahayanya memberi kehangatan dan keselesaan.

Selepas Bu Fang selesai menghidangkan makanan kepada sekumpulan pelanggan, restoran itu kembali aman damai. Dengan itu, Bu Fang pun berlingkar di atas kerusinya berhampiran pintu masuk, sama macam beberapa hari lepas. Disebabkan hari itu matahari bersinar terang, dia berasa agak mengantuk kerana badannya agak hangat.

Seronok kalau hari-hari macam ni.

"Tauke busuk! Selamatkan saya!" Di jalan masuk ke lorong itu, satu jeritan yang menyedihkan dapat didengari. Bu Fang, yang baru saja hendak terlelap, terus membuka matanya dan memandang jauh di hadapannya dengan rasa hairan.

Di situ, dua tubuh kecil berlari dengan laju sambil dikejar oleh beberapa orang pakar dengan aura berkuasa. Pemburu-pemburu mereka itu juga berlari dengan pantas sehingga menghampiri dua budak itu.

Salah seorang daripada Raja Pertempuran itu berjaya mengejar mereka dan menangkap Ouyang Xiaoyi. Dia mengangkatnya dan mengejek, "Cuba tengok kau nak lari macam mana sekarang!"

Mereka tak sangka dua burung kenari dalam sangkar ni berjaya lari keluar! Mereka hampir terlepas!

"Kau tahu tak aku siapa? Nanti aku suruh atuk aku bogelkan kau dan gantung kau dekat tembok bandar diraja!" Ouyang Xiaoyi sangat berang. Kedai tauke busuk itu tak berapa jauh dari sini, tapi dia tertangkap juga akhirnya. Perasaan cemas menunggu pertolongan menyebabkan dia rasa hampir gila.

"Tauke busuk, selamatkan saya! Si Hitam, selamatkan saya!" Dengan itu, Ouyang Xiaoyi mula menjerit minta tolong, dengan harapan Bu Fang akan datang menyelamatkannya. Namun, dia rasa peluang untuk melepaskan dirinya lebih tinggi kalau Si Hitam yang datang...

Si Hitam, yang sedang berbaring di atas tanah, menggumam sambil dia membuka matanya. Ia menguap malas sambil menjelirkan lidahnya dan menghembus nafas berwap.

'Siapa yang panggil tuan segala anjing ni?' Si Hitam memerhatikan kawasan sekelilingnya dengan rasa hairan. Tak lama kemudian, dia terlihat Ouyang Xiaoyi sedang bergelut untuk melepaskan diri di jalan masuk lorong.

'Budak tak guna, kenapa kau tiba-tiba panggil tuan segala anjing ni? Kau tak tahu ke tuan segala anjing ni sibuk…' Si Hitam bangun dengan malas dan perlahan-lahan menuju ke jalan masuk lorong itu. Cara jalannya sama seperti seekor kucing.

Bu Fang perlahan-lahan berjalan keluar dari restorannya. Dia berdiri di pintu masuk dan memandang ke arah jalan masuk lorong dengan wajah tak berperasaan.

Mata Ouyang Xiaoyi yang galak itu terus bersinar bila dia nampak seekor anjing besar hitam yang perlahan-lahan datang menghampirinya. Dia menjerit, "Si Hitam, selamatkan saya!"

Yang Chen menghembus hidungnya yang kebas kerana cuaca sejuk. Dia memandang anjing hitam besar yang agak gemuk itu...

Pengawal-pengawal yang mengejar mereka melihat Si Hitam dengan pelik.

Budak perempuan ni ingat anjing tu akan selamatkan dia daripada beberapa orang Raja Pertempuan? Nak panggil dia naif ke… naif?

Namun, sejurus selepas itu, mereka semua terkejut dengan anjing hitam besar yang bercakap seperti manusia.

"Dengar cakap tuan segala anjing ni, lepaskan budak perempuan tu..." Suara acuh tak acuh Si Hitam kedengaran entah dari mana.